Lagi-lagi Mawi:
Antara artikel MSO dan surat Mahfuz
Dua perkembangan terbaru dalam Isu Mawi ke Kelantan tersu menarik perhatian saya.
Pertama adalah tulisan Mohd Sayuti Omar (MSO) yang menggesa agar kerajaan Kelantan membatalkan konsert Mawi yang dicadangkan hujung bulan ini. Kedua adalah surat terbuka Hj. Mahfuz Omar yang memberikan respon mengapa beliau mengutus surat terbuka kepada Mawi tempoh hari.
Sesungguhnya kedua-dua perkembangan ini samada artikel MSO maupun surat Mahfuz mempunyai mesej yang mendalam.
Saya terpaksa memilih untuk tidak bersetuju dengan gesaan MSO agar konsert Mawi itu dibatalkan serta alasan-alasannya. Saya masih yakin dan berpegang kepada penjelasan Tok Guru MB Kelantan bahawa jemputan itu bukanlah bertujuan untuk mengiktiraf Konsert Akademi Fantasia, tetapi sekadar menghidupkan konsert alternative sebagai pilihan kepada rakyat jelata khususnya golongan remaja.
Saya kagum membaca tulisan dan penjelasan Mahfuz yang saya lihat membawa isu ini dari perspektif yang berbeza dan lebih bermakna. Mahfuz melihat jemputan ke atas Mawi ini sebagai usaha ENGAGEMENT PAS dengan golongan seni terutama yang digelar penghibur. Kata Mahfuz:
Selain daripada itu, golongan yang hampir tidak pernah didekati oleh PAS dalam menyampaikan pendidikan politik ialah golongan seni khususnya artis.
Sekurang-kurangya kesediaan Mawi untuk hadir dalam konsert anjuran kerajaan negeri pimpinan PAS ini adalah satu petanda bahawa telah ada kesediaan golongan ini yang selama ini terpinggir untuk mendekati PAS. Tak kenal maka tak cinta kata pepatah Melayu, tiada siapa yang dapat meramalkan kemungkinan yang bakal berlaku selpas dari itu nanti.
Malah MSO sendiri menyebut walaupun dalam nada yang pesimis:
Sudah tentu mereka yang sejalan pemikiran untuk membawa Mawi akan menceritakan kepada Tok Guru itu yang Mawi bukan sahaja budak baik, namun ia adalah peminat kepada Tok Guru, malah di dinding rumahnya ada potret Tok Guru.
Kita letakkan sikap pesimis MSO itu ke tepi, tidakkah dengan adanya potret Tok Guru di dinding rumah Mawi itu satu petanda yang positif. Orang sebarangan tidak sanggup meletakkan poster Tok Guru di dinding rumahnya kecuali orang PAS ataupun mereka yang menghormati dan mengkagumi pemimpin PAS itu.
Kalau pun Mawi mungkin bukan ahli PAS sekurang-kurangnya jiwanya dan jiwa keluarganya selesa dengan kehadiran Tok Guru di dinding rumah mereka. Saya tak pasti kalau ada poster Tok Guru di dinding rumah MSO?
Kita mudah melihat golongan artis ini hadir dan cenderung kepada majlis-majlis anjuran Umno, malah kita biasa mendengar golongan artis yang menjadi ahli Puteri dan Pemuda Umno. Jarang-jarang sekali ada artis yang sanggup ke pentas Umno dan sanggup juga ke pentas PAS. Mawi sanggup. Dan ini sudah pasti merupakan satu perkembangan yang menarik. Keberanian Mawi ini menunjukkan samada kita setuju ataupun tidak, ada usaha dari anak muda ini untuk memain peranan membetulkan persepsi orang-ramai terhadap kerajaan Kelantan.
Malah Mahfuz menulis:
Mawi boleh berada di pentas Umno dan pada masa yang sama tidak menolak jemputan Kerajaan Negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS. Kematangan seperti ini sebenarnya hampir pupus termasuk di kalangan golongan ulama dan akademik yang sepatutnya terkehadapan dalam soal ini. PAS seharusnya mula menerokai laluan tersebut yang tidak diberi perhatian serius sebelum ini.
Saya kurang selesa apabila MSO menulis:
Pada masa sama, Pas juga mahu menjadikan Mawi sebagai pengubah kepada persepsi buruk terhadap Pas berkaitan hiburan. Itu sahaja. Soalnya, berjayakah Pas dengan hanya seorang Mawi? Apakah keistimewaan Mawi? Bolehkah Mawi merubah persepsi terhadap Pas mengenai hiburan yang sebegitu lama bertompok dalam kepala masyarakat di dalam tempoh satu malam?
Konsert ini sebagaimana kenyataan Tok Guru MB bukanlah kali pertama kerajaan Kelantan mengundang golongan artis, rakyat Kelantan sudah biasa dengan konsert Akil Hayy, rocker dari Kumpulan Blues Gang, Ito pernah mebuat persembahan di depan Tok Guru sendiri dan malah Time Highway Radio (THR) pernah mengadakan konsert terbuka dengan persetujuan kerajaan negeri yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Besar.
Kita seharusnya berlapang dada dan memberikan peluang kepada kerajaan negeri untuk terus menghidupkan hiburan alternatif ini sebagaimana berjaya disemarakkan olek rakan-rakan dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia. Mawi tidak penting yang penting adalah usaha dan perancangan kita.
Dalam hal ini saya teringat pernah membaca polemik berhubung minatnya Almarhum Prof Zulkifli Mohamad – Ahli Parlimen Bachok (bekas Timbalan yang Dipertua Agung PAS) dengan lagu-lagu Saloma. Jika tidak silap saya pernah pihak media bertanyakan Almarhum berkenaan penyanyi yang beliau minati, beliau terus menyebut Saloma (artis popular ketika itu). Dan keesokkan harinya terpampang tajuk akhbar bahawa Zulkifli minat pada Saloma.
Mungkin yang dimaksudkan di sini adalah lagu-lagu Saloma yang memiliki senikata pengajaran dan dakwah umpamanya lagu Rukun Islam (berduet dengan P Ramlee) atau mungkin juga Almarhum bermaksud mahu membuktikan yang Islam tidak menentang hiburan selagi ianya tidak bertentangan dengan syarak. Yang pastinya Almarhum memberikan respon dan dalam hal Mawi ini demikianlah juga tindakan Tok Guru dan kerajaan negeri, memberikan respond an penyelesaian terhadap masalah semasa.
Menghargai kebimbangan MSO, musuh politik sudah pasti akan berusaha untuk mensabotaj usaha kerajaan negeri ini. Itu lumrah dalam berpolitik dan saya yakin PAS dan Tok Guru sedar akan kemungkinan ini. Apa pun ia jangan dijadikan penghalang dari kita untuk terus berkerja demi kepentingan dan kejayaan Islam.
No comments:
Post a Comment