Saya menerima satu email dari sahabat saya, seorang Ustaz yang popular di Lembah Kelang. Beliau prihatin dan mahu kongsi bersama pandangan beliau berkenaan Isu Mawi serta kritikan-krtikan yang dilemparkan oleh beberapa kalangan terhadap usaha kerjaan negeri Kelantan mengundang Mawi ke sana.
Untuk pengetahuan Ustaz ini juga seorang ahli seni, pandai bernasyid dan berlagu. Berikut saya siarkan sepenuhnya email beliau itu untuk tatapan kita bersama
Terima kasih Ustaz.
Menunjuk Ajar Mawi...Membantu Rakyat Muslim Selatan Thai
Membicarakan kisah Mawi, samada pro atau kontra bukanlah bererti bahawa kita telah atau akan melupakan; ataupun tidak sensitif dengan tangisan dan titisan darah rakyat Islam di Selatan Thailand. Begitulah juga sebaliknya, tangisan dan titisan darah rakyat Islam di Selatan Thailand itu tidaklah pula sepatutnya menjadikan kita lupa kepada apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Kedua-duanya, malah lain-lain isu juga seharusnya mendapat perhatian dan layanan dari rasa sensitiviti kita.
Tok Guru Nik Aziz sendiri misalnya telah memberikan perhatian kepada kedua-dua perkara. Ketika beliau menjemput Mawi dan artis-artis lain ke Kelantan di atas dasar dakwah yang tentunya beliau lebih mengerti tentang persoalan itu; beliau juga turut memberikan tumpuan serta bantuan kepada rakyat Islam di Selatan Thailand itu.
Mawi menjadi ikon kepada anak-anak muda di Malaysia hari ini bukan kerana ia kemahuan kita atau kerana ia kemahuan Tok Guru Nik Aziz. Hakikatnya adalah bahawa peminatlah yang sebenarnya menjadikan seseorang penyanyi atau artis itu sebagai ikon mereka.
Kita tidak boleh memaksa anak-anak muda di Malaysia hari ini menjadikan Ustaz Akil Hayy atau mana-mana personaliti sebagai ikon mereka. Ya! Ustaz Akil Hayy telah pun menjadi ikon remaja; tetapi ianya agak terhad kepada anak-anak orang PAS atau mereka yang pro PAS sahaja. Tidak dinafikan juga bahawa Ustaz Akil Hayy dapat menarik anak-anak muda yang sepertinya dahulu untuk menyertai PAS atau sekurang-kurangnya menjadi simpatisan PAS. Persoalanya sekarang bukanlah menafikan hasil dari kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Ustaz Akil Hayy dan mana-mana artis yang bersama PAS; tetapi ia adalah persoalan melebar-luaskan lagi jangkauannya.
Selama ini PAS terjarak dengan sangat jauh dari golongan muda-mudi di negara ini. Mereka telah melihat kita dari kefahaman yang salah. Kita telah dilihat sebagai ekstrimis, jumud, sombong dan lain-lain lagi. Saya difahamkan ada artis yang tidak percaya atau berasa hairan apabila Dewan Pemuda PAS mahu bermain bola di dalam perlawanan persahabatan dengan team artis-artis Malaysia. Ini berlaku kerana dua sebab, pertama; kerana pemimpin-pemimpin UMNO atau BN sentiasa memfitnah PAS dengan menggambarkan PAS sebagai ekstrimis, jumud, sombong dan sebagainya. Kedua; kita tidak boleh menolak bahawa ianya juga disebabkan oleh sebahagian dari ahli-ahli PAS yang seperti telah meng`ya’kan gambaran-gambaran tuduhan yang diberikan itu.
Dalam uslub dakwah misalnya, mereka lebih suka menggunakan kaedah yang saya suka namakan sebagai hammeriyah. Pendekatan yang digunakan lebih kepada menghentam dari pendekatan menasihati serta menyuluh jalan. Bukankah manis dan berhikmah apabila Datin Sarimah dan Noorkumalasari dipanggil oleh Kerajaan Kelantan untuk memperagakan fesyen pakaian wanita bercirikan Islam dengan ditonton oleh penonton wanita sahaja?
Dulu, samada secara sengaja atau tidak, kita sememangnya terjarak dari golongan artis dan muda-mudi. Tetapi hari ini kita mahu mendekati mereka. Dulu, kita lebih seperti menunggu Ustaz Akil, Nasir Jani, Ito dan yang lain-lain datang kepada kita. Sekarang kita tak usah menunggu mereka datang atau memanggil mereka dari jauh sahaja! Hari ini kita mahu melambai mereka dan bukannya mengusir jauh mereka dari kita. Hari ini, kita mahu merapati dan mendekati mereka. Padamkan pandangan salah mereka terhadap kita terlebih dahulu, sebelum kita mahu menasihati dan membimbing mereka.
Samada kita mahu atau tidak, Mawi telahpun menjadi ikon remaja masa kini. Bermakna, kalau Mawi rosak teruk; remaja pun akan ikut sama. Jadi, menyelamatkan Mawi bermakna menyelamatkan juga remaja-remaja yang menjadikannya sebagai ikon.
Persoalannya, mampukah atau tidak; Tok Guru atau PAS menyelamatkan Mawi? Di sana, jika kita tidak mencuba dan berusaha; kita bukan sahaja tidak akan tahu jawapannya; malah kita juga sebenarnya tidak menyempurnakan tanggungjawab dakwah. Jika berjaya, alhamdulillah. Jika gagal, sekurang-kurangnya kita telah mencuba dan ia bukan menjadi amanah kita lagi. Kita pun bukan meminta Mawi berhenti menyanyi. Kita hanya ingin dia menyanyi dengan cara yang betul menurut kehendak agama dan menjaga dirinya baik-baik dalam dunia seni ini. Usaha dan hasrat sebegini akan menjadi lebih penting dengan kebimbangan bahawa Mawi dan pergerakkannya sedang dan masih dibayangi oleh Maestro.
Sekurang-kurangnya kita lihatlah Mawi sebagai seorang sahabat yang telah melakukan kesilapan. Saya ingin menegaskan bahawa penyertaannya ke dalam Akademi Fantasia adalah suatu kesalahan. Namun, ianya telah terlanjur.
Salahkah jika kita ingin cuba menyelamatkannya dari benar-benar hanyut? Puaskah hati kita, jika nanti Mawi menjadi rosak teruk? Bolehkah pada waktu itu kita hanya dapat berkata: Padan muka kau! Siapa suruh kau jadi penyanyi!. Patutkah kita melihat sahaja dari jauh dan menunggu untuk melihat dia terjerumus? Itukah rasa persaudaraan? Salahkah kita atau Tok Guru memandang Mawi sebagai anak? Patutkah seorang ayah membuang terus anaknya setalah dia melakukan kesilapan? Tentu tidak! Sebaliknya seorang ayah tentunya akan terus berusaha untuk membimbing anaknya.
Kita memang sedih melihat sikap umat Islam yang lebih suka merayakan kejayaan dari membela mereka yang tertindas. Tetapi adakah sikap umat hanya boleh di ubah dengan rasa sedih semata-mata? Hendak mengubah sikap umat inilah yang memerlukan kita mempunyai jiwa besar. Kita perlu mendekati mereka terlebih dahulu sebelum mahu mengajak mereka mengubah sikap.
Kita mahu ramai dari kalangan umat Islam datang menunaikan solat hajat untuk rakyat Islam di Selatan Thailand; tetapi yang menunaikan solat lima waktu pun tak ramai. Semua menerima hakikat bahawa kita perlu meramaikan mereka yang mahu menunaikan solat lima waktu. Tetapi jika kita bercakap tentang solat di masjid atau di surau bermakna kita bercakap kepada mereka yang telah pun bersolat. Kita perlu ke padang untuk bertanya khabar dan mengenali mereka yang ada di sana; memahami mereka dan kemudiannya barulah menanamkan kepentingan solat kepada mereka.
Berjumpa dengan mereka pun kita tak pernah! Lalu, bagaimana kita nak mengajak mereka berhimpun di depan Kedutaan Thailand?
Aba Muiz
No comments:
Post a Comment