Saturday, September 03, 2005

Kesan kenaikkan minyak ke atas kos hidup rakyat:
Tunggu apa lagi Pak Lah

Sehingga jam 10 malam tadi harga minyak mentah dunia diniagakan pada kadar Dollar Amerika 68.40 sen setong. Dan trend kenaikan ini dikira akan terus berpanjangan dengan mengambil kira keadaan bekalan minyak yang terjejas dengan kesan teruk taufan Katrina di negeri-negeri teluk Amerika Syarikat disamping konflik dunia yang tidak menentu.



Bekas Menteri Kewangan negara Tengku Razaleigh Hamzah menjangkakan harga minyak mentah dunia ini tidak mustahil mencecah Dollar Amerika 100 setong menjelang hujung tahun ini!

Walaupun Malaysia mengeluarkan minyak dari perut buminya (disamping meneroka minyak negara lain melalui kepakaran teknologinya) namun kesan kenaikan ini yang sepatutnya membawa laba yang besar kepadanya, sebaliknya sering sahaja membawa malapetaka kepada rakyatnya. Naik harga minyak mentah dunia maka semakin kosong dan keringlah kantung dan kocek rakyat Malaysia kerana mereka sebaliknya akan didera dengan kenaikan harga petrol dan diesel di pasaran tempatan.

Naik harga petrol dan diesel maka laksana kesan domino akan mencacak naiklah juga harga barangan pengguna, kos pengangkutan, perkhidmatan dan lain-lain yang akan terus menerus menjejaskan kos hidup rakyat jelata.

Yang tak naik cumalah gaji para pekerja!

Ku Li dalam wawancaranya yang dimuatkan dalam laman Malaysia Today turut mempertikaikan apakah persediaan kerajaan apabila efek seperti ini berlaku? Sebagai kerajaan yang sepatutnya prihatin apakah perancangan mereka untuk memagari kesan ini dari terus melanda dan melemaskan kehidupan rakyat?

Yang jelas pagar itu kalau pun ada telah pun bolos. Harga bahan makanan telah naik, kos pengangkutan bakal naik dan ada yang telah naik pun, harga bekalan letrik dijangka naik, rakyat semakin keciwa dan tertekan.

Dua hari lalu Pak Lah membuat kenyataan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk mengurangkan cukai jalan kenderaan dan tidak menaikkan kadar tol lebuhraya ekoran kesan kenaikan harga minyak ini.

Soalnya mengapa diperingkat timbang-menimbang lagi sedangkan azab bebannya sedang digalas dan dirasai oleh rakyat. Tentang kadar tol yang baru sahaja dinaikkan itu (terakhir di Jamtan Pulau Pinang) memang malanglah kiranya ia mahu dinaikkan lagi. Sedangkan luka dari kesan kenaikkan yang lalu pun belum terubat.

Manakala tentang cadangan mengurangkan kadar cukai kereta ini, ianya perlu dilakukan segera. Saya bersetuju dengan Shafie Mamal dari MTUC dan Awang Selamat dalam UTUSAN bahawa yang sepatutnya dipagari dan dilindungi oleh kerajaan diperingkat ini adalah rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Oleh itu kiranya dihapuskan cukai jalan maka biarlah yang dihapuskan itu melibatkan kenderaan berkuasa 2000 cc ke bawah sahaja. Pemilik-pemilik kenderaan mewah yang melebihi 2000 cc sewajarnya tidak menerima sebarang perlindungan. Tidak secara langsung tindakan ini akan melindungi industri kenderaan nasional.

Awang Selamat turut mencadangkan agar dinaikkan cukai ke atas rokok bagi menampung kerugian kerajaan apabila membatalkan cukai di atas. Soalnya mengapa berhenti di rokok sahaja? Cukai ke atas industri perjudian telah tidak dinaikkan sekian lama, kalau ada rakyat Malaysia yang mempunyai keupayaan untuk menjerumuskan diri mereka ke kancah perjudian tatkala orang lain merana kesusahan maka sewajarnyalah mereka yang sedemikian dikenakan juga cukai yang tinggi (memandangkan kerajaan pun terlalu sayang untuk mengharamkan terus industri ini). Malah cukai korporat ke atas industri yang diharamkan Islam ini pun sepatutnya dilipatgandakan. Sejak akhir-akhir ini pulangan syarikat-syarikat dari industri ini adalah antara yang terlumayan dalam negara, takkan nak biarkan Lim Kok Thay (anak Lim Goh Tong), Vincnet Tan, Haniff Omar dan lain-lain tersenyum senang sedangkan rakyat meratap dalam kesusahan.

Juga cukai ke atas arak dan minuman keras serta cukai ke atas industri hiburan khususnya kelab-kelab malam, rumah urut dan seumpamanya juga patut dilipatgandakan. Kerajaan juga nampaknya tidak ada hasrat langsung untuk menghapus apa lagi mengharamkan industri dan aktiviti maksiat ini. Kalau ada segelintir rakyat Malaysia yang mampu mabuk-mabuk, bersuka ria dan berjoli dalam keadaan rakyat jelata tertekan maka memang wajarlah mereka ini diminta menyumbang kepada pendapatan negara dengan dikenakan cukai yang tinggi ke atas minat mereka yang haram itu.

Ini semua merupakan langkah segera yang patut diambil oleh Pak Lah dan kerajaan. Jangan sekadar mahu timbang-timbang, bertindaklah segera Pak Lah sebelum rakyat bertindak ke atas anda.

No comments: