Saturday, September 24, 2005

Husam menjadi jurubicara Tokong Mek

Sekiranya PAS memerintah habis orang Cina akan ditekan. Orang bukan Islam akan dipaksa memeluk Islam. Orang bukan Melayu tidak lagi akan dapat mengamalkan adat dan budaya mereka. Demikianlah propaganda jahat yang ditiup dan dimain-mainkan oleh musuh politik PAS sejak ia ditubuhkan diawal tahun 50an sehinggalah sekarang.

Propoganda ini ternayat telah sebati dalam pemikiran mereka sehingga mengakibatkan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu khususnya mereka yang di luar Kelantan begitu bimbang dan tidak menyenangi langsung kehadiran PAS.

PAS mula memerintah Kelantan sejak tahun 1959 (berhenti sekejap pada tahun 1978 dan bekuasa kembali pada tahun 1990), sejak itu sekitar 1 peratus masyarakat Cina yang bukan Islam telah hidup dengan aman dan selesa dalam negeri tersebut.


Husam di Tokong Mek (gambar THE STAR)

Menurut sejarah masyarakat Cina telah mula bertapak di bumi Kelantan sejak tahun 1400 lagi dengan penempatan awal masyarakat Cina Hokien dapat dikesan dizaman pemerintahan Raja Kelantan Long Yunus pada 1782. Sebuah Tokong yang dikenali sebagai Tokong Mek telah dibina di tepi tebeng Sungai Kelantan berhampiran PCB pada tahun 1780.

Kisah dan kesan sejarah ini diceritakan oleh Naib Presiden PAS yang juga ahli Exco Keerajaan Negeri Kelantan Hj. Husam Musa dalam sebuah artikel sisipan akhbar THE STAR hari ini di bawah tajuk:

The Grand Old Lady of Kota Bharu

Kalau anda berkesempatan membaca artikel di atas pasti akan tersenyum sendiri, manakan tidak, pemberita akhbar THE STAR tersebut dibawa melawat tokong itu dan diceritakan pula sejarah dan latarbelakangnya oleh seorang pemimpin PAS!

Husam telah berjaya membuktikan beberapa perkara besar, Bahawa masyarakat Islam boleh hidup dengan harmoni dan tolak ansur dengan masyarakat bukan Islam, dengan masing-masing hormat menghormati antara satu dengan lain.

Sekaligus kehadiran Husam sebagai salah seorang pemimpin terkanan parti PAS turut membuktikan betapa toleran dan terbukanya sikap parti Islam tersebut.

Husam bukan sekadar membawa pemberita ke sana malah beliau membuktikan bahawa beliau mahir dan tahu akan warisan sejarah tokong tersebut, salah sebuah binaan yang tertua di Kota Bharu, Bandaraya Islam.

Sikap keterbukaan sebegini perlu dicontohi oleh ahli-ahli PAS yang lain, sekurang-kurangnya dalam berhadapan dengan masyarakat bukan Islam di Malaysia. Saya masih ingat di awal pemerintahan beliau Tok Guru MB Kelantan pernah hadir dalam majlis penyerahan watikah kepada Ketua Sami, di Wat Buddha di Tumpat.

Tidak ada cara lain untuk kita mematahkan tohmahan dan propaganda jahat terhadap Islam melainkan kita sendiri berani bangun dan membuktikan kepalsuannya. Kelantan telah bergerak jauh dalam bab ini. Malahan pada hari ini kerajaan negeri Kelantan mampu berdiri megah dan gagah dengan kehadiran seorang ahli keturunan Cina (Dato Anuar Tan) sebagai anggota Exco nya selaku bukti keterbukaan dan toleransi kerajaan negeri tersebut khusus dalam bab hubungan dengan kaum dan agama lain.

No comments: