Friday, September 30, 2005

Bajet 2006: Industri judi terlepas lagi!

Dalam pembentangan bajet 2006 sebentar tadi kerajaan telah bersetuju memperuntukkan wang berjumlah RM138.6 billion, iaitu kenaikan sebanyak 5 peratus. Dan dari peruntukkan sebesar itu RM101.3 billion akan disalurkan untuk perbelanjaan operasi manakala RM35.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Seperti dijangkakan cukai ke atas dua industri maksiat ataupun sin industry ini iaitu arak dan rokok dikenakan kenaikan cukai untuk tahun 2006. Kerajaan mencadangkan agar kadar duti eksais ke atas produk rokok dan tembakau dinaikkan walaupun cukai jualan ke atas bahan tersebut diturunkan pada kadar seragam iaitu 5 peratus.



Duti impot ke atas arak dinaikkan antara RM25.50 ke RM108.50 berbanding RM5.00 ke RM 54 mengikut kadar lama.

Namun harus diingat sebenarnya terdapat satu lagi industri maksiat yang gergasi yang sekali lagi terlepas dari kekangan peningkatan cukai oleh pihak kerajaan BN. Industri maksiat yang dimaksudkan adalah judi. Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini untuk tempoh 4 tahun sahaja iaitu dari 2001 ke 2004 industri judi ini telah dikenakan cukai sebanyak RM7.1 billion iaitu sebanyaka lebih kurang 20 peratus dari perbelanjaan pembangunan negara!

Mengapa cukai ke atas aktiviti perjudian tidak dinaikkan? Mengapa kerajaan benar-benar kelihatan menaja dan melindungi taukeh-taukeh besar ini?

Hari-hari pusat-pusat perjudian ataupun outlet mereka memungut beratus ribu ringgit malah mencecah jutaan pertaruhan hamba rakyat yang kesempitan hidup dan hilang pertimbangan itu. Mereka yang mengaut untung secara besar-besaran atas nestapa dan kesusahan rakyat.

Di lubuk puaka inilah septutnya kerajaan melipat-gandakan kenaikan cukai jualan ataupun apa sahaja yang melibatkan perjudian ini. Jangan lepaskan mereka, atau jangan-jangan mereka menjadi anak emas lantaran besarnya sumbangan mereka kepada BN dan Umno selama ini? Entahlah?

Thursday, September 29, 2005

Tahniah 7.1 billion dipungut dari cukai judi

BERNAMA melaporkan di persidangan Dewan Rakyat siang tadi, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan ketika menjawab soalan wakil dari Sarikei telah menjelaskan bahawakerajaan persekutuan telah memungut cukai sejumlah RM7.1 billion dari aktiviti perjudian sepanjang tahun 2001 ke 2004.

Aktiviti perjudian sebagaimana kita ketahui di HARAM kan oleh Islam namun dibenarkan beroperasi dan dilesenkan pula oleh kerajaan Barisan Nasional, yang diketuai Umno.



Menurut Hilmi Yahya, Setiausaha Parlimen berkenaan pecahan cukai yang dipungut sepanjang tempoh tersebut adalah:

RM1.83 billion bagi tahun 2001
RM1.78 billion bagi tahun 2002
RM1.67 billion bagi tahun 2003
RM1.77 billion bagi tahun 2004

Antara syarikat-syarikat perjudian yang bergiat aktif dan mengaut keuntungan besar dalam negara adalah Kumpulan Genting, Berjaya Sports Toto, Pan Malaysian Sweepstakes dan Magnum disamping yang beroperasi di Sabah dan Sarawak.

Apa nak dikatakan lagi, demikianlah hebat dan lumayannya industri yang haram dan dilaknat Allah swt ini. Selagi Umno dan BN berkuasa memang tak nampak gaya yang industri ini akan dilarang atau ditutup sebagaimana di Kelantan kini.

Oleh itu saya cadangkan, kerajaan sepatutnya lipatgandakan lagi kadar cukai ke atas industri ini. Mereka (taukeh-taukeh judi ini) mengaut keuntungan dari hamba rakyat yang lalai dan mahu cepat kaya tanpa mengetahui bahawa mereka sebenarnya mengundang keruntuhan keluarga dan masadepan masing-masing.

Memandangkan kerajaan Umno dan BN tidak berapa titik-beratkan sangat hukum haramnya judi itu, mengapa tak ditambahkan sahaja lesen-lesen baru untuk industri ini. Kumpulan Genting melalui anak syarikatnya boleh mengadakan kasion-kasino terapung iaitu melalui kapal-kapal cruise milik mereka, mengapa tidak beri sahaj mereka lessen untuk beroperasi di Pulau Langkawi, Pulau Perhentian, Tioman dan lain-lain.

Mungkin judi boleh menggantikan kelapa sawit dan barangkali juga petroleum sebagai hasil pendapatan utama negara satu hari nanti, katakan menjelang 2020!

Apa nak dimalu dan ditakutkan lagi, dengan Allah pun kita tak takut?!

Wednesday, September 28, 2005

Suara azan: DAP jangan keterlaluan

Apabila DAP menolak undang-undang hudud serta menolak penubuhan sebuah negara Islam, sebahagian masyarakat Melayu Islam walaupun sedikit terguris namun tidak memandang berat sangat penolakan tersebut lantaran DAP rata-rata diwakili oleh masyarakat bukan Islam yang hakikatnya jahil berkenaan Islam.



Tahap toleransi masyarakat Melayu Islam dalam hal ini boleh dikawal lagi.

Malahan apabila DAP bertegas mahu mempertahankan semangat sekular perlembagaan persekutuan yang menurut pentafsiran mereka tidak mengizinkan negara ditadbir menurut selera mana-mana agama, orang Melayu Islam ambil indah tak indah, kerana DAP dengan perwakilan yang terdapat ditangan mereka tidak mampu membangkitkan seberang kesan atau pengaruh

Walaubagaimanapun apabila ahli Parlimen veteran DAP kawasan Kepong, Dr Tan Seng Giaw, mencadangkan agar diadakan kawalan terhadap tahap suara azan yang dibenarkan berkumandang di masjid dan surau-surau, saya kira beliau telah menjolok sarang tebuan!

Semasa berbahas di dewan rakyat semalam sebagaimana dilaporkan THE STAR Dr Tan berkata:

I have received complaints from people in my constituency which has a majority of non Muslims, that the azan for subuh prayers is too loud and wakes them up abruptly.

Saya menerima aduan dari rakyat di kawasan saya yang majoritinya masyarakat bukan Islam bahawa azan subuh yang dikumandangkan terlalu kuat dan menganggu tidur mereka.

Sebagai seorang ahli parlimen veteran Dr Tan sepatutnya telah faham akan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dalam negara, tambahan Dr Tan sendiri berasal dari Kelantan dimana majoriti rakyatnya adalah beragama Islam.

Untuk berlaku adil, memang kiranya tahap suara azan yang dimaksudkan terlalu kuat sangat, maka wajarlah masjid atau surau berkenaan diminta mengurangkannya. Tetapi Dr Tan mahu ingat bukan masjid sahaja rumah ibadat yang mengeluarkan suara atau bunyi-bunyian. Bagaimana dengan kuil hindu dan tokong Buddha yang membunyikan loceng masing-masing pada waktu-waktu tertentu.

Bagaimana pula bunyi bising mercun yang walaupun diharamkan namun dilepaskan juga sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina sehingga memakan masa berpuluh hari lamanya. Bagaimana pula asap dari colok-colok gergasi yang dinyalakan di tokong-tokong Cina pada perayaan-perayaan tertentu? Dan bagaimana pula perarakan-perakan keagamaan termasuklah Hindu dan Kristian yang menganggu kelicinan dan kelancaran lalulintas.

Ini belum lagi kita membicarakan darihal daging-daging babi salai yang disalai secara terbuka di bandar-bandar besar, contohnya di Petaling Street yang turut dikunjungi oleh ramai penduduk Islam.

Kesimpulannya selama ini, masing-masing pihak boleh menerima budaya, amalan dan kepercayaan masing-masing dengan penuh sikap tolak ansur dan toleransi, mengapa tiba-tiba Dr Tan perlu melatah?

Sekiranya DAP menganggap perkara ini sebagai hak mereka untuk dibangkitkan pada bila-bila masa, maka berwaspadalah, akhirnya nanti masyarakat Melayu samada yang kuat Islamnya ataupun tidak akan menolak DAP bulat-bulat. Selamat tinggal DAP!
Lanjutan tahanan ISA: Jangan cenderung kepada si zalim

Saya teringat dalam satu majlis dialog tertutup di Subang Jaya yang dihadiri oleh Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz bin Nik Mat pada tahun 2001 lalu. Ketika itu anakandanya Nik Adli baru sahaja menjadi mangsa ditahan di bawah akta zalim ISA.

Seorang muslimat telah bertanya apakah reaksi beliau sebagai seorang bapa apabila mendapat khabar yang anaknya itu ditahan di bawah ISA.


Allah bersama-sama kamu semua

Kata Tuan Guru ketika menerima panggilan dari pihak polis, beliau baru sahaja selesai memimpin sebuah majlis kuliah. Kebetulan katanya tajuk kuliah beliau pada hari itu adalah redha. Lalu katanya kepada pegawai yang menelefonnya insyallah beliau redha dengan penahanan itu sebagai sebahagian dari ujian Allah swt terhadap beliau dan keluarganya.

Namun katanya harus diberi ingat kepada semua pihak yang bertanggungjawab samada menteri ataupun orang politik ataupun sesiapa sahaja, sebagai seorang bapa beliau akan menuntut haknya di depan Allah swt di akhirat kelak. Oleh kerana beliau dan keluarganya jelas dizalimi dalam hal ini, maka bila berhadapan dengan Allah swt kelak beliau akan memohon pengadilan, kalau perlu dipijak dan diinjak muka mereka yang bertanggugjawab dan tali barutnya sekali akan beliau lakukan dihadapan Kadhi Rabbul Jalil.

Ramai yang hadir ketika itu sebak dan turut bersama bersama Tuan Guru diatas beban yang dipikulkan ke atas beliau dan keluarganya. Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Hari ini akhbar tempatan melaporkan Nik Adli dan rakan-rakan dilanjutkan tempoh tahanan mereka masing-masing untuk 2 tahun lagi setelah merengkok menjalani tahanan tanpa bicara selama 4 tahun. 2 tahun lagi mereka akan dipisahkan dari kaum keluarga yang tersayang, 2 tahun lagi mereka akan dikurung, 2 tahun lagi akan tersiksa hidup mereka semata-mata kerana kerajaan yang memerintah merasakan yang kehadiran mereka kononnya mengancam keselamatan negara.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
(Surah Hud:113)

Hadis riwayat Ibnu Umar ra.:
Bahwa Rasulullah saw. bersabda: Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat

Tuesday, September 27, 2005

Duit haram jangan disalurkan untuk kebajikan

Perkara seperti ini acapkali berlaku. Dalam keghairahan pengurus, pentadbir ataupun pemegang amanah rumah kebajikan ataupun anak-anak yatim memungut dana untuk organisasi masing-masing, kadang-kadang perkara penting seperti ini tidak dipedulikan.

Yang sedihnya rumah kebajikan, rumah anak yatim dan seumpamanya itu diurus dan diselenggarakan oleh orang-orang Islam sendiri. Dan penghuninya samada kebanyakkan ataupun rata-rata adalah orang Islam belaka.


Anak kecil yang tak tahu sumber hadiahnya

Mengapa kita tidak prihatin dan berhati-hati dalam hal sumber dana yang kita terima itu? Walaupun sebesar mana mungkin dana yang disalurkan namun kalau berpiunca dari sumber yang haram, ianya tetap haram jua.

Tidakkah Allah swt telah berfirman dalam surah al Baqarah 172:

Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik, yang halal, yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah.

Malah di sana terdapat hadis Rasulullah saw yang bermaksud:

Dari Saad bin Abi Waqas Radiallahuanhu ia berkata, wahai Rasullullah serulah kepada Allah untuk menjadikan aku orang yang mustajab dengannya, bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dikabulkan doanya. Demi jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan yang haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebajikannya selama empat puluh hari. Dan barangsiapa yang daging dalam badannya tumbuh dari yang haram dan dari hasil riba, maka api Neraka lebih layak baginya. (Riwayat Al-Imam At-Tabarani).

Semalam sebagaimana yang diterbitkan oleh Buletin Utama TV3 dan disiarkan dalam BERITA HARIAN hari ini, Persatuan Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM) yang penaungnya adalah isteri TPM dilaporkan mengaih-agihkan bantuan peralatan sekolah iaitu beg, kasut dan pakaian seragam sekolah kepada 785 murid daripada 14 rumah anak yatim, di samping sumbangan yang salah sebuah penyumbangnya adalah Berjaya Group.

Berjaya Group yang dimiliki Vincent Tan disenaraikan oleh Bursa Malaysia sebagai syarikat yang tidak berlandaskan syariah, bermakna core activity ataupun aktiviti utama syarikat berkenaan melibatkan aktiviti yang haram (judi, riba, makanan haram dan seumpamanya).

Salah sebuah syarikat di bawah Berjaya Group adalah Berjaya Sports Toto, yang terkenal sebagai teraju industri perjudian negara!

Sesungguhnya bagi mereka yang prihatin ini bukanlah kali pertama syarikat-syrikat yang terlibat dalam aktiviti haram dibenarkan menyumbang untuk badan-badan seperti ini. Tambahan dibulan-bulan puasa dan menjelang Raya kita akan melihat berbondong-bondong syarikat-syarikat korporat termasuk yang hasilnya haram mahu membuat kerja amal dengan menyumbang kepada mereka yang kurang upaya.

Sepatutunya pihak kerajaan melalui JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri-negeri memantau perkara ini khasnya yang melibatkan rumah kebajikan, rumah anak yatim dan seumpamanya yang dihuni oleh orang-orang Islam. Jangan kita pula menjadi tali-barut mengizinkan hasil haram ini turun menjadi darah daing mereka yang telah sedia suasah.

Banyak lagi syarikat gergasi lain yang diluluskan oleh lembaga penasihat syariah Bursa Malaysia, mengapa perlu kita pilih yang haram?

Monday, September 26, 2005

Perang rasuah tanpa suntikkan taqwa akan sia-sia

Menurut kajian Institut Integriti Malaysia 15 peratus dari penduduk negara terlibat dalam amalan rasuah. Bermakna bagi setiap 10 orang rakyat Malaysia, 1.5 orang terlibat dalam amalan memberi ataupun menerima rasuah!

Bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar dalam ruangan mingguannya dalam akhbar THE SUNDAY STAR menganggap angka ini sesuatu yang membimbangkan. Kata beliau:

This make a mockery of the oft repeated platitude that corruption in Malaysia is not serious, that only a few black sheep are involved.

Ini membutikan bahawa anggapan kita yang rasuah di Malaysia tidaklah serius dan cuma melibatkan beberapa kerat kambing hitam adalah tidak benar.

Tun Haniff telah membuat kajian rambangnya sendiri melalui survey SMS kepada 35 orang rakannya, dan cuma 34 yang memberikan respon. Dari 34 yang memberikan respon, 22 orang menganggap usaha kerajaan membenteras rasuah masih di bawah angka 5 (bagi skor dari 1 ke 10).

Tetapi berbalik kepada bidang kepolisian, amalan rasuah yang melibatkan jabatan ini sudah menjadi perkara lumrah dalam masyarakat. Rata-rata saya melihat apabila sahaja contohnya ada pegawai trafik polis menahan sebuah lori ataupun apa sahaja kenderaan di tepi jalanraya, pasti akan ada dikalangan kita yang akan mengatakan:

Cari makanlah itu.

Sebutan ataupun ungkapan ini muncul dengan spontan walaupun mungkin pegawai berkenaan katakanlah adalah Juara Penuh Disiplin dalam PDRM!

Bagi saya kuasa besar yang ada ditangan polis itulah yang memungkinkan ia terdedah kepada amalan buruk ini. Ini tidak termasuk faktor tekanan dan kesemptian hidup masing-masing.

Apa sahaja bidang penghidupan, suka tidak suka akan terpaksa berurusan dengan pihak polis, dari daftar kelahiran, kematian, kehilangan barang, trafik, jenayah (termasuk jenayah perdagangan dan cyber) dan lain-lain.

Saya mendapat tahu rasuah yang dipinta atau ditawarkan (tak pasti kalau Tun Haniff pun tahu) bukan sekadar dalam bentuk kewangan dan harta (ada yang beri barang kemas, saham, tanah, kereta dan lain-lain) malah sehingga tubuh badan pun dirasuahkan, yakni dalam bentuk layanan seks dan seumpamanya.

Seorang kenalan saya memberitahu ada seorang bekas pegawai kanan Polis, ketika berkhidmat (tak pasti kalau Tun Haniff maklum) lebih cenderung meminta disogokkan dengan wanita yang muda-muda dan cantik-cantik dari wang. Jijik sungguh amalannya.

Malah katanya ada seorang lagi pula minta diadakan aksi seks antara lelaki dan wanita di depannya untuk tontonan, persis amalan binatang zaman jahiliyah!

Demikianlah realiti dalam masyarakat kita pada hari ini. Bagi taukeh-taukeh kelab malam, rumah urut, tarik kereta, along, judi haram, penyeludup dan yang seumpama mereka, wang ringgit dan wanita genit sekadar mahu disogokkan kepada seorang Pegawai Kanan, samada OCPD atau CPO atau IGP umpamanya, apalah sangat.

Maruah dan harga diri bangsa, agama dan negara tercabar dengan amalan curang dan tidak bermoral ini. Kerana itu penting bagi kita melahirkan para pegawai dan aggota polis yang bertaqwa dan beriman (bukan yang berani mengatakan judi tiada dalam Quran).

Allah swt berfirman (Al Baqarah: 188):

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Rasulullah saw bersabda:

Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.
(Hadis riwayat ath-Thabrani)

Kita boleh melancarkan perang rasuah besar mana sekalipun, namun percayalah dengan kuasa besar yang ada ditangan pihak polis, tanpa daya ketahanan Islam, kita akan gagal dan rebah juga akhirnya.

Sunday, September 25, 2005

About turn Ketua Pemuda Umno

Dalam isu kerajaan negeri PAS Kelantan mengundang Mawi ke Kota Bharu, banyak pihak yang telah memberi galakkan dan dorongan, tidak kurang juga yang membantah dan meyerang.

Antara yang terawal menyerang adalah Hishamuddin Tun Hussien Ketua Pemuda Umno pada 21 Ogos lalu. BLOG ini pernah melaporkan kenyataan beliau ketika itu:


Pas tidak konsisten. Saya harap, orang ramai boleh menilai bahawa perjuangan mereka boleh berubah-ubah. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sokongan.

Parti Pas disifatkan semakin tertekan apabila sanggup menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi untuk mengadakan persembahan di KelantanKetua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan Pas itu adalah bukti jelas bahawa parti pembangkang tersebut hipokrit dan tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

Kata-katanya pedas, kesat dan berbisa. Tiada ruang langsung untuk belas kasihan tambahan apabila mengecop pula PAS sebagai hipokrit.

Kini tinggal beberapa hari lagi Mawi akan ke sana. Perkembangan sekeliling khususnya dikalangan masyarakat ramai nampaknya cenderung kepada pendekatan baru PAS dan keupayaannya untuk memperkenalkan hiburan alternatif yang menepati syarak.

Lalu rupa-rupanya terserlah yang sebenarnya tidak konsisten adalah sipenuduh dan bukannya yang tertuduh.

Mingguan Malaysia hari ini melaporkan:

Secara peribadi beliau (Hishamuddin) melihat usaha PAS itu satu PERKEMBANGAN BAIK kerana dapat membantu mengatasi gejala sosial dikalangan remaja.

Satu hari PAS dilihat sebagai hipokrit dan bersedia melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sokongan. Dan pada satu ketika yang lain PAS dilihat membawa perkembangan yang baik.

Apa pun terima kasihlah Hishamuddin. Ternyata PAS melakukan semua ini demi untuk mendekati golongan remaja dan memandu mereka ke arah kebaikan berdasarkan acuan Islam.

Sama-samalah kita sokong yang baik dan sama-samalah kita tolak yang mungkar.

Sebagaimana kata Hishamuddin lagi:

Walaupun bertentangan idea berpoltik tetapi Umno dan PAS mempunyai tanggungjawab dalam memperjuangkan kepentingan bangsa dan agama.

Macam tu kan baik dan berakhlak bunyinya Dato!
AADK: Cukupkah dengan membuka pekong sendiri?

Agensi Anti Dadah Kebangsaan ataupun AADK adalah sebuah organisasi di bawah kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Ianya telah ditubuhkan pada 7 Februari 1996 dengan menggabungkan Pasukan Petugas Anti Dadah(PPAD) dan Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah(BRPD).

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bertanggungjawab sebagai urusetia kepada Majlis Dadah Kebangsaan(MDK) dan semua aspek tindakan anti dadah. Misi AADK ialah untuk memerangi ancaman dadah bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas dari dadah.



Oleh itu apabila terbit berita dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai Timbalan Menteri berkenaan yang berang dengan sikap para pegawai AADK Pulau Pinang kerana gagal turun padang ke program anti dadah anjuran Belia 4B Pulau Pinang, berbagai tandatanya dan persoalan timbul?

Kalau saya seorang pengurus syarikat, para pekerja saya ponteng ataupun lalai, saya tidak akan laporkan ke pihak luar kerana ini masalah dalaman syarikat dan perlu ditangani diperingkat dalaman.

Demikian juga kalau saya nakhoda kapal, kiranya kelasi saya curi tulang atau tidak berdisiplin, saya akan tanganinya segera tanpa terjerit-terlolong memaklumkan hal ini sehingga kepengetahuan nakhoda kapal-kapal lain!

Oleh itu memandangkan AADK letaknya di bawah batang hidung Timbalan Menteri berkenaan, sewajarnyalah beliau sendiri memikul tanggungjawab dan tak perlulah menjadi juara membuka pekong sendiri untuk diteropong oleh orang-ramai.

Sebentar tadi Berita RTM melaporkan timbalan menteri yang sama terus merungut kerana sebuah lagi majlis, kali ini di KL pula, juga menghadapi masalah yang sama bilamana agensi berkenaan yang sepatutunya menghantar seorang penceramah telah gagal berbuat demikian.

Nampaknya AADK di bawah Noh Omar semakin pincang, parah dan bermasalah.

Pasukan Perak yang kalah Piala FA semalam, pasti akan membuat post mortem, dimana kesilapan dan kekurangan mereka. Yang menjadi amalan biasanya pertanggungjawaban akan dipikul oleh jurulatih dan pengurus. Ada kalanya jurulatih ataupun pengurus terpaksa memberi laluan kepada orang yang lebih layak dan mahir.

Mungkinkah dalam hal ini Noh Omar juga berada dalam kedudukan yang sama?

Saturday, September 24, 2005

Husam menjadi jurubicara Tokong Mek

Sekiranya PAS memerintah habis orang Cina akan ditekan. Orang bukan Islam akan dipaksa memeluk Islam. Orang bukan Melayu tidak lagi akan dapat mengamalkan adat dan budaya mereka. Demikianlah propaganda jahat yang ditiup dan dimain-mainkan oleh musuh politik PAS sejak ia ditubuhkan diawal tahun 50an sehinggalah sekarang.

Propoganda ini ternayat telah sebati dalam pemikiran mereka sehingga mengakibatkan masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu khususnya mereka yang di luar Kelantan begitu bimbang dan tidak menyenangi langsung kehadiran PAS.

PAS mula memerintah Kelantan sejak tahun 1959 (berhenti sekejap pada tahun 1978 dan bekuasa kembali pada tahun 1990), sejak itu sekitar 1 peratus masyarakat Cina yang bukan Islam telah hidup dengan aman dan selesa dalam negeri tersebut.


Husam di Tokong Mek (gambar THE STAR)

Menurut sejarah masyarakat Cina telah mula bertapak di bumi Kelantan sejak tahun 1400 lagi dengan penempatan awal masyarakat Cina Hokien dapat dikesan dizaman pemerintahan Raja Kelantan Long Yunus pada 1782. Sebuah Tokong yang dikenali sebagai Tokong Mek telah dibina di tepi tebeng Sungai Kelantan berhampiran PCB pada tahun 1780.

Kisah dan kesan sejarah ini diceritakan oleh Naib Presiden PAS yang juga ahli Exco Keerajaan Negeri Kelantan Hj. Husam Musa dalam sebuah artikel sisipan akhbar THE STAR hari ini di bawah tajuk:

The Grand Old Lady of Kota Bharu

Kalau anda berkesempatan membaca artikel di atas pasti akan tersenyum sendiri, manakan tidak, pemberita akhbar THE STAR tersebut dibawa melawat tokong itu dan diceritakan pula sejarah dan latarbelakangnya oleh seorang pemimpin PAS!

Husam telah berjaya membuktikan beberapa perkara besar, Bahawa masyarakat Islam boleh hidup dengan harmoni dan tolak ansur dengan masyarakat bukan Islam, dengan masing-masing hormat menghormati antara satu dengan lain.

Sekaligus kehadiran Husam sebagai salah seorang pemimpin terkanan parti PAS turut membuktikan betapa toleran dan terbukanya sikap parti Islam tersebut.

Husam bukan sekadar membawa pemberita ke sana malah beliau membuktikan bahawa beliau mahir dan tahu akan warisan sejarah tokong tersebut, salah sebuah binaan yang tertua di Kota Bharu, Bandaraya Islam.

Sikap keterbukaan sebegini perlu dicontohi oleh ahli-ahli PAS yang lain, sekurang-kurangnya dalam berhadapan dengan masyarakat bukan Islam di Malaysia. Saya masih ingat di awal pemerintahan beliau Tok Guru MB Kelantan pernah hadir dalam majlis penyerahan watikah kepada Ketua Sami, di Wat Buddha di Tumpat.

Tidak ada cara lain untuk kita mematahkan tohmahan dan propaganda jahat terhadap Islam melainkan kita sendiri berani bangun dan membuktikan kepalsuannya. Kelantan telah bergerak jauh dalam bab ini. Malahan pada hari ini kerajaan negeri Kelantan mampu berdiri megah dan gagah dengan kehadiran seorang ahli keturunan Cina (Dato Anuar Tan) sebagai anggota Exco nya selaku bukti keterbukaan dan toleransi kerajaan negeri tersebut khusus dalam bab hubungan dengan kaum dan agama lain.
Pertahankan hak kebebasan bersuara: Tun Salleh

Ketika saya menulis ini program Taklimat Laporan Suruhanjaya Di Raja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM oleh Tun Salleh Abbas di Markas Tarbiyah PAS Pusat mashi berjalan.

Saya tertarik ulasan Tun Salleh, bkas Ketua Hakim Negara, berkenaan Freedom of Speech ataupun Hak Kebebasan Bersuara.

Kata Tun, Freedom of Speech ini adalah hak yang bukannya diberikan oleh pihak Polis, hak yang bukannya diberikan oleh kerajaan, tetapi ia sebenarnya adalah hak yang termaktub dan terjamin dalam Perlembagaan Negara.

Rakyat memiliki hak untuk bersuara ataupun menyuarakan pandangan mereka (termasuklah menulis dalam BLOG) dan hak ini tidak boleh dicabuli tertakluk kepada beberapa peruntukkan undang-undang yang mengawal hak ini.

Sekiranya hak ini dicabuli dan dinafikan maka rakyat yang terjejas tadi berhak pula mencabarnya di mahkamah. Mahkamah adalah institusi yang bertindak sebagai badan yang menjamin hak kebebasan ini.

Kata Tun tidak ada maknanya Freedom of Speech sekiranya rakyat tidak berhak bersandar kepada mahkamah untuk menunutut haknya.

Mudah-mudahan kerja-kerja baik yang dilakukan oleh anggota suruhanjaya ini akan segera diterima pakai oleh pihak kerajaan. Sekiranya kita memandang tinggi dan menghormati hak kebebasan rakyat, maka sewajarnyalah segala syor yang dikemukakan oleh suruhanjaya ini diterima dan dilaksana.

Kita menunggu-nunggu lahirnya satu pasukan polis yang membela dan mempertahankan hak rakyat. Pasukan Polis yang bebas dan tidak tunduk dan patuh pada kepentingan orang-orang politik. Mudah-mudahan segalanya akan berubah ke arah kebaikan dan tidak sebaliknya.
Walaupun bersih namun pimpinan PAS tidak hebat: Azimi Daim

Semasa diwawancara akhbar THE STAR Ketua Penerangan Pemuda Umno Azimi Daim ditanya oleh pemberita Shahanaaz Habib berkenaan pandagan beliau terhadap PAS hari ini. Sudah pastilah Azimi tidak ada perkhabaran yang baik ataupin comel terhadap PAS, semuanya buruk belaka. Walaubagaimanapun antara serangan-serangan beliau terhadap PAS dalam wawancara tersebut terselit juga sebaris dua perkara yang positif terhadap PAS, satu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.

Kata Azimi:

But the party is very close to the Malay people. PAS has changed its approach a little. Previously its youth wing was a little fierce and seemed extreme. But now they have adopted a soft approach. They are smart. They even support some of the statements made by Umno leaders.

Namun parti ini rapat dengan orang-orang Melayu. PAS telah merubah sedikit pendekatannya. Sebelum ini dewan pemudanya sedikit bengis dan kelihatan ekstrim. Tapi kini ia mengambil pendekatan yang lembut. Mereka cerdik. Malahan mereka kelihatan menyokong beberapa kenyataan pimpinan Umno.

Yang menariknya apabila Shahanaaz bertanya beliau satu soalan, Azimi jelas terperangkap dan tidak mampu memberikan respon yang meyakinkan dan terpaksa pula menaburkan beberapa kenyataan yang tidak benar demi mempertahankan partinya.



Shahanaaz bertanya:

But a moderate PAS, with its leaders not engaged in gambling or money politics, would this not be the party for Malays and render Umno irrelevant?

Tetapi sebuah PAS yang sederhana, dengan pemimpinnya tidak terlibat dalam perjudian atau politik wang, tidakkah ini akan meletakkan PAS sebagai sebuah parti yang sesuai untuk orang-orang Melayu, lalu meletkkan Umno sebagai tidak lagi relevan?

Azimi dalam jawapnnya mengatakan Umno dahulu tidak ada masalah ini (politik wang), oleh itu PAS hari ini kelihatan macam Umno pada masa dahulu. Benarkah demikian?

Azimi menambah, satu hari nanti jika PAS telah berjaya, mereka juga akan terjebak dalam politi wang ini. Malah kata Azimi:

We cant also say money politics and corruption do not exist in PAS because maybe PAS has taken a different approach than Umno on this. We make public whatever is discussed and raised at the disciplinary level. But PAS doesnt publicise anything.

Kita tidak boleh mengatakan yang politik wang tidak wujud dalam PAS kerana mereka mungkin telah mengambil pendekatan yang berbeza dari Umno. Kita mengumumkan apa sahaja masalah disiplin yang dibangkitkan. Akan tetapi PAS langsung tidak membawa kepengetahuan umum perkara-perkara ini.

Hakikatnya PAS adalah PAS. Tidak seperti Umno PAS adalah sebuah parti Islam. Peraturan dan disiplin partinya dibuat dan diselaraskan berdasarkan hokum dan peraturan Islam. Kerana itulah tidak seperti Umno, politik wang, judi dan apa sahaja amalan yang tidak bermoral, yang haram, tidak akan kelihatan dikalangan pimpinan PAS.

Kerana itulah juga, bukan sebab masalah disiplin dalam PAS dipengap dari pengetahuan umum, tetapi hakikatnya masalah disiplin yang melibatkan perkara-perkara yang tidak bermoral yang bertan-tan dalam Umno itu setakat ini, samada dalam keadaan PAS menang besar, ataupun kecil, tidak pernah wujud dalam parti Islam itu.

Sebenarnya kalau kita lihat sejak PAS menang semula di Kelantan pada tahun 1990, menang kedua-dua Kelantan dan Terengganu pada tahun 1999 dan menang tipis di Kelantan pada tahun 2004 lalu, memang PAS memikul ujian yang besar. Ujian yang saya maksudkan adalah kemungkinan wakil rakyatnya dibeli dan lari meninggalkan PAS, lalu kalau umpama di Kelantan hari ini boleh memungkinkan kerajaan negeri itu runtuh.

Sejarah membuktikan sehingga kini sejak tempuh 1990 PAS telah berjaya meyakinkan pimpinannya bahawa perjuangan Islam ini lebih penting dan jauh lebih besar nilainya dari harta benda dan wang ringgit.

Jangankan RM1 juta saya kira RM100 ribu pun sebenarnya adalah angka yang besar bagi seorang wakil rakyat PAS dimana sahaja mereka berada. Kesusahan dan kehimpitan hidup wakil rakyat PAS bukanlah suatu rahsia yang tidak diketahui.

Kerana itulah kalau politik wang boleh terjun masuk ke dalam PAS, sudah pasti parti ini telah hancur berkubur. Namun dengan izin Allah setakat ini tidak seperti Umno, PAS kelihatan kukuh dalam bab ini.

Oleh yang demikianlah kiranya keperibadian dan kejujuran pimpinan PAS ini akan terus berjaya disibarkan kepada masyarakat Malaysia, saya bersetuju dengan Shahanaaz tidak mustahil satu hari nanti Umno akan terus menjadi tidak relevan dan orang-orang Melayu khasnya akan lari meninggalkan mereka dan berhijrah ke PAS.

Friday, September 23, 2005

Fobia Pemuda Umno terhadap Anwar

Nama Azimi Daim bukan lagi asing dalam Pemuda Umno. Ketua Penerangan Pemuda ini satu ketika dahulu dijangkakan akan mengambil tempat sebagai Naib Ketua Pemuda apabila Aziz Sheikh Fadzir mengsosongkan tempatnya kerana faktor usia. Malahan beliau antara yang terawal ketika itu mengumumkan akan bertanding jawatan tersebut.



Akan tetapi cita-cita besar beliau itu tidak kesampaian apabila seorang budak muda yang memiliki taring yang panjang telah membuat pengisytiharan akan turut bertanding. Apabila Kahiry Jamaluddin (menantu Pak Lah) mebuat pengisytiharan tersebut bukan sahaja Azimi malah calon-calon lain turut terpatah semangant dan mengundurkan diri belaka lantaran malu-malu alah dan bimbang dimurkai Presiden parti.

Hari ini akhbar THE STAR memuatkan dua mukasurat temuramah dengan Azimi. Menarik dan terhibur juga membaca sikap dan bacaan politik beliau.

Berkenaan Anwar Ibrahim dan Umno beliau berkata:

Now after so many years, the court is saying that what Khalid Jeffri had written is not true and that Anwar was not involved in those kind of things. We accept this court decision too. But that does not mean that we can accept him back into Umno.

Kini setelah beberapa tahun berlalu, mahkamah memutuskan bahawa apa yang ditulis Khalid Jeffri itu tidak benar dan bahawa Anwar tidak terlibat dalam perkara-perkara itu. Kami juga menerima keputusan mahkamah ini. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna yang kami akan menerima Anwar kembali ke dalam Umno.

Beliau turut mengakui bahawa Anwar mempunyai ramai pengikut di dalam Umno samada yang menyokong secara terbuka maupun secara sembunyi. Ditanya apakah impak Anwar terhadap Umno, beliau berkata:

The youth wing will fight until the end whoever tries to revive him or bring him banck into Umno.

Pergerakan Pemuda akan menentang sesiapa sahaja yang mencuba untuk membawa Anwar kembali ke Umno.

Dalam hal ini saya pasti Anwar sendiri pun tidak pernah menyuarakan kesediaan beliau untuk kembali ke Umno, parti yang pernah menyisihkan beliau, menghina dan mengaibkan beliau dan kaum keluarganya.

Soalnya jika kata Azimi keputusan mahkamah dihormati, mengapa Pemuda Umno mahu menentang pula kemasukan Anwar jika pun benar Anwar berminat. Apa lebihnya sangat Umno sehingga boleh memilih-milih ahlinya?

Malah keputusan mahkamah itu sebenarnya telah membuktikan wujudnya konspirasi besar-besaran dalam Umno pimpinan Dr Mahathir dahulu untuk melenyapkan masadepan politik Anwar. Dr M terus dengan pendirian beliau dan terus menghina Anwar walaupun mahkamah telah membongkar rahsia sebenarnya.

Di dalam temuramah ini Azimi juga ditanya darihal dakwaan Ketua Pemuda PKR bahawa beliau pernah berbual-bual secara tidak resmi dengan beberapa Exco Pemuda Umno. Kata Azemi isu ini telah dibangkitkan dalam mesyuarat Pemuda dan Ketua Pemuda telah mengeluarkan arahan:

Dont anybody try to communicate with them and try to chit chat

Jangan sesiapa cuba menghubungi atau berbual-bual dengan mereka.


Azemi menambah:

As information chief I am also giving this warning to my colleagues in the exco not to have any discussion with them without our permission and knowledge. If we know about such meetings we will come down hard on them.

Sebagai ketua penerangan saya juga memberi amaran kepada rakan-rakan exco saya supaya jangan berbincang dengan pihak ini melainkan dengan kebenaran ataupun pengetahuan kami. Jika kami mendapat tahu berkenaan sebarang perjumpaan seumpama itu tindakan keras akan diambil.

Nampak gaya macam goyah dan tak stabil sahaja kedudukan Pergerakan Pemuda Umno, sehinggakan gelagat dan tindak-tanduk anggota Exconya pun mahu dipantau sedemikian rupa.

Ezam baru mendakwa bersembang-sembang barangkali dengan Khairy atau sesiapa lagi, Hisahamuddin dan Azemi dah melompat-lompat kekalutan. Jika beginalah keadaan Umno pada hari ini, memang layak sangatlah Anwar Ibrahim dan Ezam memujuk rakan-rakan yang masih berada di sana agar keluar dan menyertai sahaja perjuangan sebenar di sebelah sini.

Bangsa Melayu kehausan saf pimpinan yang berani kerana benar, membenci kemungkaran dan membela keadilan. Lalu tunggu apa lagi saudara-saudara ku.

Thursday, September 22, 2005

Bebaskan segera Nik Adli Nik Abd Aziz

Hari ini genaplah 4 tahun Ustaz Nik Adli Nik Abd Aziz ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Beliau kononnya dituduh terlibat dalam kumpulan ektrimis KMM.



Sehingga kini tiada sebarang pertuduhan dibawa terhadap beliau di mahkamah terbuka. Menurut rekod beliau adalah anak Menteri Besar yang pertama ditahan di bawah ISA.

Dengan ini bermakna esok Ustaz Nik Adli samada akan dibebaskan ataupun terus ditahan lagi untuk tempoh 2 tahun sebagaimana diperuntukkan oleh akta bangsat dan tidak bertamaddun itu.

Tibalah sudah masanya bagi PM Malaysia mengkaji semula kesesuaian akta pusaka penjajah British ini. Kiranya kerajaan memiliki bukti, maka yang tertuduh perlu diberikan hak membela diri di mahkamah yang terbuka. Menahan seseorang tanpa bicara, tanpa hak untuk didengar adalah merupakan satu kezaliman yang sama-sekali bertentangan dengan Islam.

4 tahun anak-anak dan isteri masing-masing dipisahkan dengan paksa dari yang mereka kasihi. 4 tahun mereka yang tidak berdosa menanggung dan memikul penderitaan. 4 tahun mereka menyambut Ramadhan dan Eidul Fitri dalam keadaan hiba dan bersedih.

Apa bezanya kita dengan negara kuku besi yang lain, dengan negara diktator yang lain umpama Korea Utara, Kominis Cina, Cuba, Myanmar dan lain-lain. Kita merungut melihat tahanan Islam di Kem Guantanamo di Cuba, akan tetapi tahanan sendiri di Kamunting tidak kita indahkan.

Demi kemanusiaan dan demi hak kebebasan individu, Pak Lah, kembalikanlah si bapa kepada isteri, anak dan keluarga mereka masing-masing. Jangan kita berterusan mencabar dan mengundang laknat dari Allah swt dengan menahan mereka demikian cara.

Ya Allah bebaskanlah saudara-saudara kami:

Nik Adli Dato Nik Abd Aziz
Solehan Abdul Ghafar
Mohd Lothfi Ariffin
Mohd Rafi Udin
Mohd Zulkifli Mohd Zakaria
Zainon Ismail
Zid Sharani Mohd Isa

Amin.
Assalamualaikum & salam sejahtera

Buku Fenomena Mawi: Apakah PAS sudah berubah? ini susunan Sdr Zulkifli Sulong terbitan Edisi Prima kini telah berada di pasaran.

4 artikel dari BLOG ini dimuatkan dalam buku tersebut, semuanya ulasan berkenaan fenomena Mawi. Sudi-sudilah dapatkan di pasaran. Terima kasih atas sokongan anda semua.

Peluang jadi jutawan ala Guiness Malaysia

Beberapa hari lalu BLOG ini memuatkan kesungguhan sebuah syarikat arak tersohor di Malaysia yang berhasrat mempromosikan secara besar-besaran produk arak terbarunya.

Guiness dilaporkan akan berbelanja sehingga RM13juta bagi kerja-kerja promosi di Malaysia sahaja.

Hari ini dalam akhbar THE STAR terbit sebuah iklan Guiness yang pasti menarik perhatian ramai:

Jadi seorang jutawan. Cara-caranya beli 5 botol Guiness quart ataupun 10 botol Guiness pints, dan kumpulkan pelekat pada tudung-tudungnya. Kemukakan pelekat-pelekat tadi samada 5 ataupun 10 ke mana-mana kedai Magnum yang berdekatan dan anda boleh menikam satu nombor 4D pilihan yang berharga RM2. Disamping itu anda perlu mengisi borang penyertaan untuk berpeluang memenangi pula hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Kempen promosi menjadi jutawan ini dibuat sempena pelancaran Guiness Foreign Extra, stout terbaru keluaran Guiness. Buat pertama kalinya kita lihat gergasi industri maksiat arak dan judi bergabung untuk mengejar keuntungan besar.

Perhatikan tidak ada disclaimer ataupun larangan langsung yang mengatakan bahawa iklan ini dimaksudkan untuk masyarakat bukan Islam sahaja (atau barangkali sekarang dah tidak ada larangan). Bermakna ada yang boleh mengatakan bahawa promosi ini mengecualikan larangan berjudi dikalangan orang Islam yang dilekat di dinding-dinding premis Magnum di sekitar negara (kecuali Kelantan), kerana melalui promosi ini tiket 4D tidak dibeli tetapi diberi percuma.

Kesimpulannya inilah yang kita dapat, apabila Islam dijadikan sekadar alat apabila perlu dan penting sahaja. Apabila keperluan dan kepentingan tadi digerhanai dengan keuntungan dan kemewahan maka, Islam duduk disaf belakang. Kepentingan syarikat, ekonomi dan apa sahaja diletakkan disaf depan dan teratas.

Siapa tak mahu jadi kaya, tambahan dalam keadaan ekonomi yang kabur dan kusut ini. Lalu dimanakah letaknya maruah, kehormatan dan kesucian Islam?
Padahnya mencuit Najib Tun Razak

Pernah satu ketika dahulu ketika zaman Dr M, artis serba boleh dan Pengetua AF3 hari ini, M. Nasir diletakkan dalam keadaan dilema dan serba tertekan apabila kata-kata beliau dijadikan hujah oleh pihak tertentu untuk menjatuhkannya.

M. Nasir dalam satu situasi dikhabarkan telah berkata SIAPA MAHATHIR, dengan maksud besar sangatkah Mahathir, lebih kurang begitu.

Akibat dari keterlanjuran beliau (di kacamata pihak yang berkuasa) itu, M.Nasir telah dihukum bersalah oleh mahkamah hutan rimba dan kesannya segala karya beliau telah dibekukan oleh pihak berkuasa.



Dalam akhbar tempatan hari ini, senario yang lebih kurang serupa timbul sekali lagi. Kali ini giliran Ketua Pengarah Kastam Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib pula. Beliau ditempatkan dikandang orang salah kerana mengungkap kata-kata:

On yesterday golf game (he said he was playing) on my own time and using my own money. I am paying for this golf game. Everyone must pay from his or her own pocket. Even the deputy prime minister came here to play golf. Why no one questioned him?

Berkenaan permainan golf semalam (katanya dia bermain) pada masa lapangnya sendiri dan mengunakan wangnya sendiri. Saya bayar untuk bermain golf ini. Semua yan ada membayar dari kocek masing-masing. Malahan timbalan perdana menteri pun datang ke sini main golf. Kenapa tak ada orang memperoalkan tindakan beliau?

Maka bersidanglah kabinet semalam dengan dipengerusikan oleh Najib Tun Razak sendiri (Pak Lah berada di luar negara). Menurut Ketua Setiausaha Negara, kabinet memandang berat kenyataan Halil itu, sebagai seorang ahli perkhidmatan awam beliau tidak sepatutnya menyamakan kedudukan beliau dengan TPM. Lalu Halil diarahkan memohon maaf pada Najib.

Soalnya tidak berasaskah kenyataan Halil itu? Apakah ianya berniat jahat, palsu dan satu pembohongan?

Negara berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah namun kabinet mengambil masa untuk membincangkan satu perkara yang sangat remeh dan tidak masuk akal. Tidakkah kabinet memikirkan bahawa kenyataan Halil itu sebenarnya mungkin harmless, tidak berniat jahat, hanya sekadar mahu menguatkan hujah beliau bahawa bermaina golf dengan masa dan duit sendiri itu tidak salah

Apakah kenyataan demikian begitu sensitif dan sungguh mengaibkan sehingga perlu Halil memohon maaf kepada TPM dan perkara ini pula dihebahkan kepada umum.

(Halil sejak akhir-akhir ini dibabitkan dengan kontroversi perbelanjaan jutaan ringgit untuk majlis perpisahan beliau yang akan tamat perkhidmatannya pada 3 Oktober ini.)

Saya kira isu penyelewengan AP, isu kos hidup rakyat yang semakin mencengkam akibat kenaikan harga minyak dan banyka lagi jauh lebih penting dari meminta Halil memohon maaf. Najib pun takkanlah sensitif sangat, atau memang ada pihak sengaja mahu menjatuhkan Halil sebagaimana M.Nasir dahulu, entahlah.

Renungilah keratan sajak dari Halil:

Siapa sangka,
ketika bahtera hampir tiba ke pelabuhan,
tiba-tiba ribut melanda tanpa belas kasihan,
seolah-olah menenggelamkan keringat tanpa belas kasihan.
Tetapi percayalah,
selagi hayat dikandung badan,
maruah mereka akan tetap saya pertahankan,
walaupun tidak ramai yang berani untuk sama-sama tampil ke hadapan,
mungkin kerana mereka mengira untung sendiri pada masa depan,
mungkin bila jatuhnya Halil bolehlah mereka menapak pantas ke depan

Wednesday, September 21, 2005

Apabila kita mendahului proses keadilan

Pengarah Syarikat broker saham Koh Kim Teck yang dituduh bersama pengawal-pengawal peribadinya membunuh remaja warga Cina tahun lepas, didapati tidak bersalah dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi KL.

Koh dan dua lagi dibebaskan tanpa dipanggil membela diri apabila Hakim Abdul Kadir Musa mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka yang tertuduh.



Kalau ditanya, ramai yang mungkin tidak berpuas hati dengan penghakiman ini, namun hakim yang mengadilinya perlu memuaskan hatinya berdasarkan bukti dan keterangan yang dikemukakan. Bukan senang mahu mensabitkan seseorang sebagai pembunuh lalu dijatuhkan hukuman mati. Oleh itu dalam hal ini kita terpkasa berpuas hati dengan keputusan hakim kerana atas kepala bahu beliaulah dibebankan tugas yang sukar ini dan beliau telah pun membuat keputusan.

Selesailah setakat ini satu bab, kecuali pihak pendakwa mengemukakan rayuan ke mahkamah rayuan.

Isunya di sini adalah berkenaan Koh Kim Teck. Beliau pernah dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato Seri oleh Sultan sebuah negeri. Semasa pertuduhan dikenakan terhadap beliau dahulu pihak istana telah melucutkan gelaran tersebut dari Koh.

Kini Koh didapati tidak bersalah, apakah pihak istana akan mengembalikan anugerah tersebut kepada beliau?

Bagi saya tindakan melucutkan gelaran itu dahulu dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Bukankah seseorang itu tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah. Mengapakah kita perlu mendahului proses keadilan?

Memanglah anugerah dan gelaran adalah prerogatif istana, akan tetapi dalam hal ini ianya dilucutkan kerana tertuduh dituduh membunuh. Kini beliau dibebaskan dari pertuduhan itu, lalu bagaimana?

Dalam keghairahan kita mengejar status negara maju, kita juga perlu mengejar sama kemajuan dibidang keadilan dan membutikan bahawa kita menghormati hak kebebsan individu dan kumpulan. Sejak zaman Dr Mahathir lagi (apabila pelbagai pertuduhan dilemparkan terhadap Dato Seri Anwar contohnya) telah ada kecenderungan pihak atasan mendahalui proses keadilan. Siapa boleh lupa kenyataan akhbar Dr M ketika mengumumkan pertuduhan terhadap DSAI dahulu, seolah-olah beliau telah pun disabitkan kesalahannya sebelum pun dibenarkan membela diri.

Walaupun kes ini kes bunuh dan melibatkan pula seorang bukan Melayu, saya tetap merasakan bahawa proses keadilan itu perlu dijunjung dan dihormati oleh semua pihak dari istana sehinggalah ke kaki lima. Keadilan dan kesaksamaan perlulah hidup dalam masyarakat dan negara sebelum kita boleh digelar sebagai sebuah negara yang bertamaddun.

Tuesday, September 20, 2005

Kasihan Mawi di seret Ketua Putera Umno

Siapa bilang Umno tak bimbang bila Mawi setuju ke Kelantan?

Terbukti hari ini Pengerusi Putera Umno, yang memiliki latarbelakang serba berwarna-warni itu, terpaksa menyeret Mawi ke PWTC bagi membuktikan yang Mawi kononnya benar-benar menyokong Umno. Dikhabarkan majlis di PWTC itu sepatutnya majlis pengisytiharan Mawi menyertai Putera Umno (sila lihat Harakahdaily), akan tetapi majlis yang dirancangkan itu tidak menjadi sedemikian.



Sebagaimana Azeez pun difahamkan pernah merancang mendapatkan ijazah Phd (yang membawa gelaran Dr. ) sehinggalah beberapa pihak termasuk BLOG ini mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak pernah layak memasuki mana-mana universiti berdasarkan kelayakan akademiknya, lalu cadangan memperolehi Doktor Falsafah secara segera itu telah dibatalkan. (Azeez pernah kononnya mendakwa Universiti Prestoon yang beliau masuk belajar adalah Universiti tertua di Amerika Syarikat, mengikut rekod universiti berkenaan ditubuhkan pada tahun 1994, baru 11 tahun, tua lagi UM)

Mawi muncul dikaca TV hari ini menyatakan:

Saya penyokong setia Pak Lah dalam memerangi musuh nombor satu negara (dadah), memang saya sokong habis-habisan. (Petikan BERNAMA)

Sesungguhnya bukan hanya Mawi malah saya percaya MB Kelantan, orang-orang PAS, orang-orang tidak berparti siapa sahaja memang menyokong Pak Lah selaku PM dalam bab memerangi dadah. Dan tidak sekadar itu termasuklah dalam bab memerangi rasuah, membawa ketelusan dalam kerajaan, membela rakyat termiskin dan berbagai lagi masalah yang melibatkan rakyat dan negara, kita semua bersama Pak Lah.

Kalau sekadar itu sahaja matlamat Azeez, saya percaya jangankan Mawi, Ketua Dewan Pemuda PAS pun boleh mengisytiharkan demikian tanpa perlu dipaksa-paksa!

Tetapi Azeez sebenarnya telah merancang agar Mawi mengisi borang Putera Umno lalu mengisytiharkan dirinya ahli Putera sebagaimana pernah seorang artis wanita dahulu yang mengisytiharkan dirinya ahli Puteri Umno.

Akan tetapi hajat Azeez itu tak kesampaian. Dalam majlis tersebut menurut beberapa wartawan (yang malangnya tak terbit pula di TV) Mawi mengatakan:

Saya tidak berpihak ke mana-mana pihak, saya neutral.

Mengapa mahu dipaksa anak muda ini? PAS sendiri tidak pernah terhegeh-hegeh mempelawa Mawi menyertai parti itu. Tok Guru MB Kelantan umpamanya sekadar mengiktiraf kesungguhan Mawi yang dilihat cenderung kepada budaya hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam.

Atas kecenderungan inilah maka Mawi diundang ke Kelantan. Mawi tidak perlu menyertai PAS, cukup sekadar memberikan kesediaan untuk membuat persembahan yang menepati peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Mengapa Azeez begitu ghairah mahu memaksa Mawi menyertai Umno, jika tidak kerana bimbang yang anak muda ini akan nanti terpikat dengan PAS dan terus membawa bersama para peminatnya naik bulan!

Biarlah Mawi membuat keputusannya sendiri. (Tak payah paksa-paksalah Azeez, jangan bawa budaya amalan anda itu dalam kes melibatkan Mawi ni). Sebelum ini pun beliau pernah menegaskan tidak menyertai mana-mana parti, siapa sahaja undang, beliau akan pergi. Biarlah dia bebas memutuskan halnya sendiri.

Siapa yang menonton siaran di TV tadi dengan jelas dapat melihat betapa Azeez cuba mempengaruhi Mawi ketika Mawi membuat kenyataan dengan cara berbisik-bisik di sebelahnya. Sehingga Mawi diajukan persoalan darihal kecenderungan politik ayahnya, sampai begitu sekali.

Janganlah sampai memeras dan mengugut untuk mendapatkan kepuasan politik, itu amalan zaman Hang Tuah.

Ayah dan keluarga Mawi sebagaimana Mawi sendiri berhak menyokong siapa sahaja yang mereka mahu. Dan mereka tidak perlu menzahirkan pada seiapa pun, lebih-lebih lagi Azeez. Cukuplah poster Tuan Guru yang membisu di dinding rumah di FELDA Taib Andak sebagai saksi bagi mereka yang berakal.
Bahana menganugerahkan majoriti besar pada BN

Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat ke 3 Penggal ke 2 Parlimen ke 11 bermula semalam. Namun apa yang berlaku dalam dewan tidak banyak diketahui oleh rakyat di luar oleh kerana kerajaan Malaysia enggan menyiarkan secara lansgung persidangan tersebut walaupun negara-negara lain termasuklah Singapura menyiarkan secara langsung persidangan dewan mereka.



Dalam hal ini kita berkokok dan mendabik dada dipentas antarabangsa kononnya ghairah mahu menjadi negara maju (Selangor kononnya dah pun capai status itu tahun ini) akan tetapi dari segi amalannya khusus berhubung membuka persidangan badan perundangan negara yang tertinggi kepada orang-ramai, kita tak banyak berbeza dengan negara dunia ketiga dan negara mundur yang lain.

Adapun apa sahaja berita dari Parlimen maka kita terpaksa mendengar dari mulut ataupun kacamata parti pemerintah iaitu apabila ianya disiarkan oleh TV ataupun akhbar-akbar perdana yang rata-rata dimiliki parti pemerintah atau di bawah kawalan mereka. Demikianlah bebas dan meredekanya Malaysia sejak 48 tahun lalu.

Di Malaysia hari ini Parlimennya condong memihak kepada parti pemerintah sehinggakan majoriti itu acapkali dieksploitasi untuk menutup ruang keterbukaan ataupun tranparensi. Sering dengan majoriti yang besar dan berlebihan itu BN boleh melindungi dirinya dari sebarang penyelewengan, penyiasatan ataupun tindakan yang dikemukakan oleh parti-parti pembangkang.

Dalam Dewan Rakyat hari ini dari 219 kerusi, BN memiliki 199 ataupun 91 peratus kerusi dan selebihnya iaitu 19 milik parti-parti pembangkang dan 1 kerusi Bebas.

Inilah untung ataupun ruginya kita (tertakluk kepada kacamata apa yang kita gunakan). Bermakna apa sahaja yang dikemukakan oleh parti pemerintah di Parlimen, akan didebatkan namun akhirnya suka ataupun tidak akan terus sahaja diluluskan kerana keupayaan parti bukan kerajaan yang terlalu lemah itu tidak akan berdaya menahan asakkan mereka.

Parti pembangkang sekadar boleh bersuara, walaupun pada hakikatnya apa yang dikemukakannya mereka mungkin bernas, tepat ataupun betul, namun kiranya tidak dipersetujui oleh majoriti besar tadi kaca tetap kaca walaupun hakikatnya ia permata.

Monday, September 19, 2005

Alahai waraknya Sheikh Shahidan

Sekali membaca UTUSAN hari ini berkenaan kenyataan MB Perlis yang mengulas konsert perisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam nampak gaya macam ahli agama sahaja Shahidan Kasim. Mana tidaknya beliau dilaporkan berkata:

Pas tidak sensitif dengan masyarakat Islam Kelantan apabila membenarkan persembahan hiburan yang disertai juara Akademi Fantasia 3, Mawi pada 1 Oktober ini ketika umat Islam bersiap sedia menghadapi Ramadan.

Pas, tegas beliau, seharusnya menganjurkan persembahan yang lebih bercorak keagamaan sebagaimana yang dilakukan oleh BN negeri Kelantan yang menganjurkan Majlis Menggamit Ramadan pada malam yang sama.




Yang hairannya Shahidan tidak pula menyatakan apakah persediaan kerajaan BN Perlis dalam menyambut bulan yang sama. Berapa banyakkah premis judi yang akan ditutup, berapa banyakkah tempat maksiat yang akan ditutup?

Untuk pengetahuan Shahidan kerajaan PAS Kelantan sejak berkuasa pada tahun 1990 memang telah pun membesarkan bulan Ramadhan malah ia satu-satunya kerajaan negeri yang mengambil inisiatif memasukkan program Ihya Ramadhan dalam kalender pelancongannya. Di Perlis bagaimana?

Persembahan hiburan yang dimaksudkan oleh Shahidan itu sebenarnya adalah hiburan alternatif yang menepati ciri-ciri enakmen berkenaan hiburan yang diluluskan oleh kerajaan Kelantan. Ianya bukan macam Sureheboh atau apa sahaja konsert lain yang yang pernah diizinkan oleh Shahidan di Perlis.

Untuk pengetahuan Shahidan lagi kerajaan PAS sejak diberikan mandat pada 1990 bukan sekadar mahu jadikan Islam sebagai majlis dan peraian yang dianjurkan semata-mata dan apabila perlu malah ianya adalah satu-satunya kerajaan negeri yang beriltizam mahu menjelmakan kehidupan Islam itu dalam setiap aspek penghidupan negeri dan rakyatnya.

Allah swt berfirman dalam surah al Baqarah ayat 185:

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Bulan Ramadhan itu diturunkan al Quran, bukan untuk dibaca semata-mata, bukan juga untukdijadikan bahan perhiasan tetapi ia turun untuk dilaksana. Sejauh manakah perlaksanaan Islam di Perlis berbanding dengan Kelantan? Ada orang di Perlis yang minuman kegemarannya adalah WHITE WINE, tetapi dalam bab Islam dia bercakap mengalahkan Tok Lebai dan alim ulamak.

Sunday, September 18, 2005

Satu lagi pencapaian bumi Islam Hadhari

Akhbar THE SUN edisi hujung minggunya di ruangan Media & Marketing telah menyiarkan satu lagi pencapaian negara yang seharusnya dibanggakan oleh mereka yang bertanggungjawab, siapa sahaja mereka yang dimaksudkan.

Dipaparkan wajah gadis-gadis muda negara (saya tak pasti kalau ada gadis Melayu yang terlibat) dalam pakaian separuh telanjang semuanya berwarna hitam berkerumun disekitar taukeh dan teraju industri ini.




Upacara maksiat ini diadakan dimana lagi jika tidak di pusat maksiat negara iaitu di Zouk Kuala Lumpur, nama yang tidak asing lagi di Kuala Lumpur dimana kuasa penguatkuasaan agama pernah dicabar dan diperlekehkan satu ketika dahulu.

Menurut Pegurus Besar Pemasaran Guiness Anchor, Malaysia adalah pasaran terbesar Guiness (jenama arak jenis stout) diperingkat Asia! Dan kerana itu Malaysia dijadikan pusat untuk melancarkan identiti terbaru jenama Guiness iaitu Guiness Foreign Extra Stout.

Syabas Darul Islam Malaysia!

Menurut syarikat arak ini lagi sasaran mereka untuk jenama baru ini adalah dikalangan anak-anak muda sekitar usia 25 ke 35 tahun. Mereka dijangka berbelanja sekitar RM13 juta untuk tujuan promosi semata-mata. Menurut syarikat itu lagi:

We are proud to say that Malaysia was the first market to test it out and succeeded. The next step was to create an occasion such as the Black Party to gather the younger people to enjoy and sample Guiness.

Kami berbangga mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah pasaran pertama yang kita gunakan untuk menguji jenama ini dan kami berjaya. Langkah seterusnya adalah untuk menganjurkan majlis-majlis hiburan Parti Hitam untuk mengumpulkan anak-anak muda bagi mencuba Guiness

Demikianlah realiti yang kita hadapi pada hari ini. Siapakah dapat memastikan anak-anak muda, remaja kita tidak akan turut terjebak dalam majlis-majlis maksiat yang dirancangkan ini? Yang terbaru Jabatan agama pun mengeluh kerana kononnya tidak cukup tenaga untuk melakukan pengutakuasaan, kalau cukup pun stigma di Zouk dahulu masih belum dapat dikikis lagi.

Ini masalah serius. Dan ianya perlu ditangani dengan mendekati golongan remaja kita dan membuka channel ataupun saluran dimana kita boleh berbicara, menyampaikan mesej dan terus menyelamatkan kita. Atau apakah cadangan kita?

Friday, September 16, 2005

Menyelesaikan masalah remaja Islam tak cukup dengan menuding jari

Kita pernah melihat gejala lepak dikalangan remaja, kita pernah melihat gelagat golongan remaja semasa menghadiri konsert dan perayaan, kita pernah melihat golongan remaja tanpa segan silu berfoya-foya dengan berlainan jantina secara bebas, kita pernah melihat aksi golongan remaja mat rempet. Kita-kita yang dimaksudkan ini adalah kita umat Melayu Islam.

Umat Islam di Malaysia menurut angka terbaru sekitar 58.6 peratus dari jumlah penduduk yang seramai 26.22 juta. Dan dari jumlah itu hampir separuh adalah golongan remaja, golongan yang bakal mengambil-alih teraju negara sekitar 10 ke 15 tahun dari sekarang.

Keruntuhan moral dikalangan remaja Melayu Islam kini berada ditahap yang sungguh membimbangkan. Sedangkan Islam sepatutnya membawa keselamatan dan keamanan kepada umat manusia bukan sekadar di dunia malah terus sehingga ke hari akhirat.

Teraju dan kepimpinan negara sejak merdeka sehingga kini dikuasai oleh umat Islam belaka. Penjawat awam yang tertinggi dalam negara rata-rata dikalangan sebangsa dan seagama jua, namun kita seolah tiada berdaya membentuk remaja kita sehingga sebahagian besar mereka tergelincir, lemas dan rebah dalam arus penghidupan semasa.

Ringkasnya umat Melayu Islam gagal membentuk akhlak dan syahsiah anak-anak bangsa mereka. Ini bukan isu kecil, ini bukan perkara main-mainan, ianya jika tidak diatasi dengan serius akan bakal meranapkan masa depan umat dan negara.

Lalu adalah seorang ketua negeri dari bangsa dan agama yang sama turut mahu membantu menyumbang ke arah mengubati barah ini. Beliau seorang ahli agama dengan ilmu yang tidak pernah dipertikaikan oleh kawan dan lawan.

Mungkin kalau kita kumpulkan golongan remaja ini, kita adakan majlis yang tidak asing bagi mereka, kita selitkan unsur agama, kita jalinkan kepentingan dunia dan akhirat, mungkin boleh membuka hati dan mata mereka.

Mudah-mudahan majlis pertama ini jika berjaya boleh terus diadakan, dari segenggam jadi segantang, dengan harapan anak-anak muda akan semakin terangsang minda mereka. Dan dengan cara itu kelak mereka mungkin mudah dibentuk untuk membuat perubahan yang lebih besar dan akhirnya yang paling penting memiliki kesedaran agama, beriman dan bertaqwa.

Ketua negeri ini bersedia membuat suatu kejutan besar, suatu pendekatan berani, yang tidak pernah terbayang dibenak masyarakat. Namun demi mahu menyelamatkan anak bangsanya beliau sanggup melakukannya dengan berserah kepada Allah swt.

Dalam hal ini, menyederai kepincangan anak-anak bangsa kita kini, yang ubatnya masih tidak mampu kita beli atau temui sewajarnya kita menggabungkan tenaga menyokong usaha ini berdoa semoga ia berjaya. Siapa sahaja kita, profesional atau tidak, ulamak atau tidak, kaya atau miskin, PAS atau Umno, tua atau muda sepatutnya bersama-sama berbaik sangka mengharapkan kejayaan eksperimen ini agar ia boleh digunakan untuk mengubat mudarat yang sangat besar ini.



Oleh itu kepada Tok Guru MB Kelantan kita salut, mudah-mudahan usaha Tok Guru berjaya, mudah-mudahan anak-anak bangsa kami dapat dipimpin ke arah kebaikan. Teruslah Tok Guru berfikir, berbincang, berdoa agar anak-anak kami semua akhirnya akan berjaya sebagaimana anak-anak muda di zaman kekasih kita Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a

Dewasa ini tidak cukup dengan kita berkhutbah dan berceramah di masjid dan surau-surau sahaja, sasaran tidak kena rata. Dewasa ini kita perlu melangkah keluar, mendakap masyarakat, membelai dan memujuk mereka. Bercakap bahasa mereka, makan makanan mereka, ketika itu nanti mereka tidak akan merasa asing dan janggal untuk mendekati kita pula, insyallah

Sekurang-kurangnya dalam hal ini kita telah berusaha. Yang penting kita berusaha kerana yang bulat sampai bila pun pasti tak datang bergolek, dan yang pipih manakan mahu datang melayang. Tok Guru sanggup mengayun langkah, kita bagaimana?

Thursday, September 15, 2005

Berbeza pendapat jangan sampai membawa rebah

Saya menerima banyak email dan sms hari ini berkenaan satu kenyataan akhbar yang saya kira sedang hangat diperbincangkan oleh banyak pihak termasuklah kawan dan lawan.

Berita yang dimaksudkan adalah kenyataan akhbar Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Harun Taib yang dikatakan membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan menjemput juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi mengadakan persembahan di negeri itu.

Ramai yang keliru, ramai juga yang tertanya-tanya, bagaimanakah PAS sebagai sebuah parti politik Islam sebenarnya beroperasi?



Menteri Besarnya yang bertaraf Mursyidul Am telah mengumumkan penganjuran majlis berkenaan dengan persetujuan ahli-ahli EXCO nya. Majlis tersebut kemudiannya menerima endorsement ataupun persetujuan Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam beberapa siri ceramah rasminya.

Tiba-tiba Ketua Dewan Ulamaknya berkata Dewan Ulamak tidak dapat menerima malah membantah usaha kerajaan negeri Kelantan itu.

Sebelum ini kita mendengar Dewan Muslimat PAS bersetuju dengan langkah kerajaan Kelantan dan sokongan turut diterima dari Ketua Penerangan Pusat dan kebanyakan pimpinan Pusat yang lain. Jadi apakah yang sebenarnya telah berlaku?

Orang ramai bertanya, apakah sebenarnya pendirian PAS sekarang?

Isunya di sini adalah perbezaan pandangan, namun apakah kesudahannya?

Mursyidul Am PAS yang juga MB Kelantan telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:

Insya Allah selamat, selagi Islam ni dikawal oleh ulamak sama ada yang berpakaian jubah atau seluar biasa, selagi dia berjiwa ulama, Insya Allah aktiviti manusia itu akan selamat.

Sementara itu di Subang Jaya sebentar tadi ketika memberikan respon terhadap isu yang sama Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Naib Presiden PAS Dato Dr Hassan Ali telah berkata bahawa PAS Selangor menganggap bahawa perjuangan PAS ini adalah berpandukan dua dasar yang kukuh iaitu pertama dakwah dan kedua politik.

Oleh itu pada pandangan PAS negeri, rasional Tok Guru Mursyidul Am dalam isu ini sungguh bertepatan dan berpadanan sangat dengan kedua-dua dasar tersebut. Tok Guru menjemput Mawi ke Kelantan kerana ianya memiliki implikasi politik yang positif dan sebagai kaedah dakwah terhadap anak-anak muda di Kelantan. Kelantan telah dan sedang cuba menghidupkan budaya akhlak konsert yang berbeza dari amalan di negeri-negeri lain lalu usaha ini sewajarnya disokong oleh semua pihak.

Ditanya oleh pemberita berkenaan kenyataan Ustaz Harun dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini Dr Hassan mengatakan bahawa itu adalah bukti betapa kebebasan pandangan diraikan dalam PAS.

Dalam kenyataan yang berbeza Ketua Dewan Pemuda PAS pula dalam Malaysiakini berkata:

This is parallel to our stand on embracing the youth. We must love them and not isolate them. Involving alternative artistes would be useful to such attempts. I always look forward to pro-active approaches by PAS.

(Langkah Kelantan) ini adalah bertepatan dengan usaha kami medekati golongan remaja. Kita mesti kashi kepada mereka dan jangan sekali-kali mengasingkan diri dari mereka. Mendapatkan khidmat artis alternative dalam usaha ini dikira sangat penting. Saya sentiasa mengalu-alukan sebarang langkah pro aktif PAS dalam hal ini.

Dan terbaru Harakahdaily melaporkan bahawa:

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yakin Konsert Tautan Kasih yang bakal dipersembahkan di Kelantan nanti berlainan dengan konsert-konsert hiburan yang dianjurkan di tempat lain. Lagipun, ia dibuat berdasarkan undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri Kelantan yang ada iaitu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Demikianlah concern nya semua pihak dalam hal ini. Namun jika pimpinan tertinggi telah membuat keputusannya maka adab berjemaah menuntut kita agar akur dan patuh.
Kita boleh berbeza pandangan tetapi akhirnya cuma satu keputusan sahaja yang patut kita ambil, patuhi dan zahirkan.

Dalam suasana genting ini teringat saya kepada ucapan dasar Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pada Muktamar PAS ke 47 tahun 2001 dahulu:

Kita juga harus jelas apakah perkara yang tetap dan prinsip yang tidak mengalami perubahan walau apa pun pergolakan dunia ini. Inilah perkara-perkara tetap atau at thawabit yang perlu dipelihara dengan segala sifat cemburunya. Secara dasarnya ia menyinggung persoalan aqidah, syariat dan moral. Adapun dari sudut perlara-perkara yang yang boleh berubah mengikut peredaran zaman dan tamaddun, maka ulamak harus menunjukkan bimbingan yang bijak atas perkara –perkara yang berubah ini (al muthaghayirat). Kita tidak perlu syadidi (keras) tetapi sempit dalam perkara yang tidak menuntut sikap yang sedemikian khasnya dalam suasana negara yang bermasyarakat majmuk dan dalam perhubungan praktik antara amalan budaya dan agama.

Ucapan dasar bertajuk Menyanggah Serangan Menjana Kemenangan ini untuk rekod telah dipersetujui dan diterima sebulat suara oleh para perwakilan muktamar tahun itu.

PAS perlu menangani isu ini dengan penuh hikmah dan jangan mudah gelabah. Kewibawaan dan kredibiliti Mursyidul Am, Presiden dan Timbalan Presiden yang ketiga-tiganya ulamak belaka perlulah dipelihara dan dihormati.

Masyarakat mengharapkan PAS menjadi penyelamat ummah, membawa formula penyelesaian kepada berbagai permasalahan ummah dan bukan sebaliknya. Pandangan yang berbeza perlulah disuarakan dalam forum dalaman namun akhirnya apabila pimpinan tertinggi telah membuat keputusan dan menetapkan sikap maka siapa sahaja samada yang setuju ataupun yang tidak perlulah akur dan taat.

Kita tidak mampu melihat bumi Islam Kelantan gugur dari genggaman setelah kita lalai di Terengganu. Fikirlah.

Wednesday, September 14, 2005

Penyelesaian konflik Selatan Thai:
Libatkan Tok Guru MB Kelantan

Masalah pelarian Thai Muslim serama 131 orang yang memohon perlindungan di tanah air kita baru-baru ini masih belum nampak jalan penyelesaiannya. Mereka kini ditahan di pusat transit di Tanah Merah, apa nasib mereka dan apa pula nasib mereka yang lain yang masih hidup dalam ketakutan di Selatan Thai, tidaklah diketahui setakat ini.

Sudah pastilah hati dan perasaan kita bersama dengan saudara-saudara kita yang dalam kesusahan itu. Namun setiap langkah yang diambil perlulah berhati-hati oleh kerana ianya melibatkan hubungan baik antara kedua-dua buah negara yang berjiran.

Kalau boleh kita mahu semuanya baik. Kalau boleh kita mahu melihat saudara-saudara kita di Selatan Thai dapat hidup dengan aman, makmur dan sempurna. Kalau boleh kita tidak mahu melihat walau setitis darah lagi tertumpah lantaran permasalahan ini.


Tok Guru dan rombongan dari parlimen Thai

Hari ini akhbar THE STAR melaporkan darihal kunjungan ahli-ahli jawatankuasa hak asasi dan keadilan, dewan perwakilan Thai ke Kelantan. Tujuan lawatan mereka ke negeri jiran mereka itu adalah bagi mendapatkan maklumat maklumat sebenar darihal ketegangan dan situasi masyarakat Islam Thai yang terlibat.

Rombongan tersebut turut memberikan kunjungan hormat kepada Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Dalam pertemuan tersebut Tok Guru telah membayangkan kebimbangan beliau terhadap pertuduhan bahawa tindakan drastik telah diambil oleh kerajaan Thai terhadap para alim ulamak di negara tersebut.

Dalam hal ini adalah disyorkan agar kerajaan Malaysia mengambil peluang melibatkan Tok Guru MB Kelantan di dalam sebarang rundingan damai ataupun persidangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut masyarakat Islam di Selatan Thai.

Dalam hal ini khususnya yang melibatkan keselamatan, nasib dan masa depan saudara-saudara seaqidah kita, seharusnya perbezaan fahaman dan kepentingan politik diketepikan samada oleh pihak Umno BN maupun oleh pihak PAS.

Tidak dapat dinafikan bahawa Tok Guru MB Kelantan sangat dihormati oleh negara jiran kita. Ketokohan beliau diiktiraf oleh masyarakat Islam Thai, malah beliau sering diberi kebenaran menyampaikan kuliah dan ceramah agama di negara tersebut termasuklah melalui siaran radionya.

Pernah seorang calon pilihanraya dari parti PM Thaksin yang kebetulan adalah bapa mertua kepada kerabat di Raja Kelantan, menyuarakan agar segera diadakan perundingan dengan melibatkan Tok Guru untuk mencari jalan penyelesaian terhadap konflik di selatan Thai.

Berilah pengiktirafan dimana perlu, saya yakin Tok Guru Nik Abd Aziz akan bersedia mewakili negara dalam sebarang kerjasama seumpamamini, demi kepentingan nasional, agama dan bangsa.

Tuesday, September 13, 2005

Bila terkena batang hidung MCA Pemuda Umno sepi menikus

Dalam keghairahan Pemuda Umno menuduh DAP bersimpati dan menjulang nama dan perjuangan kominis ekoran isu siapa pejuang kemerdekaan sebenarnya, tiba-tiba MCA pula dituduh komunis.



Menurut Naib Presiden PAS, Husam Musa, Pemuda Umno sepatutnya siasat rakan karibnya MCA terlebih dahulu kerana menurut laporan (sila lihat Malaysiakini) MCA bercadang mewujudkan sekolah latihan berdasarkan model sekolah latihan perkaderan komunis yang terdapat di Republik Rakyat China.

Malah satu rombongan pemimpin kanan MCA diketuai Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan (abang kepada Presiden MCA Ka Ting) dan Dr Hon Choon Kim telah pun mengunjungi China minggu lalu bagi tujuan ini.

Soalnya mengapa perlu belajar dari sebuah parti yang jelas mendukung dan memperjuangkan ideologi komunis, yang dibenci dan ditentang sangat-sangat oleh Pemuda Umno sejak kebelakangan ini?

Mengulas kenyataan Husam, Ka Ting dalam akhbar THE SUN hari ini menjelaskan:

He said MCAs cadre training concept, which PAS said was inspired by the Chinese Communist Party, has been around for umpteen years and it is our internal affair.

Kata beliau konsep latihan perkaderan MCA, yang PAS tuduh sebagai diilhamkan dari Parti Komunis China, sebenarnya telah wujud sekian lama, dan ini merupakan masalah dalaman kami.

Bila Ronnie Liu dari DAP menyentuh sedikit darihal sumbangan PKM terhadap kemerdekaan negara (itupun memetik kata-kata bekas KPN Rahim Nor) melompat dan melatah Pemuda Umno, menghujankan DAP dengan maki hamun dan pelbagai tuduhan termasuklah anti nasional dan seumpamanya. Akan tetapi bila rakan mereka sendiri yang tidur sebantal dengan mereka bertindak lebih jauh dari itu, pakat senyap membisu dan menikus sahaja Pemuda Umno.

DAP baru menulis satu artikel itupun oleh seorang pemimpinnya, sedangkan MCA bertindak mempelajari dan menimba ilmu Parti Komunis Cina atas keputusan dan restu parti secara keseluruhan!

Kalau dengan satu artikel dah jadi anti nasional, bagaimana bila berkongsi modul latihan dan gerak kerja?

Kasihan Pemuda Umno asyik leka bersilat tak sedar ikatan kain dipinggang dah terlondeh sampai ke buku lali!
Pemuda Umno yang kurang ajar!

Saya dimaklumkan melalui laman BLOG Jeff Ooi di www.jeffooi.com/ bahawa laman web Pergerakan Pemuda Umno di http://www.pemuda.com.my/ telah cuba membabitkan pimpinan PAS dalam polemik mentah mereka berkenaan perjuangan kemerdekaan, iaitu kontroversi yang kononnya telah dicetuskan oleh Ronnie Liu dari DAP.

Jika kita berkunjung ke laman berkenaan kita dapat melihat gambar kulit buku karangan Chin Peng (bekas Setiausaha Agung PKM) yang bertajuk:

Alias Chin Peng: My side of history

Akan tetapi apa yang dipaparkan di laman tersebut bukanlah kulit asal buku itu kecuali telah dipinda dengan jahat dengan memuatkan gambar para pemimpin pembangkang termasuklah Tuan Guru Nik Abd Aziz, Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Dato Seri Anwar Ibrahim.


KULIT ASAL BUKU CHIN PENG KULIT YANG DIPINDA OLEH PEMUDA UMNO

Kerja jahat ini barangkali bermaksud mahu membabitkan pemimpin-pemimpin ini termasuklah pemimpin DAP sebagai dalang kominis, kerana turut dipaparkan kata-kata yang tidak terdapat pada kulit asal buku itu yang berbunyi:

Komunis selamanya, datuk dan nenek kami turut merasai kekejaman komunis, tetapi itu dahulu

Menurut Jeff Ooi ADUN DAP dari Setiawan telah pun membuat laporan polis berkenaan kerja-kerja jahat Pemuda Umno ini.

Mengapakah begitu kurang ajar dan biadap sekali Pemuda Umno sehingga tergamak meletakkan gambar pemimpin tertinggi PAS, yang diiktiraf sebagai tokoh ulamak Islam dalam kerja jahat mereka itu. Apakah hujah Ronnie tidak boleh dilawan dengan hujah, perlukah kita menggunakan taktik kotor dan jijik seumpama ini?

Ingat tidak pernah dalam sejarah negara, ahli atau pemimpin PAS terlibat dalam fahaman ataupun pergerakan komunis, tetapi satu ketika dahulu Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tun Razak dan Dr Mahathir, iaitu Abdullah Ahmad dan Siddiq Ghouse pernah ditahan di bawah ISA kerana kononnya terlibat dengan gerakan ataupun fahaman kominis!

Fakta ini barangkali tidak pernah terdaftar dalam benak kepala Pemuda Umno, kerana mereka sentiasa berada dalam sindrom penyakit Melayu Mudah Lupa, yang telah diagnosis oleh Dr Mahathir sendiri satu ketika dahulu.

Berpada-padalah sedikit tingkah laku biadap itu, jangan sampai marahkan pijat kelambu habis dibakar.
Misi merendah-rendahkan Islam

Ketika berita seekor ular tedung berlingkar disebuah patung berhala Hindu di kuil Puchong baru-baru ini, akhbar THE STAR melaporkan satu muka darihal kejadian yang kononnya ajaib itu. Dipaparkan betapa orang-ramai berpusu-pusu mahu melihat sendiri kejadian aneh itu serta membawa persembahan merupakan telur dan susu untuk dihadiahkan kepada kuil itu bagi mendapat rezeki dan nasib yang baik.

Kini ular ajaib itu telah pun lenyap menghilangkan diri. Apa yang cuba saya ketengahkan di sini bahawa akhbar berkenaan sedikit pun tidak memberi ulasan negatif mengenai kejadian tersebut. Contohnya menyebut bahawa perkara itu adalah berkebetulan dan bahawa mengandaikan ianya sebagai punca rezeki dan nasib baik adalah karut dan tahyul di zaman moden ini. Dan kita umat Islam pun kerana tidak mahu menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang agama dan kepercayaan juga tidak membuat sebarang ulasan terbuka.

Akan tetapi cuba kita lihat tajuk kecil mukadepan akhbar yang sama hari ini. Tajuknya:

Fashion show only for women


NOR & SARIMAH DIJANGKA AMBIL BAHAGIAN

Apakah persepsi pertama pembaca akhbar berkenaan apabila membaca tajuk ini? Sudah pastilah mereka akan menganggap bahawa penganjur kuno atau ketinggalan zaman yang manakah yang menganjurkan majlis sedemikian rupa. Lalu bermain-mainlah di kepala mereka akan gambaran yang hodoh dan menakutkan yang barat pernah berikan terhadap kerajaan Taliban, suasana di sebahagian negara Timur Tengah dan lain-lain.

Perlu diingat masyarakat pembaca akhbar itu sebilangan besar adalah mereka yang berpendidikan Inggeris dan kebanyakkannya adalah masyarakat bukan Melayu/Islam.

Orang biasa melihat dan mendengar pertunjukkan fesyen terbuka kepada semua masyarakat. Ini sudah menjadi lumrah hari ini. Jadi apabila ada pertunjukkan fesyen yang hanya terbuka untuk tontonan wanita sahaja, ini luarbiasa, ini ekstrim, ini menyekat hak kebebasan.

Kerana itulah saya menganggap paparan muka depan akhbar berkenaan sebagai sebahagian dari misi untuk merendah-rendahkan Islam pada pandangan ramai.

Laporannya:

You can have your fashion show but no husbands please, thats the order from the PAS government of Kelantan to the womenfolk.

Anda boleh menganjurkan pertunjukkan fesyen tetapi tiada suami yang dibenarkan (hadir), itulah arahan dari kerajaan PAS Kelantan kepada maysrakat wanita (di sana).

Ini bukan soal PAS atau apa sahaja fahaman politik, ini soal hukum agama, sama sahaja kena pada setiap individu Muslim. Walaupun ianya barangkali datang dari kerajaan PAS Kelantan, tetapi ianya bersandarkan hukum syariat.

Lantaran itu jika demi mematuhi peraturan dan hukum agama kami maka apa sahaja yang kami syaratkan adalah hak kami. Jangan sesiapa mencabar apa lagi menggunakannya sebagai bahan senda gurau atau main-mainan. Sebagaimana kami menghormati kepercayaan pihak lain maka demikianlah juga sepatutnya bagi yang bukan Islam terhadap kami.

Sunday, September 11, 2005

Tandatanya di sebalik Misi Jelajah Niaga Malaysia

Kedua-dua berita di RTM dan Buletin Utama TV3 memaklumkan darihal Misi Jelajah Niaga Malaysia yang diketuai oleh PM ke London dan New York. Tujuan misi tersebut menurut BERNAMA adalah:

Untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik kepada para pelabur.

Dan menurut BERNAMA lagi ini merupakan jelajah pertama seumpama ini yang diketuai Pak Lah sejak menjadi Perdana Menteri pada Oktober 2003.

Baguslah Pak Lah membuat kunjungan seumpama itu dalam keadaan negara memerlukan sangat pelaburan asing khasnya ketika harga minyak mentah dunia sedang mencacak naik. Saya mengharapkan misi ini akan benar-benar berjaya membawa pulang hasil, walaupun tindakan Tun Dr M mengecam Barat khasnya Britain dan Amerika Syarikat dalam majlis SUHAKAM beberapa hari lalu mungkin memberi kesan kepada misi ini.

Dalam pada itu apa yang lebih menarik minat saya adalah apabila kedua-dua berita di RTM dan TV3 menyebut darihal penglibatan ECM Libra Berhad dalam misi Pak Lah ini.



Siapakah ECM Libra ini?

ECM Libra adalah sebuah syarikat pelaburan dan kewangan swasta yang terlibat dalam memberi khidmat perundingan dan nasihat kepada syarikat-syarikat koperat dan individu yang memilki kewangan yang teguh.

Siapakah yang terlibat dalam ECM Libra ini?

Salah seorang Pengarahnya yang terlibat dalam bidang investment banking adalah menantu Pak Lah sendiri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda Umno. Khairy sebelum ini adalah Timbalan Setiausaha Sulit Kanan kepada PM dan Pengarah Bahagian Komunikasi dan Polisi di Pejabat PM.


Pak Lah dan menantu kesayangan

Mengapa kerajaan Malaysia perlu menggunakan khidmat ECM Libra dalam misi ini? Mengapa badan-badan atau syarikat milik kerajaan tidak digunakan memandangkan ini adalah misi rasmi kerajaan? Apakah pulangan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada ECM Libra?

Bagi saya penglibatan ECM Libra yang salah seorang Pengarahnya adalah menantu Perdana Menteri sendiri, akan mencetuskan pelbagai konflik ketidaktelusan dan menimbulkan banyak tanda tanya, sedangkan Pak Lah selama ini cuba memprojekkan diri sebagai PM yang menitik-beratkan ketelusan. Apa peranan Khairy disini? Sebagai broker, sebagai orang tengah?

Saya rasa rakyat Malaysia berhak bertanya dan berhak mendapatkan penjelasan dalam hal ini.

Saturday, September 10, 2005

Saya menerima satu email dari sahabat saya, seorang Ustaz yang popular di Lembah Kelang. Beliau prihatin dan mahu kongsi bersama pandangan beliau berkenaan Isu Mawi serta kritikan-krtikan yang dilemparkan oleh beberapa kalangan terhadap usaha kerjaan negeri Kelantan mengundang Mawi ke sana.

Untuk pengetahuan Ustaz ini juga seorang ahli seni, pandai bernasyid dan berlagu. Berikut saya siarkan sepenuhnya email beliau itu untuk tatapan kita bersama

Terima kasih Ustaz.


Menunjuk Ajar Mawi...Membantu Rakyat Muslim Selatan Thai

Membicarakan kisah Mawi, samada pro atau kontra bukanlah bererti bahawa kita telah atau akan melupakan; ataupun tidak sensitif dengan tangisan dan titisan darah rakyat Islam di Selatan Thailand. Begitulah juga sebaliknya, tangisan dan titisan darah rakyat Islam di Selatan Thailand itu tidaklah pula sepatutnya menjadikan kita lupa kepada apa yang sedang berlaku di sekeliling kita. Kedua-duanya, malah lain-lain isu juga seharusnya mendapat perhatian dan layanan dari rasa sensitiviti kita.

Tok Guru Nik Aziz sendiri misalnya telah memberikan perhatian kepada kedua-dua perkara. Ketika beliau menjemput Mawi dan artis-artis lain ke Kelantan di atas dasar dakwah yang tentunya beliau lebih mengerti tentang persoalan itu; beliau juga turut memberikan tumpuan serta bantuan kepada rakyat Islam di Selatan Thailand itu.

Mawi menjadi ikon kepada anak-anak muda di Malaysia hari ini bukan kerana ia kemahuan kita atau kerana ia kemahuan Tok Guru Nik Aziz. Hakikatnya adalah bahawa peminatlah yang sebenarnya menjadikan seseorang penyanyi atau artis itu sebagai ikon mereka.

Kita tidak boleh memaksa anak-anak muda di Malaysia hari ini menjadikan Ustaz Akil Hayy atau mana-mana personaliti sebagai ikon mereka. Ya! Ustaz Akil Hayy telah pun menjadi ikon remaja; tetapi ianya agak terhad kepada anak-anak orang PAS atau mereka yang pro PAS sahaja. Tidak dinafikan juga bahawa Ustaz Akil Hayy dapat menarik anak-anak muda yang sepertinya dahulu untuk menyertai PAS atau sekurang-kurangnya menjadi simpatisan PAS. Persoalanya sekarang bukanlah menafikan hasil dari kerja-kerja dakwah yang dilakukan oleh Ustaz Akil Hayy dan mana-mana artis yang bersama PAS; tetapi ia adalah persoalan melebar-luaskan lagi jangkauannya.

Selama ini PAS terjarak dengan sangat jauh dari golongan muda-mudi di negara ini. Mereka telah melihat kita dari kefahaman yang salah. Kita telah dilihat sebagai ekstrimis, jumud, sombong dan lain-lain lagi. Saya difahamkan ada artis yang tidak percaya atau berasa hairan apabila Dewan Pemuda PAS mahu bermain bola di dalam perlawanan persahabatan dengan team artis-artis Malaysia. Ini berlaku kerana dua sebab, pertama; kerana pemimpin-pemimpin UMNO atau BN sentiasa memfitnah PAS dengan menggambarkan PAS sebagai ekstrimis, jumud, sombong dan sebagainya. Kedua; kita tidak boleh menolak bahawa ianya juga disebabkan oleh sebahagian dari ahli-ahli PAS yang seperti telah meng`ya’kan gambaran-gambaran tuduhan yang diberikan itu.

Dalam uslub dakwah misalnya, mereka lebih suka menggunakan kaedah yang saya suka namakan sebagai hammeriyah. Pendekatan yang digunakan lebih kepada menghentam dari pendekatan menasihati serta menyuluh jalan. Bukankah manis dan berhikmah apabila Datin Sarimah dan Noorkumalasari dipanggil oleh Kerajaan Kelantan untuk memperagakan fesyen pakaian wanita bercirikan Islam dengan ditonton oleh penonton wanita sahaja?

Dulu, samada secara sengaja atau tidak, kita sememangnya terjarak dari golongan artis dan muda-mudi. Tetapi hari ini kita mahu mendekati mereka. Dulu, kita lebih seperti menunggu Ustaz Akil, Nasir Jani, Ito dan yang lain-lain datang kepada kita. Sekarang kita tak usah menunggu mereka datang atau memanggil mereka dari jauh sahaja! Hari ini kita mahu melambai mereka dan bukannya mengusir jauh mereka dari kita. Hari ini, kita mahu merapati dan mendekati mereka. Padamkan pandangan salah mereka terhadap kita terlebih dahulu, sebelum kita mahu menasihati dan membimbing mereka.

Samada kita mahu atau tidak, Mawi telahpun menjadi ikon remaja masa kini. Bermakna, kalau Mawi rosak teruk; remaja pun akan ikut sama. Jadi, menyelamatkan Mawi bermakna menyelamatkan juga remaja-remaja yang menjadikannya sebagai ikon.

Persoalannya, mampukah atau tidak; Tok Guru atau PAS menyelamatkan Mawi? Di sana, jika kita tidak mencuba dan berusaha; kita bukan sahaja tidak akan tahu jawapannya; malah kita juga sebenarnya tidak menyempurnakan tanggungjawab dakwah. Jika berjaya, alhamdulillah. Jika gagal, sekurang-kurangnya kita telah mencuba dan ia bukan menjadi amanah kita lagi. Kita pun bukan meminta Mawi berhenti menyanyi. Kita hanya ingin dia menyanyi dengan cara yang betul menurut kehendak agama dan menjaga dirinya baik-baik dalam dunia seni ini. Usaha dan hasrat sebegini akan menjadi lebih penting dengan kebimbangan bahawa Mawi dan pergerakkannya sedang dan masih dibayangi oleh Maestro.

Sekurang-kurangnya kita lihatlah Mawi sebagai seorang sahabat yang telah melakukan kesilapan. Saya ingin menegaskan bahawa penyertaannya ke dalam Akademi Fantasia adalah suatu kesalahan. Namun, ianya telah terlanjur.

Salahkah jika kita ingin cuba menyelamatkannya dari benar-benar hanyut? Puaskah hati kita, jika nanti Mawi menjadi rosak teruk? Bolehkah pada waktu itu kita hanya dapat berkata: Padan muka kau! Siapa suruh kau jadi penyanyi!. Patutkah kita melihat sahaja dari jauh dan menunggu untuk melihat dia terjerumus? Itukah rasa persaudaraan? Salahkah kita atau Tok Guru memandang Mawi sebagai anak? Patutkah seorang ayah membuang terus anaknya setalah dia melakukan kesilapan? Tentu tidak! Sebaliknya seorang ayah tentunya akan terus berusaha untuk membimbing anaknya.

Kita memang sedih melihat sikap umat Islam yang lebih suka merayakan kejayaan dari membela mereka yang tertindas. Tetapi adakah sikap umat hanya boleh di ubah dengan rasa sedih semata-mata? Hendak mengubah sikap umat inilah yang memerlukan kita mempunyai jiwa besar. Kita perlu mendekati mereka terlebih dahulu sebelum mahu mengajak mereka mengubah sikap.

Kita mahu ramai dari kalangan umat Islam datang menunaikan solat hajat untuk rakyat Islam di Selatan Thailand; tetapi yang menunaikan solat lima waktu pun tak ramai. Semua menerima hakikat bahawa kita perlu meramaikan mereka yang mahu menunaikan solat lima waktu. Tetapi jika kita bercakap tentang solat di masjid atau di surau bermakna kita bercakap kepada mereka yang telah pun bersolat. Kita perlu ke padang untuk bertanya khabar dan mengenali mereka yang ada di sana; memahami mereka dan kemudiannya barulah menanamkan kepentingan solat kepada mereka.

Berjumpa dengan mereka pun kita tak pernah! Lalu, bagaimana kita nak mengajak mereka berhimpun di depan Kedutaan Thailand?

Aba Muiz