Saturday, February 23, 2008

Utusan Malaysia terus mahu membunuh PAS

Saya membaca sambil tersenyum rencana pengarang Utusan Malaysia hari ini. Sdr Zulkiflee Bakar menulis di bawah tajuk:PAS lupa perjuangan bentuk Negara Islam

Saya yakin tujuan utama Sdr. Zul itu adalah untuk memaklumkan kepada orang-ramai bahawa PAS kini bukan lagi PAS yang dahulu. PAS kini sudah tidak berjuang Islam lagi kerana PAS kini sudah berubah dan beliau petik ucapan Tun Guru Hj Abd Hadi Awang semasa melancarkan Manifesto PAS baru-baru ini untuk kononnya mengukuhkan hujah beliau:

Dalam politik perubahan sentiasa boleh berlaku.

Sesungguhnya kalau beliau jujur beliau akan menjelaskan bahawa ungkapan Tuan Guru di atas itu tidak langsung merujuk kepada Negara Islam tetapi dibuat ketika memberikan respon terhadap kerjasama PAS dan DAP (licik sungguh Sdr Zul dalam kerja-kerja memutar!)

Berbalik kepada isu Negara Islam, kalaulah benar PAS menggugurkan perjuangan untuk menegakkan Negara Islam sebagaimana yang cuba dijual oleh Sdr Zul itu, mengapa Umno (parti Melayu/Islam terbesar dalam Negara) tidak pula sebaliknya memperjuangkannya? Kerana seluruh penulisan beliau seolah menggambarkan yang perjuangan menegakkan Negara Islam itu sesuatu yang wajib sehingga menyentuh perjuangan rakan-rakan di Indonesia, soalnya kenapa hanya wajib pada PAS, Umno bagaimana?

Bagi saya rakyat Malaysia khasnya masyarakat Melayu tahu akan dasar dan matlamat perjuangan PAS, usia PAS pun sudah melangkaui 50 tahun. Kita tidak perlu seorang seperti Sdr Zul untuk tiba-tiba membuat cerita bahawa Negara Islam sudah tiada lagi dalam agenda PAS, hanya semata-mata kerana tiada dalam manifestonya. Barangkali Utusan tidak pernah menghantar wartawannya untuk kursus-kursus politik sehingga tidak tahu membezakan antara manifesto dan perlembagaan parti.

Malah sebenarnya dalam Manifesto PAS kali ini yang bertajuk: Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju Negara Berkebajikan itu disebut pada Teras 1:

Menegakkan penghayatan Islam sebagai aqidah yang sejahtera dan cara hidup (ad Deen) bagi umat Islam di negara ini.

Menjamin perlaksanaan peruntukkan-peruntukkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

Rakyat Malaysia yang celik dan faham politik akan selama-lamanya tahu (walaupun cuba dikelabukan oleh Sdr Zul) bahawa PAS adalah sebuah parti Islam. Selagi ia parti islam maka selagi itulah matlamat dan dasar perjuangannya jelas (kalau Sdr Zul kurang maklumat email sahaja pada saya insyallah saya boleh kirim melalui tangan Perlembagaan PAS). Dalam Perlembagaan PAS fasal-fasal mengenai dasar, tujuan dan seruan parti itu tidak pernah dipinda-pinda sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu.

Kalau benar-benar berniat mahu memadamkan PAS, satu-satunya parti yang mempertahan dan memperjuang Islam dalam Negara kita ini, Sdr nampaknya perlu bekerja lebih kuat lagi. Nanti kalau berjaya bolehlah Sdr berbangga bahawa Parti Islam ini mati hasil kerja tangan Sdr., teruslah mencuba.

No comments: