Monday, February 11, 2008

Ke arah menafikan 2/3 majoriti BN di Dewan Rakyat

Semalam TV3 menyiarkan kemungkinan Parlimen akan dibubarkan Rabu ini sempena hari mesyuarat Kabinet. Jika demikian berkemungkinan Pilihan Raya Umum ke 12 diadakan sewal 1 Mac, 2008. Namun siaran TV pro BN itu turt meramalkan dua tarikh lain. Apa pun tidakkah kita kini menjadi bahan gelak ketawa dunia luar, kita mengaku sebuah negara demokrasi namun tarikh pilihan raya terus dimanipulasi untuk kepentingan parti pemerintah.

Semalam Junta tentera Myanmar mengumumkan akan mengadakan pilihanraya pada tahun 2010. Sebuah negara yang dikuasai tentera yang tidak akur kepada kehendak dunia itu pun boleh mengumumkan tarikh pilihanrayanya tetapi kita yang mendakwa serba maju dan terkehadapan, berterusan bermain-main dengan tarikhnya.

Biarlah 13 Febuari atau bila sekalipun tarikh pembubaran Parlimen, yang pentingnya rakyat perlu mempergunakan kesempatan ini untuk menaikkan pemimpin dan parti yang benar-benar dapat memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat dan negara. Jangan lagi kita terus dihimpit oleh kos hidup yang menyusahkan, jenayah yang membimbangkan dan keruntuhan moral yang diluar kawalan. Negara ini perlu maju dan dalam waktu yang sama bersih dan adil untuk semua.

Dalam keghairahan Umno dan BN menonjolkan dirinya sebagai juara dan bakal terus meneraju negara, hakikatnya kebimbangan dan kesangsian terus bermain di kepala mereka. Apakah pengundi Cina akan terus menyokong mereka? Apakah pengundi India yang penting khasnya di Pantai Barat Semenanjung akan terus bersama mereka? Apakah pengundi Melayu khasnya di kawasan bandar akan setia pada mereka?

Umno dan BN menang atas sokongan kelompok ini, jika sekadar bersandar pada pengundi Melaytu tradisional yang taksub pada partinya semata-mata belum tentu Umno dan BN dapat bertahan, lantas jika berlaku swing dari kelompok ini kepada pembangkang, Umno akan melalui transformasi politik diluar dugaan mereka!

Dalam NST hari ini perancang strategik DAP, yang juga Ketua Pembangkang dan ahli Parlimen Ipoh Barat, Lim Kit Siang mensasarkan kemenangan di 38 kerusi Parlimen. DAP diberitakan akan bertanding di 54 kerusi Parlimen dan mampu menang di 38 iaitu 7 masing-masing di Pulau Pinang dan Perak, 6 di Sarawak, 5 di Wilayah Persekutuan, 4 masing-masing di Selangor dan Sabah, 2 masing-masing di Negeri Sembilan dan Johor dan 1 di Melaka.

Sementara itu Kit Siang berharap PKR dan PAS akan dapat memenangi antara 40 ke 50 kerusi.
Jika senario ini berlaku bermakna pembangkang akan menang antara 78 ke 88 kerusi iaitu cukup untuk menafikan BN dua pertiga majoriti. Memang ianya tampak terlalu baik untuk pembangkang, tetapi bagi saya ianya tidak mustahil kiranya masalah yang berlaku disekeliling kita serta reaksi rakyat terhadapnya berlarutan sehingga ketarikh pembubaran Parlimen.

Penipuan dan salahgunakuasa serta rasuah politik mungkin boleh mencederakan harapan kita tetapi ia tidak akan mampu membunuh semangat kita kiranya kita bekerja dengna istiqomah, pintar dan tidak putus dari mengharapkan keridhaan dan bantuan Allah swt.

Kita bersama boleh melakukannya, kita bersama mampu mengubahnya.

No comments: