Sunday, February 03, 2008

Apabila keris MSO menikam

Seronok juga bila saya melihat sahabat baik saya Tuan Hj MSO http://msomelayu.blogspot.com/ telah selamat pulang ke tanahair setelah bertandang di Tanah Suci menunaikan Haji. Sepanjang pemergian beliau politik tanahair dari pengamatan saya tidak berapa seronok, kerana ketiadaan leteran dan tujahan beliau. Sesungguhnya dunia politik ini tidak sempurna kalau diserahkan kepada ahli-ahli politik sahaja. Para pengkritik dan penganalisa seumpama sahabat saya inilah menambah warna kepadanya menjadikan ianya seronok dan kadangkala hangat, tak kiralah betul atau tidak.

Ramai yang kekadang tidak berapa senang dengan hasil yang diluahkan beliau, namun saya termasuk dalam golongan yang tidak berasa lengkap hidup jika tidak membaca dan mengamatinya. Saya anggap beliau sebagai guru dan pembakar semangat saya dalam berjinak-jinak di dunia penulisan politik ini walaupun kadangkala kami juga bertikam-tikam, tapi taklah sampai “putus saudara”.





Sahabat saya ini seorang yang unik. Moto di laman blognya berbunyi “Hanya kita memahami diri kita” sekaligus menzahirkan betapa beliau tidak mudah tunduk atau akur pada mana-mana pihak, beliau belayar menurut arus kemahuan beliau. Keras kepala, degil, “gedebe” semuanya selendang dan pakaian beliau, namun hatinya tetap baik dan cinta kepada perjuangan ini tidak pernah sedetik pun saya sendiri pertikaikan.

Itulah Tuan Hj MSO yang saya kenali.

Saya lihat sejurus melangkahkan kakinya kembali ke tanahair beliau semakin bersemangat “update” blog beliau yang lengang dan sunyi sepankang beliau di Tanah Suci.
Bila berkunjung ke blog beliau sebentar tadi saya tersenyum dan masih tersenyum membacakan posting terbarunya: “Kenapa marah Rais, dia memang begitu”. Sesiapa yang membaca posting terbarunya itu pasti akan tahu siapa yang beliau maksudkan sebagai “sahabat saya yang berkerja sepenuh masa di Ibu Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut”.

Saya terpaksa berterus-terang agak sukar memahami tulisan sahabat saya itu, tetapi memang itulah “style” MSO. Saya membacanya berkali-kali, malah terpaksa “print” nya untuk lebih selesa menelaahnya. Memang beliau cuba menonjolkan beberapa mesej dalam artikel beliau itu yang saya akur sesuatu yang memang perlukan muhasabah, tetapi bukan hanya kepada “sahabat saya yang berkerja sepenuh masa di Ibu Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut” tetapi ramai yang lain.

Belia mengakhiri tulisannya dengan menyebut: “Kepada sahabat saya di Jalan Raja Laut itu tenguk-tenguklah apa yang saya bimbangkan itu. Jangan kerana orang kita buat silap maka kita pun buat-buat tidak nampak. Al munafik namanya itu.” Satu pesanan yang sangat bermakna pedas, namun perlu dihadapi.

Sementara itu saya masih menagih teh tarik yang dijanjikan oleh Pak Haji MSO yang sampai sekarang belum dapat saya rasa sejak duduk di Jalan Raja Laut.

No comments: