Thursday, February 07, 2008

Negara Berkebajikan PAS yang digeruni Umno/BN

Manifesto PAS sebenarnya belum pun dilancarkan secara rasmi. Ianya dibayang-bayangkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden PAS di dalam ucapan mereka semasa program jelajah mereka ke seluruh negara sejak bulan lalu, namun bayang-bayangan itu telah terus diterpa oleh media arus perdana dan telah langsung mendapat reaksi pimpinan Umno.

Satu demi satu menteri menyerang dan mengkritik cadangan PAS itu walaupun mereka sendiri sebenarnya hanya dengar-dengar dari laporan akhbar yang separuh masak dan separuh tiang. Anehnya apabila masing-masing menteri memperlekeh dan menghina, PM Dollah Badawi pula mendakwa yang Malaysia pun selama ini adalah sebuah Negara Kebajikan. Begitulah porak-perandanya Umno dan BN yang baru sekadar mendengar bayang-bayangan belum pun mengkaji sepenuhnya janji pilihanraya PAS itu.

Sudah pastilah kekalutan Umno dan BN ini menunjukkan betapa terancam dan terganggunya mereka terhadap gagasan “Negara Berkebajikan” yang mahu dibawa oleh PAS itu. Dalam keadaan rakyat dibebani dengan kos hidup yang semangat perit, sudah pastilah bayangan harapan dari PAS itu menikam Umno dan BN dari pelbagai penjuru.

Manifesto PAS yang bakal dilancarkan itu bukan menjanjikan "Negara Kebajikan" atau "Welfare State" tetapi sebaliknya “Negara Berkebajikan” atau “A Caring and Service Oriented Nation”.

Dalam ertikata lain Negara Berkebajikan itu nanti akan memberikan penekanan dan kepentingan terhadap pengurusan ekonomi dan kekayaan Negara supaya ianya diurus secara bijak dan mampu membawa pembangunan yang seimbang kepada rakyat dan negara, disamping itu sentiasa mesra-manusia dan mesra alam. Kemampuan mencerana sebuah negara sedemikian insyallah akan memelihara nasib dan kebajikan rakyat dan mengangkat hidup mereka ke arah yang lebih selesa,aman dan sejahtera dalam tanahair yang tercinta ini.

“Negara Berkebajikan” PAS ini adalah alternatif kepada apa yang telah selama ini diwujudkan oleh Umno dan BN. Pengurusan negara di bawah tangan mereka terbukti serba longgar dan berserabut, dengan amalan rasuah, kronisma dan nepotisma yang seolah menjadi amalan biasa. Kekayaan negara yang sepatutunya dinikmati oleh rakyat kini sebaliknya menjadi bahana yang menghimpit kehidupan rakyat. Jenayah, krisis perkauman dan keruntuhan moral berada pada tahap luar kawalan, sehingga Malaysia sudah tidak selamat dan aman lagi untuk rakyatnya sendiri.

Dalam suasana demikianlah PAS terbit dan menyerahkan kepada rakyat Manifesto “Negara Berkebajikan” ini untuk dipertimbangkan. Adakah PAS mampu? Ya, insyallah PAS mampu. PAS kini memiliki kekuatan kepimpinan yang berkelayakan, berakhlak dan lebih penting lagi bertaqwa. Rela dan sedia menawarkan diri untuk memimpin Malaysia dan negeri-negeri di bawahnya, dengan corak kepimpinan yang berbeza sama-sekali dari yang pernah dan sedang kita rasai selama ini di bawah Umno dan BN.

Rakyat Malaysia berhak untuk dipimpin oleh anak-anak bangsa yang beramanah, adil dan bersih. Berilah keyakinan dan sokongan anda, berilah peluang kepada PAS dan Barisan Alternatif. Selamatkanlah negara kita yang tercinta ini, undilah untuk perubahan.

“Negara Berkebajikan: Kerajaan beramanah, adil dan bersih”

No comments: