Tuesday, December 07, 2004

TOK GURU ATAU KHAIRY YANG TINGGAL 10 JAM

Khairy beri tempuh sampai hari Rabu ini iaitu kurang dari 10 jam untuk Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat menarik balik kenyataannya bahawa Barisan Nasional menggunakan wang untuk menang dalam Pilihanraya Umum ke 11 lalu.

Semalam selepas sidang dewan undangan negeri Tuan Guru memaklumkan pihak akhbar bahawa beliau tidak akan sama-sekali menarik balik kenyataannya malah sesiapa sahaja yang berhajat membuat laporan polis maka beliau sedia mengemukakan bukti-bukti yang berkaitan.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Kelantan dan Angkatan Muda Parti Keadlian Rakyat turut membuat kenyataan mencabar pula Khairy agar terus membuat laporan polis agar dapat didedahkan segala-galanya untuk pengetahuan umum.

Apakah Khairy benar-benar akan bertindak esok? Apakah BN benar-benar tidak menggunakan wang dalam pilihanraya umum yang lalu?

Malam ini Pergerakan Pemuda Umno dijangka bermesyuarat menimbangkan langkah seterusnya setelah Naib Ketuanya membuat cabaran demikian. Ada yang mengatakan bahawa Khairy telah masuk jerangkap yang disediakan sesama Umno untuk menjatuhkan beliau. Khairy mengambil risiko yang tinggi apabila membuat cabaran ini, sudah pasti kiranya isu ini berlanjutan banyak pendedahan yang akan dibuat yang pasti mengaibkan banyak pihak.

Soal samada BN benar-benar telah menggunakan wang sebagaimana yang didakwa Tok Guru merupakan satu soal yang bukan lagi merupakan suatu rahsia. Dari zaman PERIKATAN dahulu lagi telah dikatakan wang merupakan kekuatan utama yang dieksploitasi oleh Umno dan rakan-rakannya dalam memastikan kemenangan mereka. Semasa kempen pilihanraya wang digunakan untuk menjamu pengundi, membeli kain pelikat dan batik untuk diserah kepada pengundi, membayar duit tambang dan duit poket agar pengundi keluar mengundi, membayar orang-orang yang boleh dibeli agar keluar dari parti masing-masing untuk mengisytiharkan sokongannya kepada clon-calon mereka, malah wang digunakan untuk membeli calon-calon pembangkang agar menarik diri bagi memastikan calon mereka menang tanpa bertanding (sebagaimana yang berjaya dirakam hidup-hidup oleh pekerja-pekerja PAS dalam pilihanraya lalu di Johor).

Melalui tindakan beliau Khairy telah membuka pintu pagar seluas-luasnya agar setiap tindak-tanduk jahat Umno/BN ini didedahkan kepengetahuan umum. Cabaran telah dibuat, yang dicabar telah menyahut cabaran, kini Khairy terpaksa mengkotakan katanya. Apa hasilnya tindakan ini kelak wallahualam yang pastinya Naib Ketua Pemuda Umno yang baru ini telah tersilap langkah, Umno kini disudut defensive terpaksa mempertahankan dirinya semata-mata kerana menantu PM nak tunjuk belang dan kejantanannya. Sementara itu masa terus berarak lalu.


No comments: