Tuesday, December 21, 2004

KUMAN DI NEW YORK PAK LAH NAMPAK



Hampir keseluruhan akhbar media perdana hari ini melaporkan darihal kenyataan Perdana Menteri dari New Delhi yang mengajak India bersama-sama Malaysia berkerjasama untuk menuntut reformasi ataupun perubahan di dalam fungsi dan peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN). Akhbar THE SUN membaya tajuk:

PM: Lets join hands in reforming UN

Menurut Pak Lah UN pada hari ini berperanan berdasarkan logik era pasca perang dunia kedua. Ianya kini sudah tidak lagi mewakili hasrat dan kepentingan majority ahli-ahlinya. Oleh itu sudah tiba masanya kita menuntut agar perjalanan UN itu benar-benar berdasarkan demokrasi dan UN sebagai sebuah badan dunia seharusnya memberi tumpuan kepada memain peranan lebih berkesan di dalam hal ehwal dunia.

THE STAR dalam hal ini memetik Pak Lah sebagai berkata:

We must work together to establish greater democracy in the workings of the UN. This is the only way to play a more influential and determining role in world affairs.

Pasti ramai yang bersetuju dengan pandangan Pak Lah ini. UN pada hari ini diwarnai oleh pendapat dan pandangan ahli-ahli tetap majlis keselamatannya iaitu Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Republik Rakyat China dan Persekutuan Rusia. Masing-masing memiliki kuasa veto yang boleh menyekat dan menghalang apa-apa sahaja pandangan, cadangan dan ketetapan ke badan dunia tersebut walaupun disokong oleh majoriti Negara-negara dunia.

Kuasa veto ini merupakan penghalang besar demokrasi di dalam UN. Suara Negara-negara dunia lain disekat dan dihalang oleh kuasa mutlak yang boleh dans erring sahaja disalah-gunakan dalam isu-isu antarabangsa. Contohnya dalam persoalan Palestin, Amerika Syarikat akan mengunakan kuasa vetonya kiranya ada usaha untuk menyekat Israel walau dengan niat dan hasrat sebaik mana pun.

Tetapi Pak Lah bukanlah tokoh ataupun ketua Negara yang sesuai mengepalai perjuangan reformasi UN ini. Pak Lah tidak sesuai kerana dalam negaranya sendiri demokrasi masih dipertikaikan!

Negara merdeka Malaysia telah 11 kali mengadakan pilihanraya umum bagi memperolehi mandat rakyat untuk membentuk kepimpinan Negara. Namun proses demokrasi melalui pilihanraya yang diamalkan di Malaysia dilihat longgar dan sering disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa iaitu Pak Lah dan partinya sendiri.

Proses pilihanraya sepatutnya memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih pemimpinnya tanpa sebarang bentuk paksaan, ancaman ataupun sogokan kewangan maupun kebendaan. Malangnya di Malaysia ciri-ciri memperolehi sokongan dan undi melalui cara yang tidak demokratik diamalkan secara terang-terangan oleh pihak pemerintah.

Dalam proses pilihanraya di Malaysia pihak Suruhnaja Pilihanraya Malaysia diberi kuasa menyemak dan meminda sempadan pilihanraya setiap 8 tahun sekali bagi mengambil-kira faktor pertambahan pengundi dan seumpamanya. Ianya satu proses yang seharusnya tidak berbau atau mempunyai muslihat politik mana-mana pihak sekalipun. Namun proses ini di Malaysia digunakan seluas-luasnya oleh parti pemerintah diperingkat persekutuan untuk memastikan proses persempadanan itu dibuat untuk kepentingannya. Contohnya pada pilihanraya umum lalu hampir semua negeri melihat pertambahan kerusi samada Parlimen ataupun Dun kecuali Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu (yang kuat PAS). Lebih lucu lagi dah lah kerusi tidak ditambah tetapi sempadan tiba-tiba dipinda-pinda mengikut kepentingan orang-orang Pak Lah.

Banyak lagi pra syarat demokrasi yang dinodai dan dinafikan di Malaysia yang kononnya menganuti prinsip ini. Termasuklah penyalahgunaan media oleh parti pemerintah, sekatan peraturan dalam bentuk prosedur pilihanraya yang mebebankan parti-parti lain, pendaftaran pengundi yang menimbulkan syak wasangka dan lain-lain.

Kesimpulannya kepada Pak Lah sebelum meneropong kelemahan UN yang jauh diseberang sana lebih baik diperbetulkan diri sendiri terlebih dahulu. Jangan kuman yang bersarang di New York sahaja boleh nampak tetapi makhluk sebesar gajah yang bermaharajalela di Kuala Lumpur pura-pura tidak nampak. Kerana itu walaupun saranan Pak Lah itu benar namun hakikatnya Negara-negara dunia berhak mempertikaikannya kerana kampong halaman Pak Lah sendiri pada hakikatnya huru-hara dan tidak teratur.


No comments: