Friday, December 03, 2004

RASUAH ATAU TIDAK ITU BUDIBICARA UMNO

Semalam Ketua Pengarah BPR mengatakan bahawa tindakan mengunakan wang untuk mendapatkan kedudukan dalam mana-mana parti politik (termasuk Umno) adalah merupakan satu jenayah. Bermakna ahli-ahli Umno yang didedahkan oleh partinya sendiri sebagai bersalah terlibat dalam politik wang telah melakukan jenayah rasuah.

Akhbar THE SUN hari ini melaporkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah membuat laporan kepada BPR berhubung isu politik wang yang berlaku dalam pemilihan Umno September lalu, walaupun Dewan Pemuda PAS telah pun membuat laporan yang sama pada bulan Oktober lalu.

Presiden Tranparency International Malaysia Tuanku Abdul Aziz Ibrahim sebagaimana dilaporkan dalam THE SUN berkata sepatutnya BPR tidak perlu menunggu sebarang laporan dibuat sebelum bertindak. Menurut beliau antara skop tugas BPR adalah PROACTIVE INVESTIGATIONS ataupun penyiasatan proaktif, bermakna bertindak berdasarkan apa-apa maklumat sahaja terutama isu yang telah menjadi pengetahuan umum.

Lantas apalagi yang ditunggu oleh BPR? Sekarang giliran BPR untukbertindak. Tetapi soalnya mampukah ataupun berupayakah BPR bertindak kerana tindakannya itu kelak dilihat seolah-olah akan menjolok sarang tebuan yang sedia ganas dan sangat berkuasa.

Malah Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak dalam hal ini dilaporkan berkata bahawa tidak semua kes politik wang ini akan dirujuk kepada BPR malah Umno memiliki budi-bicara samada mahu merujuknya ataupun tidak, ia tidak berlaku secara otomatik. Hakikatnya kenyataan sebeginilah barangkali yang meletakkan BPR dalam siatuasi tergamam dan termanggu!

Kalau orang nombor 2 dalam negara dah berkata begitu, walaupun BPR memiliki kuasa untuk bertindak, nampak gaya kena tunggu dan lihat juga dahulu. Silap gaya yang mahu memerangi rasuah kelak akan diperangi sebagaimana yang berlaku kepada tokoh-tokoh terkenal sebelum ini.

Dalam hal ini teringat ucapan Perdana Menteri yang dianggap tokoh tersohor memerangi rasuah dalam negara:

Kepimpinan politik perlu memperlihatkan sifat-sifat kejujuran, kerajinan, ketekunan dan kesungguhan, menjadi penggerak dan peneraju kepada kepimpinan- kepimpinan lain. Kepimpinan politik perlu memperlihatkan sikap terbuka, bersedia menerima teguran untuk menyuburkan budaya demokrasi. Kepimpinan politik perlu mencerminkan imej bersih, bebas dari tohmahan dan amalan rasuah serta mengamalkan gaya hidup sederhana.

(Petikan ucapan Pak Lah di Parlimen pada 3 November 2003)

Letihlah nampaknya Pak Lah bersyarah ke sini-sana nak perangi rasuah namun realitinya setakat mana yang melibatkan Umno dan pemimpin yang berkuasa, undag-undang besar mana sekalipun kena tunduk dan mengalah. Najib kata tak otomatik maka tak otomatiklah jadinya walaupun satu negara kata ianya jenayah! Ayuh kita perangi rasuah?

No comments: