Wednesday, December 15, 2004

BANJIR PUN MAHU DIPOLITIKKAN

Semalam Buletin Utama TV3 menyiarkan sebagai headline nya kejadian banjir di Kelantan. Antara yang ditonjolkan adalah kononnya kelewatan bantuan kebajikan kepada kira-kira 300 orang mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah sekolah di Kota Bharu. Menurut mangsa-mangsa yang sengaja ditemuramah, kononnya mereka semalaman tidak makan oleh kerana lewatnya tiba bekalan makanan. Apabila tiba beras dan sebagainya peralatan masak pula tiada.

TV3 kemudiannya menemuramah ahli Parlimen Kota Bharu Zaid Ibrahim yang menyatakan kekesalannya di atas kelewatan bantuan tersebut. Malah beliau mendakwa terpaksa menyalurkan bantuan parti (umno) untuk mangsa berkenaan memandangkan kelewatan tersebut. Walaupun tidak disebut, jelas rungutan dan aduan tersebut dituju ke arah kerajaan negeri Kelantan.

Segemen seterusnya Buletin Utama menyiarkan majlis taklimat banjir yang diberikan oleh SUK Kelantan kepada TPM Najib Tun Razak yang turut dihadiri oleh Tuan Guru MB, barisan EXCO dan wakil rakyat Umno.

Mengapa TV3 mahu highlight kejadian di Kota Bharu itu saya kurang pasti yang jelasnya di sana ada niat jahat untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri PAS tidak cekap mengendalikan malapetaka yang tidak diundang ini.

Malapetaka ini tidak kenal orang, orang PAS, orang Umno, orang tak berparti semua kena. Mengapa harus kita mahu menangguk di air keroh? Mengapa Zaid perlu mendabik dada menghulur bantuan partinya sedangkan beliau adalah ahli Parlimen Kota Bharu yang mempunyai peruntukkan yang disediakan oleh kerajaan pusat?

Saya yakin dalam kecelaruan banjir yang terburuk sejak 20 tahun ini sudah tentu akan ada kelewatan dan kekurangan di sini-sana. Mangsa perlulah bersabar dalam kesusahan ini. Agensi yang terlibat dalam menghulurkan bantuan kecemasan ini bukan hanya melibatkan agensi negeri malah dari pusat turut terlibat.

Kalau nak dipolitikkan banjir ini macam-macam isu boleh dieksploitasi, ada orang kata sejak PAS memerintah secara aman tak pernah banjir seburuk ini tiba-tiba bila BN hampir rampas kuasa diturunkan bala sedemikian rupa, bayangkan kalau BN menang. Namun tidak moleklah dieksploitasi sehingga demikian rupa.

Begitu juga semalam Najib Tun Razak dikatakan bersungguh turun ke Kelantan nak bantu itu dan ini tetapi bila hulur bantuan kecemasan cuma RM50,000 sahaja diserah sedangkan banjir menimpa begitu dahsyat sekali. Namun kita yakin itu adalah bantuan serta-merta dan sebagaimana jaminan TPM kerajaan Pusat akan membantu dalam bentuk kewangan berupa pampasan kepada mangsa-mangsa banjir berdasarkan penilaian yang akan nanti dilakukan oleh kerajaan negeri.

Dalam mengharungi masalah yang menimpa umat Melayu Islam ini seharusnya kita berlapang dada dan bersikap terbuka. Tolaklah politik ke tepi dulu, demi agama dan bangsa kita bekerjasama untuk menyelesaikannya.

Tahniah TV3 kerana meletakkan diri anda sebagai saluran media yang tidak bermaruah berhibur sewaktu rakyat ditimpa malapetaka!

No comments: