Tuesday, December 14, 2004

SYABAS SEKALI LAGI DATUK HAMDAN

Semalam saya menulis darihal kenyataan Pesuruhjaya SUHAKAM Hamdan Adnan berkenaan isu ISA dan tahanan di Kem Kemunting. Hamdan telah mendesak kerajaan samada membicarakan tahanan-tahanan ini ataupun membebaskan mereka. Hari ini dalam akhbar tempatan Hamdan mengeluarkan satu lagi kenyataan berani, kali ini berkenaan Badan Pencegah Rasuah.

Kata Hamdan BPR perlu memainkan peranan yang proaktif terutama yang melibatkan individu dan kumpulan berprofil tinggi. Hamdan memberi contoh darihal gejala rasuah yang berlaku dalam pilihnaraya umum dan pemilihan pucuk pimpinan sebuah parti politik baru-baru ini.

Sekali lagi Pesuruhjaya SUAHAKAM yang benar-benar bekerja ini telah mengeluarkan kenyataan yang tidak berani disebut oleh mana-mana pihak atasan walaupun umum mengetahui darihal kewujudannya. Suara Hamdan ini dikira suara keramat yang terbit dari ketulusan hati seorang Pesuruhjaya SUHAKAM yang tidak memiliki apa-apa kepentingan melainkan mahu melihat hak asasi manusia terjamin dan terbela dalam Negara yang tercinta ini.

Kegagalan pihak BPR bertindak secara telus dan terbuka pasti mencetuskan syak wasangka dikalangan rakyat dan seterusnya akan membakar krisis keyakinan rakyat terhadap mereka selaku agensi yang diamanahkan untuk membenteras dan memerangi rasuah.

Kata Hamdan sebagaimana di petik oleh THE STAR:

By failing to do so the ACA would be seen as merely following orders or waiting for complaints to fall into its lap.

Jangan sampai BPR dituduh menjadi ejen kerajaan semata-mata, melindungi mereka yang berkepentingan dan menyerang serta mengheret mereka yang sudah hilang kepentingan atas telunjuk pihak atasan.

Seorang bekas orang kuat ABIM dituduh rasuah kerana membuat pelaburan semasa mempengerusikan sebuah badan kerajaan. Pelaburan tersebut dikatakan tidak mengikut prosedur dan kemudiannya mengalami paper loss pula lalu hamba Allah yang tidak meraih sebarang keuntungan peribadi itu diseret ke mahkamah dan dituduh rasuah sebaik sahaja Anwar Ibrahim ditendang keluar dari Umno. Akan tetapi seorang Menteri dan rakan-rakannya yang didapati menyelewengkan RM36.5juta wang milik Rakyat Termiskin PPRT sekarang tetap menjadi wakil rakyat (Ketua Perhubungan Umno Negeri pula) dan seorang rakannya yang pernah ditahan kerana bersubahat kini dilantik menjadi Pengarah Eksekutif sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia (bendahari Umno Bahagian pula).

Kesimpulannya jalankanlah tugas kerana Allah berani kerana benar sebagaimana firman Allah swt dalam Surah al Maidah ayat 8:

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang menegakan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap satu kaum, mendorong untuk kamu berbuat tidak adil. Berlaku adillah karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan

Syabas sekali lagi Prof Dato Hj Mohd Hamdan Adnan!

No comments: