Monday, December 06, 2004

KHAIRY BERI KATA DUA PADA NIK AZIZ

Jika pada hari Rabu ini Tok Guru Nik Abd. Aziz, Mursyidul Am PAS dan MB Kelantan, tidak menarik balik kenyataannya dalam THE NEW SUNDAY TIMES yang mendakwa Barisan Nasional (BN) menggunakan wang untuk memenangi pilihan raya umum lalu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin mengugut akan membuat laporan Polis dan menyeret Tok Guru ke mahkamah.

Menurut laporan UTUSAN MALAYSIA Khairy merasakan kenyataan Tok Guru itu satu fitnah:

Ini adalah satu kenyataan yang berbentuk fitnah, tidak berasas serta tidak adil dan ia adalah satu tuduhan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti UMNO.

Demikianlah garangnya pemimpin nombor dua Pemuda Umno yang baru sahaja menang tanpa bertanding ke jawatan barunya itu.

Soalnya adakah kenyataan Tok Guru itu satu fitnah? Apakah Umno langsung tidak menggunakan wang, pengaruh dan kedudukannya untuk mendapat sokongan dari rakyat bagi memenangi pilihanraya umum yang lalu?

Tok Guru begitu berpengalaman dalam berpilihanraya di Malaysia dan penglibatan beliau telah lama jauh sebelum Khairy berupaya merangkak lagi. Sudah pastilah kenyataan yang dikeluarkan oleh Tok Guru itu berasaskan fakta dan pengalaman. Saya percaya dalam soal ini bukan hanya Tok Guru seorang malah keseluruhan ahli dan pimpinan PAS serta rakan-rakan dari BA berani bangun menyatakan memang UMNO dan BN menggunakan wang untuk memenangi pilihnaraya umum yang lalu!

Khairy barangkali terperanjat lantaran usianya yang setahun jagung dalam berpolitik. Kalau nak jadi anak muda yang berani dan berwibawa tidak perlu ancam Tok Guru dengan laporan polis dan tindakan mahkamah. Pelawa saja Tok Guru duduk semeja barangkali beliau boleh menceritakan kepada Khairy dari A hingga Z darihal politik wang dalam Umno dan BN semasa proses pilihanraya.

Namun kalau sekadar nak cari publisiti dan menonjolkan diri sebagai pemimpin muda yang baru, silakan. Saya pasti Tok Guru tidak sedikit pun gentar dengan ancaman Khairy itu. Malah jangan akibat tersilap langkah nanti Khairy dan Pemuda Umno pula naik malu.

Kata pepatah Melayu KALAU KAIL PANJANG SEJENGKAL LAUTAN DALAM JANGAN DIDUGA (walaupun hakikatnya kail Khairy Pak Mentua yang belikan dari jenama yang mahal-mahal).

No comments: