Tuesday, October 14, 2008

Minuman ringan mengandungi arak

Saya membaca dengan penuh prihatin kenyataan Pengerusi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Sdr SM Mohamed Idris, yang disiarkan dalam ruangan “Letters to the Editor” dalam NST hari ini berkenaan penjualan minuman ringan yang mengandungi alkohol. Ini bukan kali pertama menurut beliau CAP membangkitkan perkara ini kerana sejak Ogos 1997 lagi ianya pernah ditonjolkan apabila minuman ringan seumpama itu di bawah jenama Alcopops mula memasuki pasaran tempatan.

Menurut Sdr Idris kini minuman seumpama ini dengan mudah boleh didapati di pasaran tempatan. Tambah beliau ianya dipasarkan seolah-olah bagai minuman berkhasiat dengan kandungan vitamin C dan seumpamanya sedangkan terdapat diantaranya yang mempunyai kandungan alkohol setinggi 5.5 peratus iaitu kandungan alkohol yang lebih tinggi dari minuman bir.


Beliau melahirkan kebimbangan yang minuman ini mungkin digunakan oleh anak-anak kita, tambah-tamabah ia sebenarnya adalah minuman haram kerana kandungan alkoholnya.

Justeru itu apakah tindakan kita?

Satu hakikat yang tidak kita nafikan bahawa arak atau minuman yang mengandungi alkohol ini boleh diminum oleh masyarakat bukan Islam. Sebagaimana di Kelantan, kerajaan negeri tidak menghalang, cuma mengawal premis-premis yang dibenarkan menghidang dan menjual minuman-minuman ini. Masalahnya adalah dikalangan masyarakat Islam, bagaimana caranya kita mengawal atau menguatkuasakan peraturan agar dalam keadaan kita tidak dapat mengharamkan secara ”total”, kita dapat mengindarkan produk-produk haram ini dari digunakan oleh umat Islam.

Di sinilah usaha semua pihak dari pihak berkuasa Persekutuan, negeri dan PBT perlu digembelingkan jika kita benar-benar prihatin dan serius menangani isu ini. Ia bukan mudah dan perlukan komitmen semua pihak.

Saya mengucapkan syabas kepada CAP yang tidak jemu-jemu menonjolkan isu ini. Semoga Allah swt berikan kita semua kekuatan untuk menangani masalah ini.

1 comment:

Anonymous said...

Err..kan lebih elok kalau namakan saja minuman tu... CAP takut kena saman ke?