Wednesday, October 15, 2008

Gerakan Islam terganggu bila amilin longgar akhlak
(Ini merupakan artikel saya yang terbaru dalam ruangan "Menongkah Arus" di Harakahdaily)

Seorang aktivis atau amilin gerakan Islam bukan sekadar perlu memahami dan tunduk pada peraturan agama dalam memikul amanahnya malah ia perlu memperlengkapkan dirinya dan patuh pada disiplin dan adab dalam berjemaah.

Masalah dalaman angkara amilin yang tidak lengkap atau longgar akhlak berjemaahnya akan mengakibatkan terganggunya perjalanan gerakan Islam tadi.

Gerakan Islam ini bukan gerakan ikut-ikutan atau gerakan yang bertenggek pada populariti semasa atau pada mana-mana individu atau kumpulan. Ianya rentetan dari gerakan suci lagi besar yang telah diasaskan oleh junjungan kita Nabi Muhammad saw, yang berlandaskan wahyu (al Quran) dan bimbingannya, tidak berubah roh dan semangatnya samada dalam keadaan perjuangan itu ditimpa tekanan, serangan atau fitnah mahupun ketika ia meraih kejayaan dan kemewahan.

Kerana itu dalam menghadapi halangan dan cabaran atau dugaan semasa gerakan Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah perlu bagi memantap dan memperkasakan para pendukungnya. Seseorang itu tidak boleh mendakwa dirinya amilin gerakan Islam jika ia tidak patuh atau tunduk pada peraturan dan adab berjemaah ini.
Komprehensifnya peraturan dan adab berjemaah dalam gerakan Islam sehingga kita ditarbiyah dan didedahkan dalam mengenal-pasti dan menjauhi wabak-wabak yang mampu menganggu-gugat keutuhan diri dan kekuatan jemaah.

Umpamanya Dr al Sayed Muhammad Noh ada menulis darihal wabak-wabak ini yang perlu diberi perhatian di dalam kitabnya "Wabak Sepanjang Jalan" yang pada tahun 2003 telah diterbitkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dengan diterjemahkan oleh Dewan Ulamak PAS Kedah (Pengerusi panel terjemahannya ketika itu adalah MB Kedah kini Ustaz Dato' Seri Azizan Abd Razak).

Terjemahan buku ini djadikan teks usrah oleh PAS di pelbagai peringkat dan saya difahamkan ianya menjadi teks usrah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah sejak zaman Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor lagi.

Kitab ini menghuraikan tujuh wabak yang perlu diawasi oleh para amilin yang jika tidak diberi perhatian mampu mengancam gerakan Islam sepanjang zaman. Dan salah satu wabak itu adalah "al ghurur" atau "tertipu dengan diri sendiri". Di sana Allah SWT berfirman:

" Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka)." (Fatir: 5)

Antara sebab-sebab berlakunya "ghurur" menurut kitab ini adalah pertama lalai untuk mengkaji dan muhasabah diri sendiri dan kedua lalai atau enggan menerima bimbingan orang lain.
Sesungguhnya dua di antara sebab ini sangat mudah hinggap dan memperdayakan kita sehingga kita kadangkala tidak perasan atau terlupa yang ianya telah masuk merasuk jiwa kita.

Kerana itulah kita perlu sentiasa memagang kuat ikatan tali dalam berjemaah ini, jangan sampai ianya terlepas sehingga kita menganggap tidak ada yang lain yang benar dan betul melainkan diri kita sahaja.

Kitab ini memberi amaran bahawa "al ghurur" jika tidak ditangani atau dirawati akan meninggalkan kesan buruk dan merbahaya samada ke atas amilin ataupun amal Islami itu sendiri.

Dan tiga kesan ke atas amilin akibat dari perlakuan "al ghurur" ini adalah pertama: "cenderung terjebak ke dalam perangkap kejahatan dan suka bertegang leher", kedua: "cenderung terjebak ke dalam kancah at takabbur tanpa hak" dan ketiga: "keras kepala".

Untuk itu Rasulullah saw bersabda:

"Aku adalah ketua sebuah rumah perlindungan dalam syurga (dikhususkan) untuk mereka yang tidak bertegang leher, sekali pun apa yang dilakukannya itu adalah benar. Dan aku juga ketua sebuah rumah di tengah-tengah syruga (dikhususkan) untuk mereka yang tidak berbohong, walaupun bohongnya itu hanyalah gurauan. Dan aku juga ketua sebuah rumah di bahagian tertinggi syurga untuk mereka yang baik akhlaknya."

Justeru itu semua kita perlu mengambil iktibar dan memastikan yang kita tidak dihinggapi oleh wabak seumpama ini samada kita sekadar ahli biasa ataupun berjawatan di peringkat cawangan, apa lagi kawasan, negeri termasuklah pusat.

Tidak terkecuali mereka yang memegang jawatan dari setinggi Menteri Besar sehinggalah ahli-ahli EXCO, ahli parlimen dan ADUN serta ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung mahupun JKKK.

Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS ada menyebut dalam ucapannya di muktamar baru-baru ini bahawa pokok PAS tidak akan tercabut kerana tunjangnya adalah Islam, walaupun ia mungkin bergoyang.

Lalu apa sahaja yang mengakibatkan ianya bergoyang perlu dirawat semoga pokok ini terus kukuh dan teguh dalam meneduhi perjuangan yang besar dan jauh ini.

2 comments:

chepirate republic said...

salam muqabalah.....

tulsan yang begitu baik dan sangat di tekankan di SAAT INI,DAN apa yang berlaku kini berpunca dari tiadanya sifat-sifat ini,Hanya NAFSU/TAMAK/GILA KUASA..bla..bla..bla yg menguasai jiwa.

SYABAS DIATAS TULISAN INI........

muhafaza73 said...

salam...slagi ada sifat mndahului kmpimpinan dalm sgala hal apa pkara pn xkn slesai...itu pntingnye displin dan adab dlm brjamaah...sifat mnusia ni mudah lupa tp masalahnye ble diingatkn melenting pulak tmbh2 ble x kene dgn slera diri...nk kata x katam kitab usrah rasanye dh brtimbun yg di rujuk tu yg kdg2 trlajak dari imam...apa pn slagi islam yang jadi tunjang slagi tu la jamaah akan slamat...bak kata ust harun taib usah amik peduli kemuncup yg wujud dlm perjuang ni...