Bijak laksana tuntutan Islam dalam pemerintahan Pakatan Rakyat
(Ini merupakan artikel terkini saya dalam ruangan "Menongkah Arus" di Harakahdaily)
Sedar tak sedar kini sudah lebih 7 bulan berlalu setelah berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Sebagaimana yang semua kita maklum pilihan raya berkenaan merupakan pencapaian terbaik PAS kerana berjaya mempertahankan kuasa di Kelantan di samping terlibat membentuk kerajaan negeri yang baru di Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.
Sebagai pendokong gerakan Islam kita yakin bahawa kemenangan perjuangan ini merupakan janji Allah SWT ke atas setiap yang ikhlas berjuang sejak dari zaman junjungan kita Rasulullah s.a.w. sehinggalah ke saat ini.
Allah SWT berfirman:
"Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh)"
(an Nur: 55)
Lantaran itu cabaran besar yang menimpa kita kini setelah dianugerahkan kemenangan oleh Allah SWT itu adalah bagaimana kita mengisinya. Dari kelima-lima negeri yang dimenangi pada pilihan raya umum lalu, hanya Kelantan sahaja yang didominasi oleh kekuatan PAS semata-mata, manakala di negeri-negeri lain, PAS bergantung pada kekuatan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat termasuklah di Kedah.
Walau bagaimanapun tugas kita sebagai sebuah gerakan Islam perlu terus kita galas dan perjuangkan tambah-tambah apabila kemenangan telah dikurnia oleh Allah SWT pada kita. Sebagaimana yang disentuh oleh Tuan Guru Presiden dalam muktamar kita baru-baru ini, bahawa negeri-negeri yang kita perintah akan kita isi dengan pengisian Islam dan malah Tuan Guru Presiden menyarankan agar di negeri-negeri yang berkenaan, kita bijak dengan mengambil kaedah yang digunakan oleh Khalifah Umar bin Abd Aziz yang mampu menyalurkan pengisian Islam dalam tempoh singkat pemerintahnnya.
Memang ikatan tahaluf antara kita dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mendesak kita agar memerintah bersama di negeri-negeri ini, namun demikian syarat-syarat tahaluf yang Islam tuntut daripada kita adalah bahawa tahaluf itu tidak mengikat kita sehingga menjejaskan prinsip perjuangan. Dalam hal ini kita yakin rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sedar dan mengiktiraf dasar dan komitmen perjuangan PAS sebagai sebuah parti Islam.
Lantas atas kitalah untuk mengemukakan cadangan, pelan dan syor untuk menyuntik roh Islam ke dalam kerajaan-kerajaan yang melibatkan penyertaan PAS ini. Setiap pimpinan dalam kerajaan sama ada Menteri Besar, Exco, Adun mahupun ahli-ahli PBT, ketua-ketua kampung dan JKKK perlu terus berdakwah dalam setiap ruang dan peluang yang ada.
Gejala sosial dan keruntuhan akhlak umpamanya yang sebelum ini kita kaitkan dengan kelemahan Umno dan BN, perlulah kita tangani dan selesaikan kini setelah kita yang memegang tampuk pemerintahan. Program-program maksiat umpamanya tidak seharusnya terus kekal setelah kita kini menjadi sebahagian daripada kerajaan. Pimpinan kita di semua peringkat tadi perlu mengemukakan saranan dan jika perlu alternatif dan syor agar amalan maksiat kerajaan yang terdahulu tidak lagi diteruskan setelah kita berkuasa.
Jika tidak maka rakyat akan menempelak bahawa tidak ada bezanya antara kita dengan pentadbiran yang terdahulu dan lebih malang lagi kita seakan durhaka pada Allah SWT setelah peluang dikurnia kepada kita! Mungkin kita akan dihukum pada pilihan raya ke-13 nanti.
Tuan Guru Presiden dalam muktamar di Ipoh baru-baru ini mengingatkan kita bahawa kerajaan negeri yang kita bina wajib melaksanakan mesej Islam dan hukum-hukumnya mengikut kemampuan yang ada pada kita. Dalam erti kata lain tuntutan perlaksanaan itu terus kekal, namun tertakluk pada kekuatan perwakilan kita dalam kerajaan negeri-negeri berkenaan.
Kata Tuan Guru lagi, kitalah yang perlu membuktikan bahawa syariat Islam ini mampu membangkitkan kesan yang baik kepada masyarakat dan kesan itu hanya dapat ditinjau oleh semua apabila ianya dilaksanakan.
Kini tugasnya terpikul atas kepala dan bahu setiap kita yang duduk atau merupakan sebahagian daripada kerajaan-kerajaan ini. Biar semua yang di bawah kuasa kita nampak akan bentuk dan rupa Islam itu dengan harapan satu hari nanti mereka akan bersama menuntut untuk bernaung di bawahnya.
1 comment:
Ulasan/Artikel menarik dan jelas..
saya setuju apa yng saudara tulis..
selain itu, saya tak tau mau komen di mana.. berkenaan Harakah..
mengapa sukar utk mndapat berita/liputan mengenai negeri2 yang diperintah oleh PR. maksud saya berita2 isu2 tempatan.
yang terbaru spt banjir di Bukit Merah, Perak. tiada langsung pun info dari harakah.
sepatutnya harakah lah antara media2 yang bagi info2 bkenaan apa y dilakukan oleh kerajaan Perak. kalau nak harapkan utusan/bharian. mstilah x seberapa..
Post a Comment