Tuesday, October 21, 2008

Jangan terbabit dalam kerja-kerja fitnah

Menurut berita terkini The Star online, wartawan Malaysiakini Wong Choon Mei, telah meletakkan jawatan kerana mengambil tanggungjawab penuh di atas penyiaran maklumat yang palsu.

Choon Mei sebelum ini telah membuat laporan di Malaysiakini bahawa Timbalan Presiden Umno, Najib Tun Razak kononnya telah mengeluarkan manifestonya bagi merebut jawatan Presiden Umno. Choon Mei dilaporkan menerima maklumat itu melalui email dan tidak mengambil usaha mensahihkannya, terus sahaja melaporkannya. Maklumat itu kemudiannya didapati tidak benar. (Yang baisa berkempen dengan manifesto adalah calon-calon dalam pemilihan MCA).

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan melahirkan kekecewaannya di atas penyiaran berita berkenaan, dan kesal dengan tindakan Choon Mei. Malaysiakini kata beliau menerima perletakkan jawatan Choon Mei itu.

Perisitiwa ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua. Apa sahaja maklumat yang kita terima perlulah terlebih dahulu disahihkan agar ianya tidak menjadi fitnah dan akhirnya memudaratkan diri kita sendiri. Semua kita perlulah bertanggungjawab, kita menulis dan mengkritik atas dasar kebenaran, bukan sahaja pemimpin malah penulis dan blogger juga perlu bertaqwa, kerana kita akan dipertanggungjawabkan bukan hanya di dunia malah lebih-lebih lagi di Mahakamah Allah yang maha adil. Akan tetapi ini tidak bermakna kita takut atau gentar untuk bersuara, hak untuk bersuara tetap ada namun ianya perlulah bersandarkan pada kebenaran dan tidak fitnah.

Allah swt telah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

[al-Hujurat 49:6]

2 comments:

Anonymous said...

inilah semangat bertanggungjawab yang patut kita puji, yang selalu PR sebut-sebutkan - kalau salah, letak jawatan!

harap ahli politik, sama ada BN atau PR (cakap kena serupa bikin - surah as-Saf) akan buat perkara yang sama...

info-jariah.blogspot.com
info-kesihatan-anda.blogspot.com

Anonymous said...

Minta tolong pengendali laman web pahangdaily.com kendurkan cerita2 fitnah. Walaupun dlm bentuk khabar angin, apabila kita menyebarkannya sudah dianggap fitnah. Kita tidak mahu PR dituduh sebagai kaki fitnah.