Thursday, October 23, 2008



Almarhum Sultan Pahang pernah terlibat membebaskan tahana ISA

Dalam posting saya yang lalu bila mengulas keprihatinan Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenaan nasib mangsa-mangsa banjir saya menyebut di penghujungnya:

Mengikut sejarah pernah ada Raja Melayu yang terlibat dalam membebaskan tahanan-tahanan politik semasa zaman penjajah dahulu. Insyallah saya akan berikan faktanya dalam posting yang lain.

Sebenarnya ketika itu saya teringat ada membaca berkenaannya dari salah satu buku karangan Allahyarham Ahmad Boestamam, cuma saya tidak pasti Raja Melayu yang manakah yang dimaksudkan. Sebentar tadi saya memunggah kembali buku-buku Allahyarham Pak Boes yang ada dalam simpanan saya, ternyata ia dirakamkan dalam salah sebuah bukunya iaitu “Tujuh tahun malam memanjang” (ketiga-tiga karangan besar Pak Boes boleh didapati dalam

buku







besar terbitan UKM: “Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan darah dalam api”).

Raja Melayu yang dimaksudkan adalah ayahanda Tuanku Sultan Ahmad Shah iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al Muadzam Shah, Sultan Pahang ke IV (1932-1974). Menurut Pak Boes beliau ketika itu sedang merengkok di bawah tahanan Undang-undag Darurat yang kini dikenali sebagai akta jahanam ISA. Pak Boes ditahan pada tanggal 1 Julai 1948 ekoran pengharaman penjajah British terhadap gerakan nasionalis di tanahair. Beratus-ratus pejuang tanahair ditahan, dan Pak Boes tidak terkecuali. (ketika itulah Hizbul Muslimin, parti Islam pertama di tanahair turut diharamkan dan pengasasnya Ustaz Abu Bakar al Baqir turut ditahan).

Berbalik kepada kisah penglibatan Almarhum Tuanku Sultan Pahang yang ke IV, ketika itu Pak Boes sudah ditahan lebih 7 tahun, iaitu sekitar tahun 1955. Beliau ditahan di Kem Tahanan Ipoh, pada satu hari para pegawai kem memaklumkan bahawa beliau akan dikunjungi tetamu istimewa. Berikut apa yang dirakamkan Pak Boes:

Setiba sahaja kami di luar saya dapat melihat penguasa khemah tahanan beriringan dengan seorang yang tinggi, pagan dan besar tubuhnya, menuju ke arah saya dalam kawalan berpuluh-puluh orang wader yang diketuai oleh sarjan mejarnya sekali.

Sungguhpun mereka masih jauh jaraknya lagi daripada saya namun saya dengan serta merta telah dapat mengenali siapa orangnya yang tinggi, gagah dan bertubuh besar yang beriringan dengan pengausa kem tahanan itu: Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.


Bayangkan Almarhum Tuanku Sultan Pahang boleh mengambil inisiatif berani menjenguk ke kem tahanan para pejuang tanahir, yang bukan terletak dalam negerinya (kem itu di Perak dan bukan Pahang) Pak Boes tidak menghuraikan bagaimana Tuanku boleh berada di sana tetapi itulah sikap Raja yang prihatin dalam keadaan negra ketika itu berada bawah kuasa penjajah.

Pak Boes seterusnya merakamkan pengalaman beliau diketemukan dengan Tuanku Sultan di kem tahanan itu:

“Apa khabar?” Tanya baginda kepada saya bila tangan kami berjabat dengan eratnya.



“Khabar baik, Tuanku” saya jawab sambil tersenyum pula.

Pada waktu ini penguasa kem tahanan, seorang Inggeris yang bernama Warmen terus menyampuk: “Tuanku, saya sudah menghantarkan sokongan saya kepada pihak yang di atas supaya Tuan Boestamam ini dibebaskan dari tahanan.”

“Memang patutnya,” Baginda segera memberikan pendapatnya tanpa berfikir-fikir lagi. Kemudian Baginda bertanya kepada saya: “Sudah berapa lama Encik Boestamam ditahan?”

“Sudah tujuh tahun Tuanku,” saya menjawab.

Sambil menunjukkan kata-katanya kepada penguasa khemah tahanan Baginda berkata pula: “Kalau sekiranya Encik Boestamam ini ditangkap di Pahang sudah lama saya bebaskan dia.”


Demikianlah ketegasan Almarhum Sultan Pahang ketika itu yang mencerminkan kasih-sayang dan pembelaan Tuanku terhadap para pejuang nasionalis walaupun di hadapan pegawai penjajah. Begitulah kisah salah seorang Raja Melayu yang mungkin tidak disentuh mana-mana pihak.

Tidak berapa lama selepas itu Pak Boes dibebaskan dari tahanan.

Semoga Raja-raja kita akan terus mengambil langkah proaktif dan sentiasa peka terhadap permasalahan dan nasib rakyat. Rakyat memandang tinggi dan menghormati institusi Raja-raja Melayu dan sentiasa menganggapnya laksana payung yang memayungi rakyat dari apa sahaja ancaman, musibah, kesusahan dan ketidak-adilan. Ianya inysallah akan terus kekal dan relevan selama mana hubungan antara rakyat dan istana itu terus kukuh dan tidak renggang-renggang.

2 comments:

Anonymous said...

Sebahagian besar pemimpin-pemimpin amno tetap mempertahankan ISA. Itu saya tak berapa pelik kerana mereka takdak pendirian, sekadar mengekor saja. Yang buat saya jadi geram ialah ulamak-ulamak amno dan berkepentingan (ulamak upahan) juga mempertahankan malah menghuraikan nas-nas betapa selarasnya ISA dengan Islam. Pandangan para mufti pula bagaimana? Pohon keprihatinan para Sultan!

Anonymous said...

Isu sekarang ialah Raja2 Melayu masih boleh berfungsi secara check and balance...kawe org pahang weeh ..poh paleh...
deli