Wednesday, August 29, 2007

Si ketam pula nak mengajar rakyat berjalan lurus

Dalam ramai-ramai yang mahu memberikan ucapan sempena ulangtahun kemerdekaan negara ke 50 Jumaat ini akhbar The Star memberikan ruang kepada seorang bekas banduan yang pernah disabitkan kesalahannya oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membelasah sehingga parah bekas Timbalan Perdana Menteri yang ketika itu dalam keadaan bergari tangannya dan ditutup matanya.

Bekas Ketua Polis Negara yang pernah dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 itu hari ini menyeru agar semua rakyat Malaysia menjadi satu bangsa yang satu. Sepatutnya kata beliau setiap rakyat Malaysia dekenali sebagai bangsa Malaysia dan kategori agama Islam dalam kad pengenalan sepatutnya dihapuskan. Ini menurut beliau bagi mewujudkan satu bangsa Malaysia dyang sama dikalangan seluruh warga Malaysia.

Beliau juga mendakwa kini negara sedang menghadapi ancaman dari mereka yang mengeksploitasi agama pada tahapa yang paling ekstrim. Ekstrimis agama ini berbeza dari ektrimis perkauman.

Dengan penuh hormat pada bekas jawatannya dan gelaran Tan Sri yang disandangnya, saya rasa The Star seharusnya memberi ruang tersebut kepada ramai lagi tokoh yang pernah berjasa dan membawa harum nama negara, bukannya Rahim Noor. Beliau mungkin bekas IGP dan seorang Tan Sri, tetapi beliau pernah melakukan satu kesalahan jenayah yang sangat keji dan diluar perikemanusiaan.Kalau kita masih ingat semasa rayuannya di tolak oleh Mahkamah Rayuan Hakim Shaik Daud telah berkata:

Abdul Rahim melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis. Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah akibat perbuatan yang telah dilakukannya.


Tindakan perayu yang dilakukan terhadap orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan. Tambahan pula dalam kes ini, orang tahanan itu diarahkan oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain dan yang paling teruk tangan digari dari belakang. Ini suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.

Lebih baik beliau insaf dan memohon maaf secara terbuka kepada mangsanya dan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah menyalahgunakan kuasanya untuk menganiaya orang, dari pada beliau secara megah mahu memberikan nasihat kepada kita semua. Saya hairan bagaimana The Star boleh mengambil seekor ketam untuk mengajar kita semua berjalan lurus?

No comments: