Wednesday, August 22, 2007

Mengadu nasib kepada istana

Saya yakin Othman Ahmad tidak pernah meminta nasib sebegini. Tetapi Allah swt mentakdirkan demikian. Beliau yang dari Kampung Jawa, Segamat bekerja sebagai seorang buruh kontrak. Pendapatannya sekadar RM500 sebulan. Anaknya pula Mohd Amirul, 16 tahun lumpuh sejak lahir. Dalam usia 16 tahun berat badan Amirul sekadar 25 kg.


Bayangkan bagaimana beliau menyara hidup keluarganya dengan 5 orang anak dalam keadaan begitu? Beliau mencuba mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meringankan bebannya menyara anak yang cacat itu. JKM meluluskan bantuan sekadar RM65 sebulan. RM65 ini saya kira bagi setengah-setengah keluarga adalah belanja makan anak-beranak satu malam di restoran biasa, dan Othman terpaksa terpaksa mengunakan jumlah itu untuk pakaian, makan-minum anaknya yang cacat untuk sebulan!

Selain itu beliau terpaksa pula menyewa rumah di Taman Jenalik, Kampung Jawa, dan dikenakan sewa RM200 sebulan. Kata beliau usaha untuk mendapatkan rumah mesra rakyat (untuk golongan miskin) di Segamat tidak mendapat perhatian sehingga sekarang.

Tidak sampai 10 hari lagi kita akan merayakan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 50. Bumi bertuah ini telah jatuh ke tangan anak bangsa sudah 5 dekad. Tiada lagi penjajah, tiada lagi kuasa asing. Namun rupanya masih ada anak bangsa yang melarat sebegini rupa.
Lalu apabila Konvoi Malaysia Gemilang 50 Tahun Merdeka 2007 diketuai DYTM Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim Ismail, mengunjungi kawasannya semalam, Othman mendukung anaknya Amirul untuk mengadu hal dan keperitan hidupnya terus kepada Tengku Mahkota sendiri.

Saya yakin Tengku Mahkota Johor turut bersimpati dengan nasib Othman walaupun akhbar Utusan yang memaparkan kisah ini tidak memaklumkan apakah yang telah disumbangkan oleh kerabat Johor ini kepadanya.

Kesimpulannya anak bangsa yang diberi kuasa memerintah sejak 50 tahun lalu masih ada yang lupa asal usul mereka. Perjuangan kemerdekaan kita dahulu bukan sekadar membebaskan negara ini dari cengkaman penjajah, kerana hakikatnya British dahulu tidak zalim terhadap anak-anak jajahannya sehingga mereka lapar dan kebulur. Mereka sekadar memunggah kekayaan negara untuk kepentingan mereka. Kerana itu kita berjuang menuntutu kemerdekaan kerana kita mahu menentukan nasib kita sendiri. Kekayaan dan hasil mahsul negara akan kita urus sendiri utnuk manfaat anak bangsa.

Kes Othman ini membuktikan rupanya kita masih gagal. Pihak istana yang wujud sejak beratus tahun sebelum Merdeka jugalah akhirnya tempat rakyat mengadu nasib. Semoga pintu pagar istana akan terus terbuka untuk mendengar hiba dan tangis rakyat dalam keadaan pagar-pagar PM dan MB serta wakil-wakil rakyat tertutup rapat.

No comments: