Tuesday, August 07, 2007

Jangan sampai menang sorak tetapi agama dan bangsa tergadai

NST hari ini menyiarkan laporan dari kajian yang dibuat oleh sebuah badan bebas iaitu Merdeka Center berhubung isu-isu dan kebimbangan rakyat dalam menghadapi Pilihanraya Umum yang akan datang. Kajian ini dibuat berasaskan pandangan 1,022 responden dan dilakukan dalam bulan Jun baru-baru ini.

Menurut kajian tersebut 86% masyarakat Melayu bersetuju dengan kepimpinan Dollah Badawi sebagai PM, diikuti 71% India dan 54% Cina. 76% Melayu merasakan yang ekonomi negara kini baik diikuti 45% India dan 58% Cina.


Kajian ini sekadar satu indikator kecenderungan masyarakat pengundi berdasarkan pandangan 0.004% rakyat Malaysia yang seramai 26 juta!

Jika ia benar dan tepat bermakna kalau pilihanraya umum dipanggil hari ini besar kemungkinan Umno akan menang besar, manakala kerabat BN lain khasnya MCA dan Gerakan akan menerima kekalahan yang besar juga. Mungkin Umno akan berjaya memerintah kembali Kelantan, mungkin pengaruh PAS di Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri akan lenyap. Mungkin DAP akan menikmati gelombang kejayaan yang luar biasa sehingga mampu barangkali menawan Pulau Pinang!

Adakah ini yang dikehendaki oleh masyarakat pengundi kita?

Adakah mereka sudah bosan dengan pemerintahan yang membawa slogan Membangun Bersama Islam di Kelantan? Adakah mereka merasakan khidmat Tuan Guru Nik Abd Aziz selama lebih 17 tahun di Kelantan sebagai MB pertama bertaraf ulamak dan Tuan Guru itu harus dicampak ke tepi begitu sahaja.

Adakah orang Melayu rela dan tidak sensitif langsung dengan pimpinan Melayu yang korap dan rendah moralnya, lalu sanggup melihat mereka ini terus memimpin dan mengetuai anak bangsa? Adakah masyarakat Melayu berpuas hati dengan nasib agama Islam yang semakin tercabar dan dicabar kebelakangan ini?

Kalau kajian Merdeka Center ini tepat, maka jawapannya: Ya! Kami berpuas hati dengan apa yang ada. Tak kiralah kalau Umno berjaya melahirkan pemimpin seperti Zakaria Md Deros, Isa Samad, Mat Taib, Osu Sukam, Zainuddin Maidin, Bung Mokhtar, Mohd Said Yusof (Jasin) dan lain-lain. Tak kiralah kalau politik wang sudah tertunjam dalam darah daging bangsa ku, tak kiralah kalau pemimpin ku lebih cenderung kepada pub dan rumah urut dari ke masjid. Semuanya itu tidak penting, yang penting kami berpuas hati dengan apa yang ada.

Bagaimana dengan gejala sosial dan keruntuhan akhlak dikalangan remaja Melayu, bagaimana dengan kes penagihan dadah yang besar jumlahnya dikalangan orang Melayu, Mat Rempit, bohsia?

Jika demikianlah kehendak orang Melayu, Allah selamatkanlah kita semua. Fikirkanlah perkara ini masak-masak sebelum terlambat, jangan biarkan bangsa dan agam kita menang sorak tetapi agama dan bangsa tergadai!

No comments: