Sunday, August 26, 2007

Pejuang kemerdekaan yang dilupakan

Menjelang ulangtahun Kemerdekaan Negara yang ke 50 ini berbagai rencana dan rancangan kita ikuti di akhbar dan TV. Kebanyakannya menggambarkan sumbangan para pejuang kemerdekaan serta pengalaman mereka yang turut serta berada diwaktu berkenaan.

Sesungguhnya pergelutan nasionalisma yang merintis jalan untuk mengisytiharkan Tanah Melayu atau Malaya Merdeka bermula sejak dari sebelum pendudukan Jepun di Malaya pada tahun 1941. KMM atau Kesatuan Melayu Muda satu gerakan nasionalis Melayu yang dipimpin Ibrahim Yaakob telah ditubuhkan seawal 1938. Ia merupakan satu badan radikal yang menentang penjejahan Inggeris ketika itu. Perjuangan KMM ini menadapatkan sokongan padu dari para guru Melayu lepasan MPSI (kini UPSI). Antara lepasan MPSI yang terlibat adalah Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan Mohd. Isa Mahmud. Selain itu antara yang turut terlibat dengan KMM adalah Ahmad Boestamam dan Abdullah CD (yang kemudiannya memimpin PKM).





Apabila Malaya menerima berita tentang Perang Dunia Kedua, tuntutan KMM menjadi semakin lantang dan berani. British telah mengisytiharkan darurat dan mengharamkan KMM, mereka kemudiannya bertindak menangkap sesiapa sahaja yang mereka kira boleh membahayakan kedudukan mereka. Ahmad Boestamam menulis di dalam, Lambaian Dari Puncak:

Penangkapan ini dilakukan di bawah kuatkuasa undang-undang (yang penjajah Inggeris namakan) Undang-undang Darurat atau Peraturan-peraturan Darurat. Antara orang yang ditangkap dan ditahan termasuklah saya.

Demikianlah mahalnya harga yang harus saya bayar atas penglibatan saya dalam politik pada peringkat permulaan.

Ketika itu belum ada lagi PKMM atau Umno. Bermakna sebelum pendudukan Jepun perjuangan nasionalis menuntut kemerdekaan telah pun dicetuskan. Sayangnya kita tidak dihidangkan dengan sejarah dan perkembangan perjuangaan ketika itu. Hari ini dipaparkan nama-nama dan kisah mereka yang menyumbang ke arah kemerdekaan negara, teapi tahukan anda bahawa selain bangsawan, selain ahli politik, selain para penulis dan golongan agama, terdapat satu golongan yang turut menyumbang ke arah kemerdekaan negara, samada kita mau iktiraf ataupun tidak.

Nama mereka ini tidak terdapat dalam mana-mana buku atau tulisan sejarah, tetapi percayakah anda mereka ini walaupun hina tetapi berjuang sehingga dipenjarakan oleh penjajah Inggeris!

Boestamam merakamkan dalam bukunya: Lambaian Dari Puncak, ketika beliau sedang diangkut oleh trak penjajah untuk dihumban ke kem tahanan. Betapa beliau terserempak dengan sekumpulan wanita yang beliau percaya berasal dari Pantai Timur yang turut ditahan seperti beliau. Boestmama menulis:

Adik-adik ini sebelum ditahan bekerja sebagai apa, tanya saya.

Wanita yang duduk di sebelah saya, yang bergesel bahu dengan saya menjawab: Kami semuanya wanita yang mencari rezeki dengan memuaskan nadsu laki-laki dengan bayaran. Wanita lacur kata orang.

Kenapa pula ditangkap? (tanya Boestamam)

Kerana kami orang Berahim Yaakub

Jadi semuanya menjadi anggota KMM begitu?, saya bertanya

Tidak (jawap mereka)

Kalau tidak kenapa ditangkap!

Kami menjadi pengintip rahsianya. Wanita itupun menceritakan. Kami kenal baik dengan Berahim Yaakub malah rapat dan mesra. Sewaktu meladeni askar-askar Inggeris yang hendak memuaskan nafsu mereka dengan kami, dia meminta kami supaya mengorek rahsia mereka, seperti berapa ramai jumlah mereka, dimana kubu mereka diseluruh negeri, dan banyak lagi.

Bermakna pelacur-pelacur yang beroperasi di KL sebelum pendudukan Jepun itu turut menyumbang ke arah perjuangan nasionalisma sehingga ditangkap dan dipenjarakan. Boestmama menulis:

Saya termenung dan kagum memikirkan keberanian mereka mendedahkan rahsia yang didengar oleh para pengawal wanita yang ada bersama di situ.

Saya memaparkan kisah ini kerana mahu berlaku adil kepada semua pihak. Saham untuk kemerdekaan negara bukan milik Umno atau mana-mana pihak tertentu sahaja. Sesungguhnya ramai rakyat Malaya yang telah menyumbang tenaga, darah dan airmata. Cuma 31 Ogos nanti yang akan kita agung-agungkan adalah sekadar dua tiga kerat yang memilih jalan perjuangan mudah.

Semoga Allah membalsa jasa dan pengorbanan mereka yang ikhlas berjuang dengan darah dan air mata untuk kemerdekaan negara kita yang tercinta ini.

No comments: