Thursday, August 09, 2007

2007: Tahun Keracunan Susu Sekolah

Program Susu Sekolah atau PSS diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu anak-anak dari keluarga miskin khususnya di sekolah-sekolah luar bandar untuk memperolehi makanan berzat. Ianya membabitkan 560,169 murid di 6,00 buah sekolah seluruh negara dengan peruntukan RM23.9 juta setahun melalui Kementerian Pelajaran. Selain PSS ini saya difahamkan ada juga program Rancangan Makanan Tambahan atau RMT dimana murid-murid dari kategori ini diberikan makanan dari kantin-kantin sekolah bagi tujuan yang sama.

Malangnya dari hari ke hari program yang dianggap baik ini menjadi sebaliknya apabila anak-anak yang diberikan susu percuma ini mengadu sakit perut dan muntah-muntah, dan disahkan keracunan makanan akibat meminum susu-susu bantuan ini.


Kita mendapat anak-anaka keluarga miskin ini di Kedah, Kelantan dan terbaru di Perlis mengadu keracunan makanan apabila diberikan susu ini. Program yang sepatutnya memberikan mereka makanan berzat untuk pertumbuhan mereka rupa-rupanya menjadi racun yang mendera tubuh badan mereka!

Semalam pihak kementerian mengumumkan penggantungan PSS ini dan menurut Timbalan Menteri berkenaan (mana pergi Menterinya?) program ini hanya akan disambung semula jika pembekal-pembekal yang dilantik menyediakan surat jaminan bahawa susu yang mereka bekalkan itu selamat untuk diminum. Menurut laporan terdapat 6 pembekal dan tiga pengilang yang terbabit dalam PSS ini.

Saya tidak berapa yakin apakah tindakan kementerian ini sesuatu yang bijak dan tepat. Sepatutnya keutamaan mereka dalam kes ini adalah nasib dan kebajikan 500,00 lebih pelajar-pelajar yang terlibat. Kes ini bukan membabitkan satu atau dua insiden tetapi telah berlaku begitu kerap sejak kebelakangan ini. Mengapa kementerian masih menaruh kepercayaan kepada pembekal dan pengilang yang ternyata bermatlamat meraih keuntungan dari membela dan menjaga kepentingan anak-anak ini.

Saya hairan mengapa Timbalan Menteri memohon surat jaminan dari pembekal sedangkan sepatutnya jaminan seumpama ini telah secara langsung wujud melalui kontrak yang diberikan. Apakah dalam kontrak yang melibatkan RM23.9 juta wang kerajaan setahun itu perkara yang melibatkan keselamatan produk ini tidak dibangkitkan langsung?

Bagi saya jika kerajaan serius untuk membekalkan susu yang berkualiti kepada anak-anak kita dari keluarga yang miskin ini, kontrak itu septautnya diberikan sahaja kepada pengilang-pengilang susu yang berjenama yang ada dalam negara. Rundingkan harga yang berpatutan, dan saya percaya syarikat-syarikat gergasi ini akan lebih dari sudi menyokong projek ini sebagai sebahagian dari sumbangan sosial mereka. Di situ sudah pasti kualiti produknya terjamin sehinggalah sampai untuk digunakan.

Saya ragu bila melihat wajah-wajah pembekal yang hadir bertemu Timbalan Menteri semalam sebagaimana ditayangkan oleh Buletin Utama TV3. Mungkin kita boleh mendedahkan nama-nama syarikat pembekal ini dan lihat pula nama-nama pengarah dan pemegang sahamnya. Adakah amalan kronisma dan nepotisma terlibat dalam pemberian kontrak ini sejak awal-awal lagi?

Apa pun, saya pasti anak-anak murid yang terbabit akan serik meminum susu-susu ini. Menteri Pelajara yang juga Ketua Pemuda Umno seakan membisu dalam isu ini. Bagaimana nak membela nasib dan masa depan bangsa jika racun dibekalkan kepada anak-anak bangsa?

No comments: