Wednesday, August 15, 2007

MCA mengampunkan Wee Meng Chee

Yang dihina adalah agama Islam, orang Melayu dan negara kita. Yang menghina adalah seorang penuntut universiti di Taiwan, jurusan sebaran am bernama Wee Meng Chee, 24. Tiba-tiba kita dimaklumkan bahawa Naib Presiden MCA Dr Chua Soi Lek yang juga ahli parlimen Muar, kawasan asal si Wee ini telah menghubungi Wee melalui telefon. Di dalam perbualan telefon itu menurut Chua, wee telah memohon maaf dan berharap agar kerajaan dan rakyat memaafkannya.

Belum pun sesiapa yang memberikan respon, Dr Chua sendiri menyebut bahawa memandangkan Wee ikhlas memohon maaf maka sewajarnyalah kita menerima permohonan maaf beliau itu. Tambah Dr Chua, Wee ini seorang anak muda yang tidak mempunyai niat mencemarkan imej negara, lagu kebangsaan atau agama Islam. Dr Chua dilaporkan dalam NST sebagai berkata:

I accept his apology because I could detect from his voice that he was very sincere.

Saya terima permohonan maaf beliau kerana saya dapat mengesan dari suara beliau bahawa beliau benar-benar ikhlas.




Saya tidak bermaksud mahu mengeruhkan suasana. Tetapi yang saya faham beberapa NGO termasuklah Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) telah membuat laporan polis terhadap video klip karya Wee itu. Wee bukan lagi kanak-kanak sekolah, Wee adalah seorang dewasa, berpelajaran dan perlu memikul tanggungjawab. Di dalam negara beberapa mahasiswa kita pernah ditahan di bawah akta zalim ISA semata-mata kerana berhimpun menyuarakan pandangan mereka di hadapan Masjid Negara.

Mereka ini menghadapi kesukaran meneruskan pelajaran dan memikul risiko semata-mata kerana berhmpun dan bersuara secara aman. Apa yang Wee telah lakukan lebih teruk dan parah dari itu. Jika beliau telah menghasut maka sewajarnyalah (Memandangkan laporan polis telah dibuat) beliau disiasat dan dipanggil membela diri.

Mengapa MCA dan sebelum ini DAP beria-ia mahu membela pemuda ini?

Yang hairannya Zainuddin Maidin pun tiba-tiba bagai kerak nasi dijirus air, terus lembik menerima permohonan maaf siswa dari universiti Taiwan ini.

Yang terguris dan terhina adalah umat Islam dalam negara ini. Lalu yang sewajarnya memberikan perngampunan adalah kita yang terjejas akibat karya gila dan menghina Wee itu. Tetapi ini bukan isu memberikan maaf, ini isu yang jatuh di bawah undang-undang negara yang sedia ada. Bukankahkah prinsip Rukunegara (yang Gerakan mahu kita kembali memegangnya) menyatakan: keluhuran perlembagaan/ kedaulatan undang-undang/ kesopanan dan kesusilaan?

Jika orang yang melanggar undang-undang negara dimaafkan senang-senang begini, apakah mesej yang cuba kita terapkan?

(Kepada mereka yang menuduh saya racist (sedangkan yang sebenarnya racist adalah si Wee) ingin saya tegaskan di sini jika ada warga Malaysia Melayu/Islam yang menghina kaum Cina atau India termasuk menghina agama mereka (seperti yang pernah Umno lakukan) saya juga akan menuntut agar mereka juga diseret ke pengadilan)

No comments: