Tuesday, August 21, 2007

Filem basi lakonan Umno dan MCA

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan pimpinan Umno pelbagai peringkat yang menyerang cadangan Presiden MCA Ong Ka Ting agar tender dan kontrak kerajaan dibuka kepada semua tanpa mengira syarikat Bumi atau bukan Bumi.

Saya kira kalau Utusan ada ruangan lagi, penuh satu paper soldadu-soldadu Umno akan bertempik dan menyerang MCA dan pimpinannya.

Soalnya tidakkah MCA ni kaum kerabat Umno dalam BN?


Tak payahlah Umno nak tunjuk lagak bagaikan juara Melayu dengan membelasah dan menghentam MCA sedangkan mereka tidur sebantal dan makan semangkuk dengan mereka! Memang ini semua merupakan sandiwara Umno dan MCA. Masing-masing nak tunjukkan kepada kaum masing-masing yang mereka adalah pembela dan juara kaum masing-masing. Demikianlah sifat parti perkauman, jika tidak demikian takut nanti penyokong lari.

Kata Ka Ting kita buka sahaja kontrak-kontrak kerajaan untuk semua, nanti kita akan berjaya hapuskan Ali Baba. Manakala pimpinan Umno termasuk Shahrir Samad, Raja Ahmad Zainuddin dan lain-lain hari ini menyatakan kalau kontrak-kontrak ini diberi kepada Bumi sekalipun yang bukan Bumi akan manfaat juga. Bahan-bahan dan bekalan akan dicari dari kalangan syarikat-syarikat bukan Bumi juga.

Dua kali limalah juga nampaknya kalau begitu.

Yang sah untung dan beroleh manfaat dari kontrak-kontrak seumpama ini bukannya Bumiputera tetapi Umno Putera dan di Ali Baba kan pula kepada MCA Putera. Lalu keluarlah di akhbar masing-masing bertikam lidah dan bertegang-tegang urat leher, tetapi hakikatnya lakonan semata-mata kerana peluang dan kekayaan masing-masing mereka yang punggah.

Pak Cik dan Mak Cik dikampung bersemangat tenguk Umno mempertahankan hak Bumiputera, manakala Taukeh dan Nyonya di kampung-kampung baru dan di pekan-pekan kecil juga berpuas hati, MCA lah yang akan membela nasib kita.

Adakah kita akan terus termakan dengan lakonan seumpama ini? Lainlah kalau Umno menghentam DAP atau MCA menghentam PAS. Masing-masing musuh politik belaka, ini kawan pukul kawan, nampak sahaja macam berpukul-pukul tetapi sebenarnya cuma cubit-cubit manja, di belakang tabir mereka berbisik, malam nanti kita jumpa di karooke atau coffee house atau pub, OK!

No comments: