Tuesday, August 28, 2007

Sekejap Negara Islam sekejap tidak

Kenyataan terakhir yang kita dengar berkenaan status negara kita yang tercinta ini adalah bahawa ianya bukan sebuah negara teokratik dan bukan juga sebuah negara sekular. Kata PM Dollah Badawi negara ini adalah sebuah negara demokrasi berparlimen. Walaupun jawapan itu suatu taktik memilih jalan selamat dan malah tidak menepati persolan pun namun yang jelasnya PM ketika itu mahu menegaskan yang Malaysia bukan sebuah Negara Islam. (Sedangkan beberapa hari sebelum itu semasa beliau di luar negara TPM telah mengisytiharkan negara ini sebagai sebuah Negara Islam dan bukannya sekular)

Ekoran kenyataan itu ramai pimpinan komponan BN termasuklah parti pembangkang tertentu mengalu-alukan pendirian dan kenyataan Dollah itu walaupun semua akur memang samada diisytihar atau tidak Malaysia sejak Merdeka lagi adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dan kemungkinan akan terus kekal begitu sampai bila-bila.


Semalam di Parlimen, Ketua Pembangkang Lim Kit Siang, mahu mencuri kesempatan dari kelonggaran sikap PM dan perselisihan arah yang ketara antara beliau dan Timbalannya lalu mengemukakan soalan (sebagaimana dilaporkan oleh Berita Harian):

Adakah kabinet sempena ulangtahun kemerdekaan negara akan berikrar semula mengenai kontrak sosial dan Perjanjian Malaysia bahawa Malysia ialah sebuah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi dan bukan sebuah negara Islam.

Lalu PM Dollah Badawi dalam jawapan bertulisnya menyatakan:

Malaysia adalah sebuah NEGARA ISLAM yang ditadbir berlandaskan prinsip-prinsip Islam dan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen yang berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan. (Utusan Malaysia)

Malaysia berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen yang berpandukan kepada undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, selain menerusi pendekatan ISLAM HADHARI yang diperkenalkan. (Berita Harian)

Dan Dollah menambah:

Sebenarnya inilah juga yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. (Utusan Malaysia).

Jelas jawapan bertulis Dollah ini tidak memenuhi agenda dan kehendak Kit Siang dan kemungkinan besar juga sahabat-sahabtnya di dalam MCA, Gerakan, PBS, UPKO dan lain-lain. Itu masalah mereka. Tetapi apa yang boleh kita pungut dari jawapan ini adalah bahawa status Malaysia itu sendiri sesungguhnya sentiasa terumbang-ambing. Kita belum sampai keperingkat meneliti dan mengkaji apakah isinya benar-benar setimpal dengan status yang dicanag-canang itu. Baru diperingkat status pun sekejap Islam sekejap tidak, bayangkanlah!

Bagi orang kebanyakkan saya yakin ramai yang keliru dan kebingungan berikutan kenyataan PM ini tamabahan yang tidak memiliki bacaan politik. Walaubagaimanapun DAP saya yakin sebenarnya mahukan jawapan sebegitu dari PM lalu mereka akan jaja diseluruh negara terutama dikalangan pengundi bukan Melayu bahawa merekalah juara negara sekular dan mampu mempertahankan masyarakat bukan Islam dari pengaruh Islam.

Yang semakin tersepit adalah MCA, Gerakan, UPKO, PBS dan lain-lain. Mereka yang selama ini menentang Islamisasi dalam kerajaan dan dikalangan masyarakat akan dilihat oleh suku-suku dan puak-puak mereka sebagai lemah dan tidak berfungsi.

Kesimpulannya akan menang banyaklah DAP dalam pilihanraya umum nanti dengan mangsanya terdiri dari MCA, Gerakan dan lain-lain. Umno akan bersorak dengan kemenangan itu kerana kuasa politik bukan Melayu dalam kerajaan akan berkurangan lalu kuasa tekanan mereka juga semakin mengecil.

Sementara itu rakyat Kelantan yang sejak 1990 mengangkat sebuah kerajaan yang memilih untuk Membangun Bersama Islam akan memerhati dengan penuh minat perkembangan ini. Begitu juga penyokong dan pengundi PAS. Bagaimanakah sikap pengundi bukan Melayu yang berada dalam kawasan dimana pertandingannya nanti adalah antara Umno dan PAS?

Mungkinkah akan berlaku sebagaimana ditahun 1969 dahulu di Kota Setar Selatan umapamnya dimana Dr Mahathir ditewaskan oleh Allahyarham Hj Yusof Rawa semata-mata kerana undi protes bukan Melayu. Pengundi Cina di sana marahkan sikap melampau kaum yang ditunjukkan oleh Dr M ketika itu lalu sanggup memangkah calon PAS (the lesser evil bagi mereka) walaupun mereka sebenarnya tidak juga dapat menerima PAS.

Sekurang-kurangnya PAS di Kelantan yang walaupun mahu kepada Islam, tidak menganggu rezeki dan amalan serta cara hidup masyrakat bukan Melayu. Mereka tidaklah sampai keperingkat melambai-lambaikan keris untuk membuat desakkan. Mereka hormat dan menghargai masyarakat bukan Melayu.

Mungkinkah kita sudah sampai kerpingkat dimana masyarakat Malaysia kini akan membuat perhitungan Islam yang mana lebih selamat dan lebih menjamin masa depan mereka? Memang semakin bercelaru nampaknya senario politik negara ekoran isu ini, apa pun pastikan ianya nanti memberi manfaat kepada Islam dan membawa kepada kesejahteraan negara dan keadilan buat semua.

No comments: