Thursday, January 12, 2006

Masyarakat Islam bangkit mempertahankan hak

Alhamdulillah terasa sejuk dan terubat sedikit hati saya dan saya percaya mereka yang lain apabila membaca kenyataan media bertarikh 10 Zulhijjah 1426 yang telah dikeluarkan atas nama 8 NGO Islam iaitu:

1) Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia ( ISRA)
2) Persatuan Ulamak Kedah
3) Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)
4) Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
5) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
6) Jemaah Islah Malaysia (JIM)
7) Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
8) Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)

Kenyataan media tersebut merupakan bantahan mereka terhadap usaha untuk memansuhkan Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang diterajui oleh DAP berikutan Persidangan Meja Bulat yang telah mereka adakan di Bangunan Parlimen baru-baru ini.

Menurut kenyataan tersebut, sekiranya cadangan pemansuhan itu diterima pihak kerajaan bermakna ianya akan merendahkan status sistem kehakiman syariah dan sekaligus akan mengakibatkan kehakiman mahkamah syariah berada di bawah kehakiman sivil yang secular itu.

Mereka menambah bahawa, setiap orang Islam yang menghayati sistem hidup Islam akan pasti menentang sebarang percubaan yang mahu meletakkan undang-undang Syariah berada dibawah undang-undang sivil

Kenyataan tersebut menambah bahawa mahkamah syariah adalah forum terbaik untuk membicarakan pertikaian berkenaan isu pengislaman seseorang individu.Kata mereka, Hakim Mahkamah Syariah dilatih bukan hanya untuk memutuskan persoalan fakta tetapi juga persoalan undang-undang Islam di mana hakim Mahkamah Sivil tidak mendapat latihan mengenainya dan pengetahuan berkaitan Undang-undang Islam.

Melalui kenyataan media tersebut juga mereka menyatakan kekesalan terhadap beberapa isu sensitif yang dibincangkan dalam persidangan anjuran DAP itu termasuklah dakwaan yang dibuat terhadap angkatan tentera yang kononnya memaksa kanak-kanak beragama Hindu untuk menjadi Islam.

Berhubung kes Moorthy mereka menyebut:

Isu-isu dalam kes seperti ini adalah berkaitan dengan pertikaian fakta dan aplikasi Undang-undang Islam. Dalam kes Moorty, isunya ialah sama ada beliau seorang Islam pada masa kematiannya. Untuk menjawab persoalan ini pihak mahkamah perlu mengambilkira bukti dan memutuskan sama ada beliau secara sukarela mengucap dua kalimah syahadah dan jika beliau berbuat demikian, sama ada beliau berhenti menjadi Islam di bawah undang-undang Islam berdasarkan kepada dakwaan amalannya yang tidak Islamik, yang perlu dibuktikan.

Mahkamah Syariah adalah forum terbaik untuk memutuskan isu ini.

Kenyataan tersebut turut menggesa supaya tindakan tegas diambil
terhadap mereka yang memutarbelitkan isu akses kepada mahkamah, dan mengapikan perasaan perkauman untuk tujuan politik dan tujuan lain. Dan dipenghujung kenyataan itu mereka mencadangkan agar pihak kerajaan:

Meminda Perlembagaan untuk menyediakan akses kepada orang bukan Islam dalam Mahkamah Syariah dan melantik anggota kehakiman syariah dalam Mahkamah Persekutuan untuk mendengar rayuan dari pihak-pihak yang berkaitan daripada kes-kes Mahkamah Syariah yang melibatkan pihak Islam dan bukan Islam. Hanya hakim yang mempunyai integriti yang tidak dipersoalkan dan pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang sivil dan Syariah sahaja perlu dilantik sebagai anggota Hakim dalam Bench Syariah yang kami cadangkan itu.

Mudah-mudahan pihak kerajaan memandang serius bantahan dan tuntutan NGO-NGO Islam yang dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat Islam Malaysia ini. Jangan pula kononnya nanti atas dasar mahu bersikap toleran dan menghormati tuntutan golongan minoriti maka kita sewenang-wenangnya sanggup menolak ketepi dan malah menyepak keluar pandangan umat Islam.

Sementara itu akhbar THE STAR hari ini terus menerbitkan kenyataan-kenyataan ghairah pihak bukan Islam yang kononnya membaca bahawa kenyataan PM Dollah Badawi semalam sebenarnya memihak kepada tuntutan mereka.

Ketua Pemuda MCA Liow Tiong Lai mengharapkan agar PM campurtangan dalam hal ini yang kononnya sedang menganggu dan menafikan hak golongan bukan Islam. Manakala Setiausaha Agung Majlis Gereja-gereja Malaysia, Dr Herman Shastri pula mendesak agar sesuatu segera diperlakukan terhadap Perkara 121 (1) (A) kerana ia seolah-olah mewujudkan kekelabuan di dalam hak dan kuasa mahkamah sivil terhadap mahkamah syariah.

Majlis Gereja-gereja Malaysia, National Evangelical Christian Fellowship dan Malaysia Hindu Sangam mengalu-alukan kenyataan Dollah.

Kesimpulannya saya berbangga kerana badan-badan Islam sudah mula bangkit menyuarakan pandangan dalam isu yang jika dibiarkan berlarutan ini akan hanya menghakis dan menyekat hak umat Islam dalam menentu dan mempertahankan nasib mereka. Walaubagaimanapun masih banyak lagi pihak-pihak lain yang mewakili umat Islam perlu turut bangun dan menyuarakan pandangan.

Syabas Datuk Syeikh Azmi Hj. Ahmad, Prof Madya Saleh Hj. Ahmad, Syeikh Hj. Abu Bakar Hj. Awang, Ustaz Hj. Abdul Ghani Samsudin, Tuan Hj Mohammad Buruk, Sdr Yusri Mohammad, Sdr. Zaid Kamaruddin dan Tuan Hj. Mohd Azmi Abdul Hamid yang masing-masing mengeluarkan kenyataan bersama mewakili kelapan-lapan NGO Islam ini.

Kalau kita masyarakat Islam sendiri tidak sensitif dan prihatin dalam hal ini maka siapakah lagi yang akan mempertrahankan hak kita?!

No comments: