Wednesday, January 25, 2006

Mana pergi pengkritik mahkamah syariah?

Ketika sengketa isu Moorthy dan peruntukkan kontroversi Perkara 121 (1)(A) sedang hangat diperkatakan, pimpinan dan pemuka parti-parti politik dan NGO tertentu khasnya mereka yang rimas dan gelisah dengan keputusan kes Moorthy telah menghambur dan melemparkan berbagai kritikan dan kata-nista terhadap institusi mahkamah syariah di Malaysia.

Antara tohmahan yang paling popular adalah bahawa institusi mahkamah syariah tidak dapat menjamin keadilan untuk masyarakat bukan Islam.


(Gambar NST)

Institusi mahkamah syariah dilihat bagaikan seekor jembalang yang bengis dan ganas yang pasti akan menelan apa sahaja tuntutan masyarakat bukan Islam, walaupun ianya berasas sekalipun. Da pihak yang mengumpamakan mahkamah syariah bagaikan mahkamah Taliban yang kononnya ekstrim dan tidak berperikemanusiaan.

Demikianlah persepsi masyarakat bukan Islam yang dibantu pula dengan sokongan dan simpati kononnya dari pimpinan dan tokoh-tokoh politik dan NGO tertentu yang beragama Islam.

Lalu semalam apabila Mahkamah Syariah Seremban memutuskan bahawa Nyonya Tahir (yang meninggal Khamis lalu pada usia 89 tahun) seorang wanita Melayu sebagai seorang bukan Islam dan mayatnya dibenarkan dikebumikan mengikut kepercayaan Buddha sebagaimana yang dituntut oleh waris dan ahli keluarganya, mana pergi para pengkritik tadi?

Mahkamah yang sama buat pertama kali telah mendengar afidavit orang bukan Islam iaitu anak-anak simati Chiang Ah Fatt, 40, dan kakaknya Kwang Ying, 43. Serta membenarkan dua orang peuam bukan Islam iaitu Koo Chin Nam yang dibantu oleh Kevin Koo S. K. hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga simati.

Kes ini jelas menafikan segala tohmahan dan gambaran buruk yang cuba diketengahkan oleh mereka yang sememangnya tidak bersedia menerima kewujudan dua sistem pengadilan dalam negara iaitu sivil dan syariah.

Menurut Tuan Hj Muhamad Burok, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak persatuan itu dalam kes ini:

Kes ini merupakan suatu tauladan dan boleh digunakan sebagai formula penyelesai untuk sebarang konflik yang seumpamanya dimasa akan datang. Ini membuktikan bahawa kedua-dua sistem kehakiman yakni Sivil dan Syariah, sesungguhnya boleh wujud dala, suasana yang harmonis tanpa perlu meminda perlembaaan persekutuan.

Keputusan pada hari ini membuktikan semua pihak boleh mendapat perlindungan dari mahkamah (syariah).

Harus diperhatikan bahawa sebagaimana kes Moorthy di Mahkamah Tinggi Wilayah dahulu kes ini juga didengar EX PARTE iaitu permohonan sebelah pihak oleh MAINS (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan) dan JAINS (Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan).

Saya bangkitkan perkara ini oleh kerana dalam kes Moorthy dahulu para pengkritik berhujah bahawa mereka tidak diberi hak kerana kes Moorthy itu kononnya sengaja didengar EX PARTE. Jadi kes Nyonya ini bagaimana?

Memang tidak dinafikan dalam kes Moorthy keputusannya memihak kepada Islam oleh kerana mahkamah berpuas hati yang beliau memang telah memeluk Islam dengan kerelaan hatinya manakala dalam kes Nyonya simati sendiri semasa hayatnya telah mengambil inisiatif untuk meningalkan Islam. Kerana itu kita lihat keputusan yang berbeza namun yang pentingnya di sini institusi mahkamah syariah telah membuktikan ianya sebagai berkemampuan memberikan keadilan khasnya dalam konflik yang melibatkan pengislaman seseorang.


(maaf artikel ini sepatutnya dimuatkan semalam tetapi kerana masalah teknikal ia cuma dapat dimuatkan hari ini)

No comments: