Sunday, January 09, 2005

WAKIL RAKYAT UMNO DIKERAH JADI IMAM SOLAT

MB Perak yang juga Ketua Perhubungan Umno negeri mengumumkan semua 30 ADUN Umno dan 24 ketua-ketua bahagian di negeri tersebut dikehendaki menjadi imam dan mengepalai solat fardhu ketika bersolat di kawasan masing-masing.



Mereka akan dikehendaki menghadiri kursus wajib di kediaman MB sendiri bagi memahirkan mereka melaksanakan tugas ini sebagaimana dilaporkan oleh MINGGUAN MALAYSIA hari ini:

Semua imam (wakil rakyat tadi) juga perlu menghafal doa-doa lazim dan doa harian seperti doa makan, doa menziarahi orang sakit, kematian dan lain-lain.

Secara peribadi saya mengucapkan syabas di atas arahan Tajol Rosli ini.

Kalau Malaysia pun sudah menjadi Negara Islam sebagaimana yang didakwa oleh pimpinan Umno maka memang wajar sangatlah setiap pimpinannya mahir semua aspek yang berkenaan Islam itu sendiri. Menjadi imam dan hafal doa makan sahaja tak cukup, mereka juga perlu memiliki akhlak dan keperibadian sebagai pemimpin Islam.

Kalau ada yang masih mengamalkan kerja-kerja maksiat umpama minum arak, berjudi, kaki perempuan, rasuah dan seumpamanya perlulah segera bertaubat. Jangan terus-terus sahaja nak jadi imam tapi amalan maksiat ini tidak ditinggalkan malah terus diamalkan.

Selain itu akhlak ketika bercampur-gaul dengan masyarakat juga perlu sejajar dengan Islam. Aurat perlu dipelihara, jangan pula bebas bersalam dengan sesiapa sahaja tanpa kira mahram ataupun tidak.

Seterusnya mereka juga perlu mahir ilmu Islam yang berhubung pentadbiran dan pengurusan Negara. Al Quran dan Sunnah perlu dijunjung sebagai sumber perundangan tertinggi. Jangan lagi selepas ini membenarkan amalan yang bertentangan dengan Islam dalam pentadbiran dan pengurusan negeri.

Saya kira kalau ini terus dapat dilaksanakan, insyallah semua pemimpin Umno di Perak akhirnya nanti akan menerima konsep Islam yang sebenar dan menuntut perlaksanaannya secara total khusus dikalangan masyarakat Islam sendiri. Lepas ini kita akan melihat Perak bebas dari maksiat, tiada judi, tiada arak, hukum Islam dilaksana dan dijunjung!

Walaubagaimanapun menurut Tajol usaha ini dilakukan kerana sebagaimana dilaporkan oleh SUNDAY TIMES:

We want them to emulate Prime Minister Abdullah Badawi who is able to assume the role of an imam and lead prayers during functions.

Janganlah lakukan semata-mata kerana mahu tiru Pak Lah sahaja. Lakukanlah kerana memang Islam menuntut yang demikian. Dan kalau laksanakan sekadar mahu jadi macam Pak Lah, iaitu sekadar mengimamkan solat sahaja, tetapi perkara dan aspek lain dalam Islam yang lebih besar ditinggalkan, juga tak betul.

Saya berdoa semoga niat Tajol tidak berhenti setakat itu sahaja.

Sementara itu untuk makluman, semua wakil rakyat PAS memang boleh mengimamkan solat malah menyampaikan khutbah pun insyallah boleh. Anak-anak orang PAS sejak dari PASTI lagi dah insyallah boleh menghafal doa makan dan doa-doa lazim.

No comments: