Selangor Maju bergelora dengan kemungkaran
Pada 31 Ogos tahun 2005 lalu, kira-kira setahun lebih yang lalu dengan teramat ghairahnya Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo telah mengisytiharkan, tanpa mengguna pakai penanda aras dan ukuran bertaraf antarabangsa , bahawa Selangor adalah sebuah Negeri Maju.
Ini bermakna Selangor mencapai status MAJU 15 tahun terlebih awal dari apa yang dirancangkan untuk Negara sendiri melalui Wawasan 2020.
Kini 14 bulan telah berlalu apa khabar Selangor Maju?
Skandal melibatkan PBT seluruh Selangor semakin menjadi-jadi. Pembaziran dalam membelanjakan hasil PBT begitu ketara. Ada pihak PBT yang membawa ahli-ahli majlisnya ke luar Negara kononnya untuk melawat sambil belajar sedangkan kos menghantar seorang pegawai kanan majlis lebih efektif dan menjimatkan.
Ada PBT yang terlibat dengan skandal papan-pana tanda ataupun billboard sehingga Tuanku Sultan pernah dilaporkan murka.
Selangor Maju namun penduduk di Bandaraya Shah Alam dan kawasan disekitarnya sering kebimbangan apabila berlaku hujan lebat yang berterusan. Mangsa di TTDI Jaya, Batu Tiga dan penempatan di sepnajang Sg Damanasara masih tidak dapat melupakan bencana yang menimpa mereka apabila air sungai tersebut melimpah beberapa kali.
Kemudian EXCO Agama kerajaan negeri dilaporkan disaman oleh seorang wanita kerana gagal membayar bahagiannya dalam transaksi melibatkan anugerah tanah kerajaan yang dibolot oleh anggota EXCO berkenaan dengan beberapa orang pegawai dan isteri pejabat tanah yang terbabit.
Sedang EXCO Agama sibuk dengan urusan menokok hartanya, kes murtad sudah menular di negeri Selangor. Lina Joy anak Selangor (arwah bapanya orang Kanchong Darat dan ibunya orang Kg Delek, Kelang) berbangsa Melayu yang asalnya beragama Islam kini telah murtad dan memohon untuk mengugurkan agama Islam dari kad pengenalannya.
Dalam pada itu kadar jenayah di seluruh Malaysia meningkat dengan Selangor merupakan antara penyumbang sahamnya yang terbesar!
Kes-kes ragut dan pecah rumah semakin menjadi-jadi khasnya di Lembah Kelang dengan persatuan penduduk di kebanyakkan kawasan perumahan mula memasang pagar mereka sendiri untuk membuat kawalan kerana kurang yakin dengan jaminan keselamatan yang diberikan.
Awal tahun ini lantaran Selangor Negeri Maju cukai tanah seluruh negeri dinaikkan 10 peratus manakala pihak PBT seluruh Selangor menaikkan kadar cukai pintu masing-masing sehingga ada yang melebihi 100 peratus!
Selangor juga semalam mengumumkan kadar baru tarif airnya. Rakyat Selangor yang mengguna air lebih kena bayar lebih kata MB nya yang bijak bistari itu. Anggaplah kenaikkan ini sebagai pengajaran agar kita berjimat cermat! (Tak kisahlah kalau bekalan air keruh warnanya dan kadang-kadang semput dan tercunggap-cunggap meleleh dari batang paip di tempat-tempat tertentu)
Satu lagi pencapaian besar adalah masalah pelupusan sampah, yang seolah tiada formula penyelesaian sehingga kita pernah mengalami air yang keluar dari batang paip di rumah-rumah di Lembah Kelang berbau najis kerana air dari longgokan sampah tersebut meresap dan melimpah ke punca air iaitu sepanjang sungai-sungai kita. Ladang-ladang babi pula terus beroperasi berhampiran sungai-sungai di negeri ini.
Jangan lupa tentang komplek banglo yang dibina untuk ahli-ahli EXCO kerajaan negeri sebanyak 10 buah yang masing-masing FULLY FURNISHED bernilai 2.1 juta siap dengan kolam renang dan CLOUB HOUSE di Shah Alam. Selangor satu-satunya negeri yang menyediakan kemudahan seumpama ini untuk ahli-ahli EXCOnya.
Selangor Maju juga terbabit dengan skandal banguna MATRADE yangs ampai hari ini senyap begitu sahaja walaupun awalnya didedahkan berlaku penyelewengan yang melibatkan anak syarikat kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh MB sendiri.
Begitu juga dengan kemusnahan hutan di kawasan Bukit Cerakah hasil dari kerja tangan Khir Toyo sehingga PM bergegas naik helicopter untuk meninjau dan kemudiannya mengesahkan kemusanahan yang berlaku. Jangan lupa penggondolan bukit sehingga mengakibatkan tanah runtuh di lereng-lereng bukit di Lembah Kelang angkara kelulusan untuk pembangunan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
Hari ini Selangor Maju terus dimajukan dengan kemungkaran ahli-ahli majlis PBT nya, buat masa ni yang hebat di tala adalah di Majlis Perbandaran Kelang. Ketua bahagian Kelang dan Timbalannya serta Ketua Pemuda Kapar selaku ahli-ahli majlis didapati membina banglo mewah (dalam kes Zakaria ISTANA) tanpa memperolehi kelulusan MPK sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang, satu kesalahan yang jika dilakukan oleh orang awam akan mengakibatkan rumah mereka dirobohkan.
Itu baru di MPK, di PBT lain bagaimana?
Sehubungan dengan PBT juga kita mendapat tahu bahawa ahli-ahli majlis juga selama ini dilantik dikalangan kaum kerabat pimpinan Umno. Alasannya kebetulan mereka masing-masing memegang jawatan kanan dalam parti (dalam Umno memang tradisi jawatan kanan dibolot oleh kaum keluarga, lihatlah di peringkat kebangsaan, bapa mertua Presdien, menantunya Naib Ketua Pemuda dan anak perempuannya pernah menjadi EXCO Puteri)
Sementara itu dalam akhbar hari ini dilaporkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Utara Ikhwan Salim Sujak (seorang senator dan ahli MBPJ) kerana gagal meghadiri mahkamah untuk menjawab tuduhan tidak mengemukakan akaun untung rugi syarikatnya dari tahun 2001 sehingga 2004.
Dalam akhbar UTUSAN hari ini juga di ruangan Forum seorang penulis yang dikenali sebagai Tengku Kamarul Tengku Abdul Aziz mengadu:
Pada zaman MB sekarang sudah lebih 10 kali saya berurusan dengan kakitangan pejabat beliau mengenai urusan majlis amal anak-anak yatim. Apa yang dilihat penggunaan bahawa Jawa sudah seperti tiada kawalan lagi bagaikan menjadi bahasa rasmi kakitangan pejabat MB. Rakyat Selangor bukan orang Jawa sahaja. Harap gunakan bahasa Kebangsaan yang rasmi dalams egala urusan pejabat.
Menurut Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat Selangor, tan Sri Khalid Ibrahim, dalam temuramahnya di WTV8 kegiatan rasuah begitu berleluasa sekali di negeri Selangor khasnya yang melibatkan urusan Pejabat Tanah.
Demikianlah letak duduknya kerajaan Selangor hari ini bawah kepimpinan MB nya Khir Toyo. Soalnya apakah yang harus kita lakukan? Mungkin saya boleh meminta jawapan dalam bentuk MULTIPLE CHOICE khasnya dari anak-anak Selangor sendiri (yang luar Selangor pun bolehlah tumpang-tumpang semangkuk):
A: Terus maju bersama Umno dan BN
B: Asal tak menjejas periuk nasi kami, kami tak kisah
C: Katakan TIDAK kepada Umno dan BN dalam Pilihanraya Umum akan datang
Pilihannya terletak pada rakyat jelata, kita boleh berpeluk tubuh dan menerima seadanya atau kita boleh berani menuntut perubahan melalui saluran yang disediakan oleh undang-undang. Selamat membuat keputusan dan Selamat Hari Raya.
No comments:
Post a Comment