Akibat akrab Aziz terguling
Akibat Mat Taib kita terpelanting
Spekulasi bahawa Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib yang baru sahaja dilantik menjadi Senator akan dilantik pula menjadi Menteri Pusat semakin bertiup kencang.
Apabila pemberita bertanya kepada PM Dollah Badawi semalam beliau secara berjenaka berkata:
Bila tarikhnya?
Namun beliau menegaskan bahawa Mat Taib memang layak dilantik sebagai seorang Senator. Dan khabarnya beliau akan dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, iaitu menggantikan Aziz Shamsuddin (yang sebelum ini adalah Setiausaha Politik kepada bekas PM Tun Dr M)
Saya melihat ada dua akibat yang tercetus dan bakal mencetus hasil dari perkembangan ini kiranya ia benar berlaku.
Pertama Aziz Shamsuddin ditimpa nasib malang akibat dari akrabnya hubungan beliau dengan Tun. Pada perayaan Rumah Terbuka Tun sempena Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini umpamanya Aziz (disamping Rais) adalah antara Menteri yang berani hadir ke rumah bekas bosnya sedangkan yang lain terus membuang sepah!
Kedua rakyat Malaysia bakal menanggung akibat kerana perlantikkan insan bernama Mat Taib ini. Benar Mat Taib dilepaskan oleh Mahkamah Brisbane kerana gagal mengisytiharkan wang tunai yang di bawa bersamanya berjumlah AUS$1.6 juta (RM3.7 juta ketika itu). Beliau juga dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana dakwaan gagal mengisytiharkan asetnya. Tetapi orang-ramai masih tertanya-tanya dari mana Mat Taib memperolehi wang sebanyak itu? Mengapa beliau yang berjawatan MB berjalan-jalan dengan wang tunai sebanyak itu?
Kita bakal meletakkan insan ini dikedudukan anggota kabinet (jika benar berlaku), duduk bersama menteri kabinet dan PM melakar dan memutuskan nasib dan masa depan negara. Diberi kuasa besar sebagai ketua satu kementerian, bayangkan betapa besarnya kuasa beliau ketika itu dan peluang-peluang besar yang terkangkang di depan matanya!
Perlantikkan ini jika benar akan meletakkan Mat Taib sebagai Menteri Kabinet dari Selangor dan pasti bersilatlah Khir Toyo dengan beliau selepas ini diperingkat Perhubungan Negeri. Akan gembira dan tersenyumla kroni-kroni lama Mat Taib nanti termasuklah Zainal Sakom dan Zainal Dahlan. Yang berpatah arang dengan Mat Taib semasa beliau jatuh dahulu: siaplah!
(Namun dalam Umno bukan Mat Taib seorang sahaja yang berjaya mensucikan kembali dirinya, sahabat baik beliau Rahim Thamby Chik (RTC) juga begitu, sekarang duduk tersenyum lebar atas kerusi empok ahli MT Umno.)
Begitulah akibat akrab dengan musuh PM maka Aziz menerima padah dan akibat PM melantik Mat Taib maka kitalah bakal menerima padah pula. Tahnaiah Mat Taib, jasamu tetap Dollah kenang.
No comments:
Post a Comment