Isu Perhimpunan Umno LIVE:
Pak Pandir pun tersengeh
Saya tak pasti darihal orang lain tetapi bagi saya apabila ASTRO menaja siaran langsung sepanjang Perhimpunan Agung Umno ke 57 baru-baru ini saya menganggap ianya sebagai suatu usaha untuk melangsungkan agenda pihak tertentu dala parti tersebut.
Sebelum ini kita ada juga melihat siaran langsung perhimpunan parti Melayu yang terbesar dalam negara itu, tetapi ianya sekadar melibatkan upacara perasmian dan ucapan dasar presidennya serta ucapan penggulungan di penghujung persidangan. Tiba-tiba di bawah tangan Presidennya yang keenam ini, diberikan laluan kepada stesyen TV untuk membuat siaran langsung keseluruhan persidangan.
Pasti ada yang tersirat yang begitu besar sehingga memungkinkan pemberian laluan sedemikian hebat.
Pasti juga pihak ASTRO telah berbelanja jutaan ringgit untuk membuat liputan tersebut, mungkinkah akan menggelungsur lagi Indeks Rasuah tahun hadapan akibat liputan percuma ASTRO ini?
Apa pun bagi saya hasrat sebenar membuka pintu pagar gelanggang Umno itu adalah untuk memberikan peluang satu dunia mendengar para perwakilan Umno seluruh negara menghentam dan mengkritik Tun yang dikira telah bertindak biadap terhadap Dollah Badawi, Presiden parti kini.
Biar semua pihak dengar, biar satu dunia tahu bahawa seluruh kekuatan Umno tidak dapat menerima pandangan Tun dan mahu Tun duduk berdiam diri dan jangan lagi mencampuri urusan kerajaan dan Umno. Presiden dan keliling-kelalangnya akan hanya memerhati, mereka tak perlu bersusah payah, yang akan berkokok, terpekik-terlolong hanyalah para perwakilan.
Demikianlah anggapan saya.
Lalu apabila dilabuhkan tirai, diberi mikrofon, ditalakan kamera, rupa-rupanya anak buah Dollah bukan sekadar menyindir dan menyiku Tun (disamping agenda memuji dan memuja Dollah sendiri) tetapi habis apa sahaja yang lalu di depan mata dikerjakannya. Bila dah tahu yang wajah dan ucapan mereka akan ditontoni seluruh negara maka masing-masing pun mulalah menyingsing lengan dan menghunus keris.
Tak pedulilah, keharmonian negara, perpaduan negara, kebebasan berusara habis semua diterajahnya.
Akhirnya apa yang sepatutnya merupakan gelanggang terbuka untuk menyula dan menyalib Tun (disamping melambung dan membuai Dollah) menjadi medan bagi pendekar-pendekar perkauman ini untuk melepaskan geram masing-masing tanpa menyedari bahawa kuasa sebenarnya terletak pada pucuk pimpinan mereka, buruk dan cela negara sebenarnya angkara pucuk pimpinan yang diatas yang mereka sendiri pilih dan nobatkan.
Dan kini apabila persidangan sudah berlalu tiba-tiba mereka menyesal kerana menyiarkannya secara lansgung. Agenda memomokkan Tun tidak berapa menjadi, akhirnya yang kelihatan adalah betapa ekstrim dan ultranya suara-suara para perwakilan Umno yang sesungguhnya mencerminkan suara Umno itu sendiri.
Dan untuk mengawal nasi yang sudah menjadi bubur caca itu, maka Timbalan Presdien Umno berkata:
Kabinet berpendapat lebih banyak kesan negatif daripada positif membuka perhimpunan Umno secara langsung
(Hairan kenapa pula Samy Velu, Ong Ka Ting dan Lim Kheng Yaik yang diminta pendapat dalam urusan rumah tangga Umno?!)
Dan menurut laporan para perwakilan yang telah TERLAJAK dalam berbahas tersebut difahamkan akan dirujuk kepada pihak berkenaan untuk diambil tindakan. Adakah ini bermakna mereka itu akan didakwa atas tuduhan menghasut sebagaiaman laporan polis yang dibuat oleh pihak DAP baru-baru ini?
Haru-biru nampaknya nasib orang-orang Umno, dijemput jadi perwakilan disangkakan bebas bercakap, rupanya bila panas dibakar, kini yang membakar pula akan dibakar. Dalam hal ini agaknya Pak Pandir pun tersengeh rupanya ada yang lebih Pandir dari aku ….
No comments:
Post a Comment