Tuesday, November 14, 2006

Ayuh berpegang kepada aqidah yang betul: Najib

Semalam Dato Ser Najib Tun Razak telah merasmikan secara serentak Perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno di PWTC.

Dalam ucapannya itu beliau telah menggariskan lima perkara yang perlu digerakkan oleh ketiga-tiga sayap Umno ini bagi memacu minda Melayu.

Perkara keempat adalah memacu minda Melayu dengan mempertahankan aqidah. Najib menyebut:

Hanya dengan pendidikan yang sempurna dan pemahaman Islam yang jelas akan melahirkan masyarakat yang berpaksikan akidah yang betul. Dengan berpegang kepada ajaran agama dan akidah kukuh yang dipertahankan maka umat Islam di negara ini dapat menuju al falah seterusnya menjadikan kita sebagai negara Islam contoh yang dihormati oleh kawan dan lawan.



Saya sungguh kagum dengan CONCERN dan gesaan Najib itu cuma saya tidak pasti akan sampai kemanakah ianya nanti? Gesaan Najib itu sungguh besar dan berat, apakah sanggup kita semua kembali dan berpegang kepada ajaran agama dan aqidah yang kukuh? Berupayakah kita menuju ke al falah itu?

Bagi saya berpegang kepada ajaran agama dan aqidah yang kukuh bermaksud menerima secara TOTAL segala tuntutan dan kehendak Islam sebagaimana digariskan oleh Allah swt melalui al Quran dan disampaikan oleh Rasul Nya saw. Berpegang kepada ajaran agama bermakna melepaskan tangan dari sebarang ajaran yang lain, berpegang kepada aqidah yang kukuh bermakna memelihara diri dari kerja-kerja syirik dan sebarang aktiviti yang menjurus kea rah itu.

Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang berpaksikan aqidah apabila dalam waktu yang sama kita juga melakukan kerja-kerja yang mengundang kemurkaan Allah swt.

Maaf tetapi kita di Malaysia yang diterajui Umno masih belum berani untuk kembali ke perkara sekecil-kecil (kalau itu dilihat kecil) memlihara aurat, contohnya. Isu aurat ini dimaktubkan oleh Allah swt di dalam al Quran secara jelas dan diperkukuhkan pula oleh hadis-hadis Rasulullah saw, akan tetapi ianya cuma menjadi amalan bagi mereka yang prihatin sedangkan pihak yang berkuasa termasuklah parti yang memerintah seolah memandang ianya sebagai opsyen, ikut pun boleh tak ikut pun mengapa.

Tahun hadapan contohnya kita akan menyaksikan sekali lagi DYMM Permaisuri Agung kita akan mengenakan pakaian Islam yang berpaksikan aqidah (setelah Permaisuri Aishah dahulu), mengapa isteri-isteri Menteri (kecuali yang dah patuh), Timbalan Menteri, Menteri-menteri wanita, YB-YB tidak boleh ikut sama? Mengapa isteri TPM tidak berpakaian mengikut paksi aqidah yang betul, mengapa isteri KSN juga tidak ikut?

Dan banyak lagi perkara-perkara besar yang sebenarnya menunjukkan bahawa kita semakin lalai dan longgar dalam berpegang kepada paksi aqidah yang betul malahan kitalah yang menjadi pencetus kea rah wujudnya suasana ini.

Kita membuka luas pintu maksiat, tetapi kita mengadu apabila gejala sosial semakin meruncing dan menjadi masalah besar dikalangan bangsa dan penganut kita.Kita mengizinkan industri arak dan judi malahan kita seolah hilang kawalan apabila anak-anak kita bekerja dan mencari rezeki di tempat-tempat ini. Kita menyepi diri apabila ada yang menjadi pengarah dan pemegang saham syarikat-syarikat ini.

Tiba-tiba kita mahu berpegang kepada ajaran agama dan aqidah yang kukuh, berupayakah ianya menjadi?

Saya bukan bermaksud mahu merendahkan keinginan dan kesungguhan sahabat-sahabat kita dalam Umno itu (jika benar-benar mereka bersungguh), tapi bagi saya jika benar mereka serius, kuasa sebenarnya berada ditangan mereka, sekelip mata masyarakat dan negara boleh menjadi negara Islam contoh sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt jika mereka benar-benar inginkannya. Namun dari pengalaman kita, maaf tetapi saya kira gesaan Najib ini sekadar retorik politik, hangat, panas ketika disampaikan tetapi akan sejuk dan hilang begitu sahaja apabila selesai perhimpunan di PWTC itu nanti.

No comments: