Friday, November 03, 2006

Bangkitlah wahai pimpinan yang berjiwa besar

Dalam banyak-banyak berita yang sugul dan membosankan, angkara kemungkaran politik pimpinan kerajaan serta kehimpitan bebanan hidup yang semakin memuncak, rupa-rupanya ada juga berita yang memberi harapan kearah menyelamatkan rakyat dari terus terbelenggu dalam ketindak-tentuan ini.



Dato Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat PKR dilaporkan mempelawa bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir untuk bertindak sebagai penasihat kepada pihak pembangkang.

Anwar berkata beliau simpati dengan keadaan Tun yang ditempelak dan dihina oleh pimpinan Umno kini sedangkan satu ketika dahulu puak-puak inilah juga yang menyanjung beliau.

Kata Anwar:

He had led the country for 22 years and contributed immensely to the country and now it looks like Umno leaders are forgetting his contributions.
(Beliau telah menerajui Negara selama 22 tahun dan banyak memerikan sumbangan tetapi kini seolah pimpinan Umno lupa akan segala-galanya itu)

I am not supporting him but he should be accorded respect as a former premier.
(Saya bukannya menyokong beliau tetapi merasakan yang beliau sewajarnya dohormati sebagai bekas PM)

Sesungguhnya dengan kenyataannya itu, Anwar tersenarai dikalangan pimpinan yang berjiwa besar (pimpinan seumpama ini semakin pupus di Malaysia) apabila beliau menyatakan:

I might have been mistreated in the past and could have had differences with him, but this will not be a hindrance.
(Saya mungkin telah dianiayai dahulu dan mungkin juga pernah berselisih pandangan dengan beliau, tetapi segala-galanya itu bukanlah merupakan satu halangan)

Sebelum ini kita pernah melihat Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz (MB Kelantan) duduk dalam majlis ceramah Tun di Kota Bharu (ketika itu anaknya Nik Adli masih dalam Kem Kamunting, ditahan semasa zaman Tun lagi). Kata Tok Guru, Tun adalah seorang yang cerdik, lalu beliau berminat untuk hadir dan mendengar apa yang ingin Tun perkatakan. Malah pada hari tersebut seluruh EXCO kerajaan negeri Kelantan hadir termasuklah Naib Presiden PAS Dato Husam Musa semata-mata kerana memberi penghormatan kepada Tun.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Hj Mahfuz Omar pun pernah sebelum ini mengeluarkan kenyataan menyokong pandangan Tun sedangkan Mahfuz pernah ditahan di bawah ISA semasa zaman Tun dan malah dipenjarakan oleh Tun kerana mengetuai sebuah demonstrasi anti Yahudi ketika Tun PM dahulu. Kata Mahfuz apa yang Tun perkatakan hari ini serupa dengan apa yang diperjuangkannya.

Saya rasa kemelut yang dihadapi rakyat ketika ini tidak akan selesai melainkan rakyat berani bangun beramai-ramai membuat perubahan melalui kaedah demokrasi. Dan rakyat pula walaupun tertekan dan terhimpit belum bersedia bangun kecuali mereka dapat melihat satu barisan pimpinan alternatif yang kukuh dan meyakinkan, yang mampu mengambil-alih teraju Negara dari Umno dan BN.

Kerana itu tawaran Anwar ini perlu dilihat sebagai sesuatu yang memberikan harapan ke arah itu. Ini bukan masanya untuk kita bertelagah, dan mengungkit-ungkit perkara yang telah berlalu (ianya tidak dipadamkan tetapi ditolak ketepi dahulu demi menangani isu yang di depan mata yang lebih kritikal yang melibatkan nasib dan masa depan kita semua).

Inilah masanya untuk bangkit berjuang demi agama, bangsa dan Negara kiranya kita semua ikhlas dan jujur mahu menyelamatkannya.

Saya yakin kalau semua pihak termasuklah Tun, Anwar, PAS, PKR, DAP (termasuklah penyokong-penyokong Tun yang masih dalam Umno, kumpulan Tengku Razaleigh, kumpulan Ibrahim Ali, kumpulan-kumpulan lain yang tidak berpuas hati dalam MCA, Gerakan, MIC) dapat berdiri di atas satu pentas, mengenepikan perbezaan masing-masing dan meletakkan kepentingan bersama sebagai agenda utama, insyallah sebuah Malaysia Baru dapat dibentuk di atas runtuhan dan kekalutan hasil tangan pimpinan Umno dan BN hari ini.

Benar ianya bukan satu tugas yang mudah, kerana masing-masing ada agenda perjuangan tersendiri. Namun tidak ada yang mustahil, pokoknya kita perlu berusaha dan mengambil inisatif.

Ayuh bersama kita kembalikan maruah dan martabat Negara serta kesejahteraan dan kerukunan rakyat.

No comments: