Monday, November 13, 2006

Jangan jadikan bangsa Melayu bahan gelak ketawa

Suka tak suka kita iktiraf bahawa Umno merupakan parti Melayu yang terbesar dalam negara. Hari ini parti tersebut akan memulakan Perhimpunan Agungnya dengan majlis taklimat Presiden pada jam 3 petang ini.

Sebagai parti Melayu yang terbesar dalam negara, dan memandangkan orang Melayu adalah kaum yang terbesar dalam negara maka sudah pasti apa sahaja yang berlaku dalam perhimpunan ini akan menjadi bualan dan pemerhatian ramai.



Dalam erti kata lain perhimpunan parti ini bagaikan satu kongres atau satu forum yang sepatutnya membicarakan nasib, haluan dan masa depan bangsa itu walaubagaimanapun kerap-kali ianya mengecewakan dan tidak menjadi sebagaimana yang diharapkan.

Lihat sahaja dalam UTUSAN hari ini, belum pun perhimpunan bermula sudah terbit satu cadangan yang bukannya mengharum dan membanggakan nama bangsa Melayu tetapi lebih meletakkan bangsa ini sebagai satu bangsa yang murahan dan menjadi bahan gelak ketawa orang lain.

Biro Ekonomi Umno bahagian Batu Pahat dilaporkan mendesak agar mereka yang dilantik mengepalai syarikat GLC atau syarikat berkaitan kerajaan disyaratkan menganggotai Umno kononnya untuk memastikan kemajuan bangsa Melayu dalam sektor korporat.

Apakah bernas atau berasas cadangan ini?

Tidak cukupkah dengan dasar dan program kerajaan yang menjadi agenda kepada GLC untuk diturut dan dipatuhi oleh kepimpinan badan-badan korporat itu? Mengapa perlu CEO syarikat-syarikat ini menyertai Umno? Tidakkah itu nanti akan mendedahkan mereka kepada tekanan dan tuntutan parti yang sememangnya ketelusannya berterusan dipertikaikan.

Lihatlah sahaja beberapa GLC di negeri-negeri yang dikuasai oleh BN. Lazimnya Pengerusi syarikat-syarikat ini disandang oleh samada MB ataupun anggota EXCO kerajaan negeri. Kadangkala CEO nya juga dipegang oleh pimpinan parti. Bagimanakah prestasinya?

Di Selangor umpamanya kebanyakkan syarikat-syarikat ini bermasalah dan terpalit dengan pelbagai skandal.

Biarlah para profesyional Melayu itu bekerja dan berkhidmat untuk kerajaan dengan bebas tanpa perlu membabitkan diri mereka dengan Umno. Jika cadangan ini diterima seolah Umno membayangkan betapa longgranya ia dalam menguasai jentera kerajaan dan GLC sehingga perlu memaksa orang-orang ini menyertai parti mereka.

Carilah idea dan cadangan lain bagaimana mahu memastikan kedudukan bangsa Melayu dalam sektor korporat boleh dimajukan, bukankah Umno itu kerajaan, bukankah kuasa ada dalam tangan Umno.

Takkanlah Idris Jala, dari suku Kelabit di Sarawak itu pun perlu masuk Umno, Umno rasanya tak ada lagi di Sarawak?! Cukuplah Umno sudah mencengkam dan menguasai semua jentera kerajaan, berilah kebebasan kepada kumpulan ini untuk menyumbang tenaga dan fikiran tanpa diganggu dengan Sang Saka Bangsa terlilit dileher dan tengkok masing-masing.

No comments: