Kes Zakaria: Mengapa kita harus bersedih
Saya sedih melihat sidang akhbar ADUN Pelabuhan Kelang, Zakaria Md Deros yang disiarkan TV semalam dan mendapat tempat utama dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini.
Sedih bukan kerana saya bersimpati dengan ADUN yang tercalar buruk imejnya lantaran skandal ISTANA beliau di Pandamaran itu serta akhlaknya yang buruk yang didedahkan oleh pihak istana. Tetapi saya sedih kerana satu negara termasuk mungkin sebahagian dunia dapat melihat inilah rupanya seorang pemimpin Melayu yang beragama Islam.
Beliau terang-terangan telah melanggar undang-undang dalam keadaan beliau seorang penggubal undang-undang (selaku ADUN) dan seorang ahli majlis tempatan. Beliau mampu berbelanja jutaan ringgit untuk membina sebuah mahligai dalam keadaan hanyalah sebagai seorang bekas buruh KTM (yang diakuinya sendiri) serta bekas Senator dan kini ADUN yang jumlah pendapatnnya termasuk pencen tidak pun mencecah angka RM10,000 sebulan.
Beliau dititah mengadap Tuanku Sultan yang ternyata murka dengan sikap dan gelagatnya, malah disuruh bertaubat oleh Tuanku.
Tetapi apabila tiba gilirannya bercakap beliau menyatakan kononnya tidak ada sekecil kuman pun niatnya untuk menunjuk-nunjuk dan membangga diri untuk membina rumah ala istana. Kononnya rumah itu dibina untuk menampung keluarganya yang besar dan kononnya juga sebagai pusat komuniti untuk kegunaan orang-ramai.
Zakaria boleh menangis di hadapan kamera saya percaya bertujuan untuk menunjukkan beliau ikhlas dan jujur tidak sebagaimana anggapan orang lain. Akhbar THE STAR menyiarkan pula dalam sebak dia berpelukan dengan anak perempuannya.
Maaf bagi saya ini satu drama, lakonan murahan yang tidak boleh menebus kesalahan dan kemungkaran yang telah beliau kerjakan.
Mungkin sebahagian besar orang Melayu tidak mahu associate atau melibatkan diri mereka dengan Zakaria setelah terbongkar semua ini (kecuali juak-juaknya), tetapi hakikatnya Zakaria adalah seorang Melayu yang telah dinobatkan sebagai pemimpin. Dan suka ataupun tidak lakonannnya yang memual dan meloyakan itu turut membawa aib kepada bangsa dan agama kita.
Orang akan bertanya inikah kualiti dan akhlak pemimpin Melayu yang beragama Islam (TV3 pula memulakan klipnya dengan menunjukkan Zakaria sedang berwuduk di depan sinki dapurnya)? Batu sudah puas dilempar namun tangan kotor nak disembunyikan.
Kalaulah kita ada sekelumit maruah, maka pasti kita akan sedih bercampur marah dengan sikap Zakaria ini, sebagaimana murkanya Tuanku beberapa hari yang lalu. Lumpur di tubuhnya menjejeh sehingga habis terpalit satu kandang lalu hina dan selekeh kita semua dibuatnya. Cukuplah Zakaria sebagai contoh pemimpin Melayu yang mungkar yang perlu kita ambil iktibar yang perlu kita pastikan tiada lagi yang akan naik dan berkuasa seumpamanya.
Hari ini dimuka depan akhbar THE STAR disiarkan gambar tiga biji mahligai mewah dengan wajah pemilik-pemiliknya sekali. Zakaria, Timbalan Ketua Umno bahagian Kelang Mazlynoor dan menantu kepada Speaker DUN Selangor (Onn Ismail) yang juga seorang ahli majlis MPK Faizal Abdullah. Ketiga-tiga mereka gagal mengemukakan pelan untuk kelulusan MPK sebelum membina mahligai masing-masing.
Tidak malukah mereka?
Kalau anda mengunjungi laman web Umno Selangor, anda akan terpandang ruang petikan ucapan pemimpin nombor satu mereka, Khir Toyo. Katanya:
Saya hendak menyerahkan kalau boleh UMNO yang lebih baik lagi kepada generasi akan datang. UMNO yang mempunyai rekod yang baik dan kemudian ditambahbaikkan lagi dengan pencapaian-pencapaian tertentu. Saya hendak ahli-ahli UMNO berakhlak mulia mengamalkan agama dengan baik.
Berdasarkan perkembangan yang ada, gelap pekatlah masadepan generasi akan datang itu!
No comments:
Post a Comment