Dato Selangor mula dikawal
Ada orang mengatakan yang jika kita melontar sebiji batu ke tengah khalayak ramai, pasti batu itu akan terkena kepala atau tubuh seorang yang bergelar DATO, nak menunjukkan betapa ramainya yang memiliki gelaran DATO di Malaysia pada hari ini.
Ada pula yang mengatakan pada asalnya gelaran Dato oleh Raja-raja Melayu ini eksklusif untuk pembesar Melayu dan mereka yang berjasa kepada tanahair dikalangan anak-anak bangsa. Tak pernah Raja-raja Melayu mengurniakan gelaran istana ini kepada yang bukan Melayu, kalau kita ingat kerana itulah diwujudkan gelaran Kapitan Cina dan Kapitan Keling (maaf tanpa maksud menghina). Tetapi kini saya kira amalan ini sudah ditiadakan.
Berbalik kepada isu asal, saya bangkitkan perkara ini kerana dalam akhbar THE STAR hari ini dilaporkan bahawa Sultan Selangor telah mengeluarkan arahan untuk mengawal penganugerahan darjat ini di negeri Baginda.
Antaranya bahawa berkuatkuasa serta merta cuma mereka yang berumur 45 tahun ke atas sahaja yang akan dipertimbangkan untuk gelaran ini (maknanya tiada lagi Dato Selangor untuk Ketua-ketua Pemuda Umno!) Manakala utnuk ahli-ahli politik cuma ahli Parlimen, ADUN dan anggota EXCO sahaja yang akan dipertimbangkan (Ketua-ketua bahagian atau AJK bahagian tiada lagi akan masuk senarai melainkan mereka ahli yang berhormat).
Demikian juga bagi pegawai tentera dan polis, cuma para pegawai kanan yang berada pada pangkat tertentu sahaja yang akan dipertimbangkan.
Dan Tuanku juga telah memutuskan bahawa di masa hadapan Selangor cuma akan mengurniakan 40 gelaran seumpama ini sahaja setahun. Menurut rekod bilangan anugerah Dato di Selangor semakin berkurangan setiap tahun sejak Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi Sultan Selangor. Pada tahun 2003 cuma 185 yang dikurniakan dan pada tahun 2004 hanya 127 dan ia menurun lagi ke 110 sahaja tahun lepas. Dengan kuota baru ini bermakna anugerah itu akan tersu turun lagi.
Sepatutnya begitulah, barulah pemegang anugerah itu dihormati dan disegani manakala yang menerimanya pula akan lebih cermat memeliharanya. Sebelum ini kita pernah mendengar orang-orang tertentu telah mencemarkan gelaran ini apabila terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan dan jenayah-jenayah lain.
Syabas diucapkan kepada Istana Selangor dan mudah-mudahan langkah baik ini akan dituruti oleh negeri-negeri lain, tambahan negeri yang tidak bersultan, sepatutnya bilangan anugerah ini di negeri-negeri tersebut lebih kecil lagi.
No comments:
Post a Comment