PROTON bakal dijajah kuasa asing
Salah satu isu yang dibangkitkan oleh bekas PM Tun Dr Mahathir dalam siri kritikkan beliau terhadap PM sekarang adalah isu Perusahaan Otomobil Nasional atau PROTON. Menurut Tun PROTON sudah tidak mendapat perhatian kerajaan lagi sedangkan ianya merupakan industri kebangaan negara yang melahirkan ramai pakar dan profesyional kejuruteraan otomobil Melayu.
Tun menyatakan industri kereta motor negara disabotaj oleh pihak yang membenarkan kebanjiran AP sehingga kereta-kereta impot menjadi saingan terus terhadap Proton. Tun turut mengeluh bahawa kerajaan memecat CEO Proton Tengku Mahaleel dalam keadaan beliau telah mempertingkatkan prestasi Proton dalam semua segi termasuk memantapkan kedudukan kewangannya.
Hari ini ternyata Proton yang telah membawa kebangaan kepada rakyat dan negara itu, yang telah melontar nama Malaysia ke persada antarabangsa, kelihatan akan terlepas dari gengaman rakyat Malaysia apabila dilaporkan yang Volkswagon AG dari Jerman kemungkinan akan dibenarkan menguasai Proton dengan mengambil-alih penguasaan 51 peratus atas Proton.
PM Dollah Badawi semalam menyatakan yang kerajaan belum membuat keputusan tetapi sedang menimbangkan opsyen tersebut sedangkan FINANCIALDAILY melaporkan semalam bahawa kerajaan telah pun meluluskan permohonan tersebut! Menurut FD lagi keputusan untuk membawa masuk rakan kongsi asing itu telah pun dibuat pertengahan Oktober lalu apabila PM mempengerusikan mesyuarat industri otomotif negara.
Kalaulah benar maka sebuah lagi kepentingan nasional akan terlepas ketangan asing. Memang kemasukan rakan kongsi baru seumpama Volkswagon ini kemungkinan akan membawa perubahan positif kepada Proton memandangkan pengalaman besar syarikat Jerman itu dalam industri ini, tetapi mengapa beri sampai 51%?
Apakah jaminan bahawa VW akan membela kepentingan negara dengan tidak gulung tikar dan cabut lari jika berlaku krisis kerana mereka syarikat multinasional yang tidak ada masa untuk memikirkan kepentingan nasional tetapi kepentingan keuntungan mereka semata-mata.
Mungkin sekarang semakin jelas kepada kita apa yang cuba diutarakan oleh Tun itu, ianya menjadi realiti hari ini. Projek Jambatan Bengkok dibatalkan, AP King terus bermaharajalela dan kini Proton pula dijual kepada orang asing. Mungkinkah isu ini akan dibangkitkan oleh perwakilan Umno dalam Perhimpunan Umno minggu hadapan atas nama kepentingan nasional atau mungkinkah tidak kerana ketika itu para perwakilan akan lebih ghairah untuk memuji dan memuja Dollah?
Sementara itu kita ucapkan selamat sembuh kepada Tun dan mudah-mudahan beliau akan segera pulih dan terus mendedahkan isu rakyat demi kepentingan negara.
No comments:
Post a Comment