Monday, November 13, 2006

Pembangunan insan lebih baik zaman Dollah?

Minggu ini adalah minggu Umno. Mulai hari ini sehingga hari Jumaat nanti satu negara akan berbincang dan bercerita berkenaan Umno kerana minggu ini Umno akan melangsungkan Perhimpunan Agungnya yang ke 57.

Saya tertarik dengan laporan MINGGUAN MALAYSIA semalam yang membuat liputan berkenaan pandangan Naib Presiden Umno Muhyiddin Yassin.



Kata beliau cara kepimpinan Abdullah (Presiden Umno) berbeza dengan kepimpinan sebelumnya (Tun Dr M) yang pada masa itu lebih tertumpu kepada pembangunan fizikal.
Tambah beliau lagi kerajaan Abdullah memberi fokus kepada pembangunan insan dan rohaniah, bersikap telus, meningkatkan integriti dan lebih terbuka serta liberal kepada orang-ramai, termasuk media untuk menyuarakan pandangan mereka.

Dalam erti kata lain apa yang Muhyiddin cuba kemukakan bahawa zaman Tun tumpuan negara kepada pembangunan fizikal, projek pembangunan dan seumpamanya. Tetapi dizaman Abdullah tumpuannya lain. Tumpuannya pembangunan insan dan rohaniah.

Bermakna kalau dahulu akhlak dan sakhsiyah insan tidak baik sekarang ia baik, begitulah agakanya.

Saya tonjolkan pandangan Muhyiddin ini kerana saya gagal mengesan sebarang kejayaan Abdullah dibidang yang cuba Muhyiddin perbesarkan ini. Mungkin mata saya ini rabun atau barangkali juga buta tapi maaf saya memang tidak nampak.

Yang saya nampak dizaman Abdullah ini sesungguhnya yang ketara adalah sebaliknya. Akhlak dan sakhsiyah semakin buruk, indeks persepsi rasuah sahaja menurun dari 39 ke 44 bermakna keyakinan rakyat mula hilang dan merosot.

Yang saya nampak ada ahli Parlimen yang dipimpin Abdullah boleh minta pihak berkuasa TUTUP SEBELAH MATA dalam kes yang beliau ada kepentingan. Yang saya nampak ada ADUN dari parti Abdullah yang juga ahli majlis PBT membina mahligai luar biasa tanpa memperolehi kelulusan pihak majlis. ADUN ini Tuanku Sultan sendiri dapati akhlaknya tidak baik dan disuruh bertaubat.

Yang saya nampak ada Senator yang syrikatnya terlibat dengan skandal AP yang diklon.

Yang saya nampak politik wang dalam parti pimpinan Abdullah semakin menjadi-jadi sehingga seorang Naib Presiden yang berjaya dipilih akhirnya telah dilucutkan jawatannya kerana dikatakan menang melalui rasuah politik.

Yang saya nampak terdapat usaha menggagalkan bekas Presiden Umno menjadi perwakilan bahagiannya dan menurut dakwaan bekas Presiden itu wang digunakan dalam suaha jahat itu.

Yang saya nampak anak-menantu Abdullah semakin kaya lebih mewah dari masa Abdullah belum menjadi PM.

Itulah yang saya nampak, saya mungkin terlepas pandang terhadap yang lain yang baik-baik, tetapi saya yakin orang lain pun itulah juga yang dinampaknya melainkan Muhyuddin menggunakan kanta ajaib sehingga mampu melihat apa yang orang lain tak mampu.

Selamat bersidang kawan-kawan yang masih dalam Umno lagi.

No comments: