Friday, December 31, 2004

SELAMAT TINGGAL 2004

Kau tutup tirai mu dengan nestapa dan duka
nyawa terbang dan harta hilang
ombak menggunung yang tak pernah ku kenal
kau asakkan ke bumi kami
mengapa
isyarat apakah yang mahu kau gambarkan
sementara yang susah terus meratap
yang berkuasa macam hilang arah
insaf kah mereka

Kau turut membawa padah
meruntuhkan kerajaan negeri Islam
yang baru mahu belajar merangkak
kau gantikan dengan buaya dan biawak
yang masuk melalui pintu belakang
menjerat mangsa berumpankan wang
berebut bangkai yang tak seberapa

Setelah kau duga dengan kekalahan besar
kau duga lagi dengan menyerang
satu-satu Tok Guru kami
berkat doa seluruh kampung
Allah menangguhkan hasrat mu itu
bendera hijau berkibar terus
dikubu terakhir yang masih digagahi

Kau pertontokan kepada ramai
perebutan kuasa sekandang penyanggak
yang bersepak tendang untuk merampas
tampuk kuasa yang bertatah emas
politik wang bukan rasuah
sekadar kesilapan kecil
yang maksum dari disentuh
BPR yang telah pun runtuh

Islam Hadhari kau perkenalkan
agama baru ciptaan tersohor
melentur akidah menurut cuaca
kalau panas dipayungi
kalau sejuk diselimuti
kalau susah digugurkan
rakyat yang mahu rakyat yang pilih
maka dijajalah semahu mungkin
tok imam tok lebai menjadi sasau

Malam ini tamatlah engkau
esok giliran yang lain pula
tidurlah engkau dalam lipatan sejarah
2005 sudah mahu menerjah
dibuka gelanggang dengan megah
rakyat jelata termengah-mengah
umur bertambah wang berkurang
tepat jam 12 tol naik belang
selamat jalan 2004
masa depan rakyat kan terus merempat

MANGSA TSUNAMI KUALA MUDA
DIPERLAKU MACAM HAIWAN SARKAS

Tidak ada siapa pun yang tidak sedih apabila melihat keadaan masyarakat di Kuala Muda yang dilanda bencana tsunami. Habis harta benda yang musnah termasuklah nyawa yang tersayang.

Dalam keadaan berduka masih ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh, memaparkan mangsa-mangsa yang malang ini bagai haiwan sarkas untuk dipertontonkan oleh orang ramai.

Apa yang saya maksudkan adalah siaran Berita TV3 jam 8 malam tadi. Dalam keghairahan TV3 mahu mencari publisiti maka diperturunkanlah pimpinannya untuk mengagih-agihkan bantuan yang tak seberapa kepada mangsa-mangsa ini dengan disiar secara langsung.

Yang keterlaluannya apabila wakil TV3 sengaja menyusun mangsa yang dalam berdukacita itu untuk ditemuduga secara langsung. Mereka yang telah kehilangan segala-galanya termasuklah seorang wanita yang kehilangan ibunya ditanya tentang perasaannya menghadapi tahun baru 2005. Masuk akalkah soalan seumpama ini?

Kalau sesiapa yang berkesempatan melihat siaran berita tersebut akan dapat melihat betapa daif dan tidak tersusunnya penghidupan mangsa-mangsa berkenaan di tempat-tempat perlindungan sementara. Menurut seorang sahabat ada yang sekadar tidur baring di kaki-kaki lima. Bayangkan setelah ditimpa malang kini mereka terus sengsara hidup dalam keadaan yang sangat tidak selesa, panas dan tidak menentu.

Rata-rata mangsa di kawasan ini adalah orang-orang Melayu Islam. Tidakkah boleh kita ikhtiarkan sesuatu yang boleh menenangkan sedikit hidup mereka yang tidak bernasib baik ini. Jelas kerajaan tidak bersedia bagi menghadapi bencana seumpama ini.

Kedah mendabik dada nak jadi negeri maju pada tahun 2010 tetapi lihatlah anak-anak negeri yang dalam kesusahan, layanan yang diberi sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita hebuh nak membantu negeri lain, tapi anak bangsa yang dilanda kesusahan yang sama nampak macam tidak terbela.

Malah dalam akhbar THE STAR hari ini TPM Najib Tun Razak berkata kerajaan sekadar akan beri bantuan ehsan sebagaimana yang diumumkan oleh PM dan bukannya pampasan kerana tiada kemampuan! Di merata-rata kita melolong-lolong kata Negara ini Negara maju, ekonomi kukuh, pertumbuhan positif tetapi anak-anak bangsa yang beberapa kerat dilanda musibah takkanlah kita tak mampu nak bantu sepenuhnya.

Sebagai kerajaan yang gemilang, cemerlang, terbilang kita sepatutnya berikhtiar agar penghidupan anak-anak bangsa yang terjejas dapat dikemabalikan sebaik mungkin kepada keadaan asal mereka. Rumah diperbaiki, bot diganti, kenderaan yang rosak dilupuskan hutangnya dan diberi ganti. Memang nampak berat namun bencana ini berlaku bukan atas kehendak mereka dan siapa lagi yang seharusnya membantu mereka jika tidak pihak yang berkuasa.

Sakit hati melihat rakyat sebangsa dan seagama diperlakukan begitu sahaja. VIP turun dikumpulkan beramai-ramai untuk bergambar keluar akhbar TV, namun masa depan mereka sekadar kita serahkan pada takdir sahaja. Hina sungguh bangsa ku di tanah airnya sendiri!



TAHNIAH SYED SHAHIR: PRESIDEN MTUC YANG BARU

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada sahabat saya SDR SYED SHAHIR SYED MOHAMUD Setiausaha Eksekutif NUTEAIW kerana dipilih oleh perwakilan Kongres MTUC sebagai Presidennya yang baru.

Syed berjaya mengalahkan Zainal Rampak yang memegang jawatan tersebut selama 20 tahun dengan kelebihan 47 undi setelah bertanding sebanyak 5 kali.

Beliau memang merupakan pengerak kesatuan sekerja yang aktif dan serius dalam menjalankan tugas. Pada pilihanraya umum yang lalu Syed bertanding atas tiket Keadilan dan tewas di Parlimen Kelana Jaya.

Saya mengenali beliau semasa tempuh itu dan saya dapati beliau sebagai seorang yang ikhlas dan jujur dalam perjuangan. Mudah-mudahan dengan kemenangan ini Syed dapat memberi khidmat yang lebih cemerlang lagi kepada MTUC dan mengembalikan MTUC sebagai kesatuan yang benar-benar memperjuangkan nasib dan kebajikan para pekerja.

Seorang sahabat lain minta ditambah, jangan duduk selesa, makan elaun besar, dilantik jadi Senator kemudian diam membisu mengangguk bagai tekukur, nasib pekerja hanyut tak berketentuan. Saya yakin Syed tidak begitu insyallah.


Thursday, December 30, 2004

SINGAPURA CADANG BUKA KASINO
MALAYSIA BILA CADANG NAK TUTUP?

Selain berita bencana Tsunami yang kini telah meragut lebih 80,000 nyawa, tidak banyak berita lain yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar. Satu yang menarik perhatian saya adalah berita:

CASINO PROPOSAL SOUGHT

dalam THE STAR. Menurut laporannya kerajaan Singapura sedang menimbangkan beberapa cadangan untuk membuka operasi perjudian berbentuk kasino, yang jika dibenarkan akan merupakan kasino yang pertama di Negara pulau tersebut.

Namun keputusan belum dibuat. Malahan bantahan terhadap cadangan ini yang diterima dari warga Singapura begitu kuat sekali. Pihak pelbagai agama dan badan serta perkumpulan sivik membantah atas alasan implikasi buruk yang bakal dibawa terhadap rakyatnya apabila perjudian sedemikian besar dibenarkan. Dalam hal ini kerajaan Singapura dikatakan sedang menimbangkan kiranya kasino tersebut dibuka pelbagai bentuk larangan terhadap warga Singapura akan dikenakan khususnya bagi mengelakkan rakyatnya sendiri dari menjadi ketagih judi.

Malaysia telah memiliki kasinonya sendiri sejak dari zaman Tun Razak lagi. Walaupun orang Islam warga Malaysia dilarang berjudi namun bangsa-bangsa lain bebas keluar-masuk di kasino puncak gunung yang dibuka 24 jam itu. Menurut maklumat orang Islam tempatan yang mahu masuk boleh berpakat dengan kakitangan kasino tersebut dan sebaik saja ada pihak Jabatan Agama yang datang maka isyarat akan diberikan agar mereka lekas-lekas keluar.

Walaupun terdapat larangan yang dikatakan longgar itu namun rakyat Malaysia yang beragama Islam bebas dilantik sebagai ahli lembaga pengarahnya, membeli sahamnya di pasaran terbuka, bekerja sebagai kakitangannya dan syarikat judi gergasi ini pula pada musim-musim perayaan dibenarkan menghulurkan bantuan hasil haramnya walaupun kepada anak-anak yatim dan orang-orang tua yang beragama Islam.

Rata-rata syarikat judi yang diberi lesen oleh kerajaan Islam Hadhari Malaysia ini merupakan salah sebuah syarikat terkaya yang tersenarai di Bursa Malaysia. Bagi suku tahun ketiga 2004 sahaja pendapatannya mencecah RM1.142 billion dengan keuntungan sebelum cukai bagi 3 bulan itu sahaja sebanyak lebih setengah billion ringgit Malaysia.

Melihatkan perkembangan di Singapura ini, wajar sangatlah kerajaan Malaysia dengan hasratnya kononnya mahu menjadi Negara Islam contoh diperingkat global menimbangkan untuk menutup sahaja pusat maksiat ini. Biarlah kaki judi semua bertumpu ke Singapura, biarlah Genting sekadar menjadi pusat hiburan untuk keluarga dan tidak lagi pusat menempah tiket ke neraka.

Kalau Pak Lah mampu menyekat majlis maksiat menjelang ambang tahun baru 2005, tak mustahil Pak Lah juga mampu menutup kasino di Genting, 4 nombor ekor Magnum, Sports Toto, Pan Malaysian Pools dan lain-lain industri yang melibatkan judi dalam Negara Islam Malaysia ini. Kecualilah Umno melihat syarikat-syarikat ini sebagai sumber pendapatannya khususnya apabila menghadapi pilihanraya. Kalau demikian halnya penatlah sahaja kita berdoa dan solat hajat sebagaimana saranan Pak Lah bila menghadapi bencana Tsunami, sedangkan punca bencana yang besar seperti industri judi yang dikutuk dan dilaknat oleh Allah swt ini terus dipupuk dan dibela bagai menatang minyak yang penuh.




Wednesday, December 29, 2004

BATAL KONSERT TAHUN BARU PAK LAH AKUR SERUAN HADI

Edisi terbaru HARAKAH yang akan berada di pasaran esok memuatkan tajuk gesaan PAS agar kerajaan membatalkan upacara sambutan tahun baru 2005 kerana insaf dan menghormati bencana tsunami tempoh hari serta mangsa-mangsa yang telah pulang ke rahmatullah akibatnya.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Menangani Tsunami PAS Kedah, Mahfuz Omar mengesyorkan agar kerajaan mengarahkan seluruh masjid di negara ini mengadakan majlis tahlil, solat hajat dan bacaan yasin untuk kesejahteraan rakyat.

Memang pesta menyambut ambang tahun baru setiap tahun di negara kita dipenuhi dengan upacara dan konsert maksiat sehingga menjelang subuh. Sesuai sangatlah dalam kita menerima isyarat dari Allah swt ini kita insaf dan tidak menambahkan lagi ruang dan punca bagi Allah swt berterusan menurunkan kemurkaannya yang apabila turun tidak akan mengenal insan yang baik ataupun sebaliknya.

Firman Allah Taala dalam surah Al Ankabuut ayat 40 bermaksud,

Masing-masing Kami seksa kerana dosanya; di antara mereka ada yang Kami kirim kepadanya angin taufan (yang mengandungi pasir) dan di antara mereka ada diseksa oleh teriakan yang keras (terus mati) dan di antara mereka ada yang Kami benamkankan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan (dalam laut). Allah tiada menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.

Alhamdulillah belum pun terbit HARAKAH yang dimaksudkan di pasaran Perdana Menteri Pak Lah Badawi telah mengarahkan semua pihak termasuklah swasta agar tidak menganjurkan sambutan meraikan tahun baru 2005 dan sebaliknya memenuhi ruang tersebut dengan majis-majlis doa agar negara selamat dari sebarang bencana alam.

Ekoran gesaan ini kita mendapat tahu bahawa majlis sambutan besar-besaran anjutran TV3, AmBank dan Petronas turut ditangguhkan. Kerajaan Selangor turut membatalkan majlisnya dan dengar khabar majlis besar-besaran yang disusun di Kulim High Tech Park di Kedah turut dibatalkan.

Alhamdulilah lah kiranya bencana dan malapetaka seumpama ini dapat menginsafkan kita. Cumanya ada seorang sahabat pengunjung BLOG ini mengesyorkan agar segala wang perbelanjaan yang sepatutnya dibelanjakan untuk majlis-majlis sambutan ini khususnya dari pihak swasta sebaliknya diserahkan untuk membantu mangsa-mangsa tragedi. Jangan ditangguhlah upacara tidak bermanfaat dan maksiat ini, batalkan terus dan salurkan sahaja wang peruntukkannya bagi membantu warga kita yang ditimpa kedukaan.

Bagi Pak Lah terima kasihlah namun jangan berhenti setakat itu, kaji juga kesilapan dan kelemahan kita sehingga mengundang bala Allah swt. Kembalilah kepada Islam yang sejati yang tidak sekadar hadhari dan tempel-tempelan tetapi yang relevant dan sesuai bagi setiap masa dan ketika. Mudah-mudahan Allah swt meringankan bebanan seluruh rakyat Malaysia yang terlibat langsung dengan tragedi yang menyayat hati ini.

Sementara itu rombongan PAS diketuai oleh Dr Hatta dikhabarkan akan bertolak esok ke Bandar Aceh untuk meninjau dan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara se Islam kita yang teruk dilanda bencana di sana. Kepada yang berkemampuan hulur-hulurkanlah bantuan demi meringankan bebanan mereka.

PEMUDA UMNO PERNAH RANCANG PEMBERONTAKAN BERSENJATA!

Pemuda Umno pernah menyusun untuk menubuhkan Barisan 33. Ianya dicadangkan ditubuh ditiap-tiap cawangan Umno seluruh tanahair. Barisan 33 ini nanti akan melaksanakan perjuangan bersenjata dengan merampas senjatapi yang ada di balai-balai polis.

Kalau dibaca perenggan di atas pasti ianya akan menggemparkan ramai pihak. Ianya bukan berita palsu ataupun reka-rekaan. Peristiwa ini sebenarnya bukan berlaku di tahun 2004 ini tetapi ianya berlaku dizaman sebelum Merdeka. Peristiwa yang bersejarah yang telah membuktikan bahawa Umno pernah merancang untuk menubuhkan pasukan militan bagi mewujudkan huru-hara semata-mata untuk merampas kuasa.

Kadangkala ada pihak cuba menutup dan menyembunyikan bab-bab tertentu dalam lipatan sejarah kerana dirasakan tidak akan menguntungkannya. Namun sejarah tidak mudah dipendamkan begitu sahaja pasti lambat-laun ianya samada manis maupun pahit akan timbul dan diketahui jua. Jika tidak kerana MEMOIR SHAMSIAH FAKEH DARI AWAS KE REJIMEN KE 10 pasti banyak peristiwa yang pernah berlaku seumpama ini akan berlalu begitu sahaja lantaran cuba dipadamkan dari ingatan oleh pihak-pihak yang memilki kepentingan.

Menurut Shamsiah komplot ini telah dirancang oleh tidak lain dan tidak bukan Tuan Hj. Ahmad Badawi iaitu bapa kepada PM dan Presiden Umno hari ini. Ahmad Badawi ketika itu adalah Naib Yang Dipertua Pemuda Umno jawatan itu kini dikenali sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang hari ini kebetulan disandang oleh cucu menantu beliau. Beliau dibantu oleh Samad Idris dan Hamzah Alang.

Persetujuan telah diambil bahawa apabila tiba waktunya Barisan 33 itu nanti akan merampas senjatapi dari balai-balai polis di kampong-kampung serta mendapat khidmat anggota polis dan askar Melayu yang bersimpati dengan perjuangan Umno. Samad Idris juga dikatakan telah mendapat kerjasama dan persetujuan Hj. Othman Saat untuk memperolehi bahan letupan bagi meletupkan pusat bekalan air di Gunung Pulai yang membekalkan air ke Singapura.

Pemuda Umno dikatakan rela dan bersedia untuk berjuang dengan kekerasan hatta sehingga menitiskan darah dan gugur sebagai bunga bangsa yang bermekaran. Malah Samad Idris dan rakannya turut bercadang untuk menangkap dan membunuh terus orang-orang yang menyokong penjajah dan sesiapa sahaja yang membelot dalam perjuangan. Maklumat ini sebenarnya telah dirakamkan oleh Samad Idris sendiri di dalam bukunya 25 TAHUN MERDEKA terbitan 1982 yang Dr. Mahahtir sendiri telah memberikan kata-kata aluan.

Mengapa Shamsiah selaku seorang wanita Melayu yang pernah dicap sebagai pengganas, dan kominis satu ketika dahulu mendedahkan perkara ini pada hari ini? Menurut Shamsiah:

Aku memetik panjang lebar bahagian Pemuda Umno hendak mengangkat senjata ini untuk tatapan dan perhatian masyarakat umum hari ini supaya membandingkan niat atau rancangan Pemuda Umno ini dengan perjuangan bersenjata orang Melayu yang masuk hutan di bawah pimpinan Parti Kominis Malaya yang dicap sebagai pengganas kominis.

Bermakna kalau PKM dan orang seumpama Shamsiah Fakeh ini boleh dicap sebagai pengganas ataupun istilah popular hari ini militant ataupun terrorist maka Pemuda Umno juga seharusnya tidak sunyi dari gelaran yang sama. Dan yang turut mencetuskan idea keganasan itu pula tidak lain dan tidak bukan bapa kepada Pak Lah, PM kita pada hari ini. Kalau demikianlah sejarahnya maka Pemuda Umno serta Presidennya juga perlu diawasi dari masa kesemasa takut-takut idea keturunan mereka itu satu hari nanti akan menghantui pula mereka untuk bertindak terhadap orang-ramai khususnya yang menentang mereka. Wallahualam.


Tuesday, December 28, 2004

SHAMSIAH FAKEH RATU RIMBA MALAYA
DARI AWAS KE REJIMEN KE 10 (SAMBUNGAN)


Shamsiah seorang yang tidak biasa dengan keadaan hidup di hutan. Dalam memoirnya dicatakan kesukaran beliau ketika berada di sana dan pernah 3 kali sesat dalam hutan berseorangan. Pernah setelah diserang hendap beliau bertempiaran lari pada awalnya berseorangan tetapi setelah menyedari telah kemudian terpaksa mengendong bayinya yang baru lahir, lari merentasi hutan dengan cuma pakaian tidur tanpa senjata. Hutan inilah akhirnya mendewasakan Shamsiah dan memantapkan lagi pegangan beliau terhadap perjuangannya.

Bayi inilah kemudiannya telah dibunuh oleh anggota PKM sendiri tanpa pengetahuan Shamsiah kerana bimbangkan kehadirannya akan menyusahkan pergerakan mereka. Dalam Memoirnya Shamsiah mencatatkan betapa sedihnya beliau apabila mengetahui keadaan yang sebenarnya namun menerima keputusannya sebagai takdir Allah swt. Cuma yang beliau kesalkan adalah apabila bekas Pengerusi PKM Musa Ahmad pernah semasa wawancara di RTM pada tahun 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke sungai untuk mati. Dan dalam Utusan Malaysia pada tahun 1987 seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya telah menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis. Kedua-dua kenyataan tersebut adalah bohong dan dusta menurut Shamsiah.

Ketika berhadapan dengan British dan tentera tempatan yang ditaja mereka Shamsiah telah berjuang habis-habisan dari hutan. Mengapa PKM menentang askar Melayu ketika itu, menurut Shamsiah:

Dalam perang adil dan tak adil memang sukar dielakkan pertumpahan darah. Barangsiapa yang berdiri dipihak penjajah dengan bersenjata sudah tentu akan dibalas, itu salah mereka kerana berdiri di pihak penjajah.

Kata Shamsiah ketika itu mereka sebenarnya bukan pengganas, mereka berjuang untuk membebaskan Negara untuk memeredekakan Negara. Pengganas yang sebenarnya adalah British kerana mereka menentang usaha ini dan bertindak membakar rumah rakyat dan tenteranya telah memperkosa ramai wanita Melayu di kampong-kampung.

Namun setelah kemerdekaan Negara pada tahun 1957 PKM terus mengangkat senjata menentang kerajaan Malaya merdeka. Ini dilakukan menurut Shamsiah kerana:

Perang rakyat Malaya yang pada mulanya melawan penjajah British telah berubah menjadi perang dalam negeri sesudah merdeka. Ini adalah perang saudara iaitu perang rakyat Malaya melawan rakyat Malaya. Disinilah letak persoalannya. Tentera Pembebasan Nasional Malaya diubah menjadi Tentera Rakyat Malaya.

Seterusnya dari hutan pada tahun 1956 Shamsiah berhijrah dengan suaminya Ibrahim Mohamad ke China, dihantar oleh PKM untuk belajar. Pasangan ini terus berada di sana dan memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa. Pada tahun 1965 mereka ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shmasiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia.

Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan. Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China.

Shamsiah kemudiannya menghadapi situasi pergolakan dalam PKM sehinggalah beliau dan suaminya dipecat dari parti yang mereka anggotai itu lalu menjadi rakyat biasa di China sehinggalah berjaya pulang ke tanahair pada tahun 1994 atas keizinan kerajaan Malaysia. Kepulangannya menjadi mungkin ekoran perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dan PKM pada tahun 1989 yang bagi beliau menandakan tamatnya permusuhan 41 tahun kedua-dua pihak.

Namun sebagai seorang pejuang tulin bagi Shamsiah perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang. Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan yang sebelum ini tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan sejak perjumpaan di Baling gagal.

Bagi Shamsiah beliau adalah pejuang kemerdekaan Negara walaupun tidak diiktiraf demikian oleh kerajaan. Sumbangan beliau dan rakan-rakannya akan tetap berada di lipatan sejarah walaupun cuba dinafikan oleh pihak-pihak tertentu. Secara kesimpulannya untuk memahami perjuangan Shamsiah ini saya petik sebaris perenggan pada prakata Memoirnya:

Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Kominis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.

Sesungguhnya Memoir ini telah Shamsiah gunakan sebaik mungkin untuk membersihkan segala persepsi jahat terhadap beliau. Malah beliau merakamkan:

Sebenarnya anggota Polis dan tentera memang tak perlu berdendan dengan aku kerana sepucuk pistol dan sebutir bom tangan yang aku pakai dalam hutan dahulu itu tidak pernah meletup dan tak sebutir peluru pun yang membunuh polis atau tentera kerajaan. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka.

Sejauh manakah ianya dapat diterima terpulanglah kepada para pembaca sekalian. Tak kenal maka tak cinta kata pepatah kita, apakah ianya benar dalam kes Shamsiah?

Monday, December 27, 2004

SHAMSIAH FAKEH RATU RIMBA MALAYA
DARI AWAS KE REJIMEN KE 10

Sekiranya disebut nama Shamsiah Fakeh berkemungkinan ramai anak-anak muda hari ini tidak mengenalinya apalagi dapat mengaitkan beliau dalam perjuangan membebaskan tanahair. Malah nama Shamsiah bagi yang mengecam atau mengenalinya pun apabila disebut maka akan digambarkan wajah seorang pengganas atau terrorist yang pernah terlibat bersama Partai Komunis Malaya PKM satu ketika dahlu sehingga mencetuskan huru-hara dalam Negara.

Bagi kita diluar Shamsiah lebih dikenali sebagai seorang yang ganas dan jahat. Inilah gambaran yang telah diasak bertalu-talu oleh penjajah British kepada kita dan inilah yang telah kita terima dan perakui melainkan bagi mereka yang rapat atau mengenalinya dengan dekat.

Lantaran itu karya beliau yang telah diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia berjudul MEMOIR SHAMSIAH FAKEH DARI AWAS KE REJIMEN KE 10 seharusnya dapat memberikan gambaran yang kontra dari apa yang telah pihak British sajikan pada kita selama ini. Apakah versi British atau versi Shamsiah yang benar, terserahlah kepada rakyat untuk membuat perhitungan. Langkah UKM menerbitkan buku ini seharusnya dipuji demi mendapatkan gambaran sejarah yang seimbang walaupun ada pihak yang mendesak agar karya ini diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Sesunggunya Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM yang ditubuhkan pada tahun 1945 di Ipoh merupakan satu-satunya parti politik Melayu yang terawal ditubuhkan di tanahair. Ia berfahaman kebangsaan progresif dan kemudiannya melahirkan sayap-sayap lain yang bersifat kiri umpamanya API atau Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai Ahmad Boestamam dan AWAS ataupun Angkatan Wanita Sedar yang diketuai oleh Shamsiah. Memoir Shamsiah ini menghuraikan darihal penglibatan beliau dalam PKMM melalui AWAS dan pendedahan awal beliau terhadap gerakan politik tanahair.

Sesuatu yang menarik dalam bukunya adalah apabila Shamsiah mendedahkan darihal perkahwinannya dengan Ahmad Boestamam. Shamsiah menurut Memoirnya berkahwin sebanyak 5 kali dan perkahwinannya dengan Ibrahim Mohamad adalah yang terakhir baginya. Boestamam tidak pernah menulis darihal perkahwinan ini dalam mana-mana karya beliau. Menurut Shamsiah perkahwinannya dengan Boestamam terganggu dengan penahanan Boestamam oleh kerajaan penjajah British pada April 1947.

Dalam hal ini Shamsiah menyatakan betapa Boestamam telah diheret ke mahkamah atas pertuduhan menghasut melalui karya panas beliau TESTAMEN API yang telah diharamkan oleh pihak penjajah. Boetamam telah didapati bersalah dan kemudiannya didenda seribu dua ratus ringgit ataupun 9 bulan penjara. Boestamam telah membayar denda tersebut dan kemudiannya telah dibebaskan.

Menurut seorang bekas pegawai Polis yang pernah berkhidmat dengan Cawangan Khas Shamsiah sebenarnya telah mendesak Boestamam agar tidak membayar saman tersebut kerana tindakan itu akan dikira sebagai tunduk kepada British sedangkan mereka berjuang menentang British. Namun Boestamam memikirkan yang beliau lebih penting berada diluar dari dibelenggu di penjara maka keputusan Boestamam membayar denda itulah sebenarnya yang telah mencetuskan penceraian mereka kerana Shamsiah tidak dapat menerimanya. Namun dalam memoirnya Shamsiah tidak menyatakan demikian.

Apabila penjajah British mula mengekang gerakan politik Melayu yang dianggap ekstrim dan kiri, Shamsiah dan rakan-rakannya mula terasa tertekan. Penahanan Boestamam dan ramai lagi mengakibatkan API dan badan-badan gerakan kebangsaan lain kemudiannya diharamkan dan lumpuh kecuali Umno. Umno tidak diambil tindakan dan tidak seorang pun ahlinya ditahan oleh kerena menurut Shamsiah jelas parti tersebut pro penjajah malah bekerjasama pula dengan penjajah untuk menekan dan menindas golongan yang dikatakan kiri.

Akibat dari tekanan pihak penjajah yang berterusan inilah akhirnya Shamsiah membuat keputusan menurut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya untuk lari masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan bersenjata dari sana. Shamsiah yakin dengan tindakan ini malah kepada soalan mengapa perlu masuk hutan Shamsiah menyatakan:

Bagi orang-orang yang memperjuangkan Kemerdekaan maka tidak ada pilihan lain lagi melainkan berjuang mengangkat senjata untuk menggulingkan penjajah apabila jalan damai sudah ditutup. Bukan kita yang menutupnya tetapi penjajah British.

Sememangnya perjuangan melalui PKMM dan AWAS merupakan perjuangan demokratik secara terbuka. Namun pihak British tidak pernah selesa dengan tindak-tanduk mereka, lantaran itu pengharaman badan-badan siasah ini bagi Shamsiah dan rakan-rakan merupakan isyarat bahawa berakhirlah perjuangan melalui lunas demokrasi dan bermulalah perjuangan melalui angkat senjata.

Dalam hal ini Shamsiah menulis:

Situasi ketika itu sudah mulai tegang. Kami telah diperintahkan masuk hutan di kawasan Lubuk Kawah. Aku pun masuk hutan dan bermulalah era aku berjuang mengangkat senjata. Semangat cintakan tanahair dan Kemerdekaan serta kesetiaan kepada perjuangan telah mebuat aku teguh dan sanggup masuk hutan. Yang penting ialah mencapai Kemerdekaan. Pada fikiranku setelah Merdeka maka segala-galanya akan dapat diselesaikan.

BERSAMBUNG...

TSUNAMI MEMBELASAH PANTAI BARAT SEMENANJUNG

Takziah kepada keluarga rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat serangan mengejut ombak Tsunami yang terjadi ekoran gempabumi di Sumatera yang berukuran 8.9 pada skala Richter. Kebetulan gempa ini berlaku tepat setahun setelah gempa yang besar meranap daerah Bam di Iran pada tarikh yang sama tahun 2003.

Menurut BERNAMA seramai 40 orang dikhuatiri telah meninggal dunia manakala THE STAR memberikan angka 53 orang dengan 34 masih hilang. 2 orang lagi rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh di Daerah Trang di Selatan Thai.

Bencana ini turut menimpa negara-negara lain disekitar selatan Asia termasuklah India, Sri Lanka, Kepulauan Maldives dan lain-lain.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia dilanda bencana sedemikian besar dan kerajaan serta badan-badan politik dan NGO telah segera bertindak menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada mangsa-mangsa yang terlibat khususnya yang tinggal di persisiran pantai.

Di seluruh negara yang terlibat kita lihat pemimpin-pemimpinnya bergegas turun ke padang melihat sendiri akibat bencana serta bertemu dengan mangsa-mangsa. Presiden Indonesia kelihatan di berita TV menerima taklimat dari para pegawainya, menerusi siaran CNN Presiden India mengesyorkan rakyatnya bantuan segera akan disalurkan manakala siaran BBC menyiarkan Presiden Sri Lanka memohon semua pihak bekerjasama menghadapi malapetaka ini.

Perdana Menteri Malaysia sedang bercuti Krismas di India. Adalah keluar suara beliau dalam berita TV meminta rakyat bersabar dan menyatakan beliau telah mengarahkan Timbalannya agar segera bertindak. Sebagaimana dipetik oleh BERNAMA beliau berkata:

I hope that the people will give their cooperation to the authorities and abide by whatever instructions issued to ensure that they are safe in the event that there is another round of tidal waves.Im praying from afar that there will not be a second wave of the tsunami.

Why praying from afar?! Kalau beliau berada di India sekadar untuk bercuti beliau seharusnya membatalkan rancangannya dan segera pulang ke tanahair! Ini merupakan malapetaka terburuk yang pernah melanda negara dan PM Malaysia sekadar boleh berdoa dari jauh. Saya rasa dalam isu ini jelas Pak Lah telah gagal dan tidak sensitif dengan kemalangan yang menimpa rakyatnya.


Saturday, December 25, 2004

SAMA ADA PAS BERSANDIWARA ATAU HADI TERTEKAN
ATAU UTUSAN DAH TAK ADA MODAL


Dalam ruangan pada hemat saya di UTUSAN hari ini wartawannya Zulkiflee Bakar cuba mencetuskan sensasi dengan mahu memperlekehkan kenyataan Presiden PAS yang menyatakan kesediaan PAS untuk mengadakan kerjasama dengan DAP bagi menghadapi BN.

Beberapa hari yang lalu wartawan UTUSAN terlibat dalam menipu para pembacanya apabila melaporkan bahwa Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang telah tewas di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN dalam pilihanraya umum yang lalu sedangkan Presiden PAS tersebut berjaya mengekalkan kerusi DUN nya dan kini merupakan Ketua Pembangkang di DUN Terengganu.

Zulkiflee menganggap kenyataan Presiden PAS itu sebagai sandiwara antara PAS dan DAP, satu anggapan murahan yang tidak menghairankan memandangkan ianya dating dari akhbar yang bersedia untuk berbohong.

Beliau dalam keghairahan menunjukkan ketajaman bacaan politiknya yang kosong itu menulis:

Sebenarnya dikalangan sebahagian ahli-ahli PAS walaupun mereka mahu pemimpin mereka berusaha untuk meraih sokongan daripada masyarakat bukan Melayu tetapi ia tidaklah sampai membuka laluan kepada usaha untuk bekerjasama dengan DAP.

Ia tidak dapat diterima bukan sahaja oleh ahli-ahli PAS tetapi juga mereka yang bersimpati dengan PAS.

Sejak bila pula Zulkiflee boleh bercakap mewakili ahli-ahli PAS. Kalau hendak memberi analisa politik sekalipun janganlah sampai keperingkat berbohong dengan berani mendakwa mengetahui isi hati dan pendirian ahli-ahli PAS pula. Kalau nak bercakap mewakili pimpinan Umno yang mabuk dengan politik wang itu tak mengapalah kerana beliau dan akhbarnya memang datang dari bakul yang sama akan tetapi janganlah mereka-reka sesuatu sesuka hati dan mendakwa ianya mewakili pendirian ahli-ahli PAS.

PAS sebagai sebuah parti berteraskan Islam dan berjuang untuk memartabatkan Islam akan mencari dan berikhtiar apa cara sekalipun yang dibenarkan syarak untuk memperolehi sokongan mana-mana pihak dan itu hak kami. Malah Rasulullah saw dalam usaha mendakwahkan Islam pasca peristiwa Perjanjian Hudaibiyah telah bertindak mengirim surat kepada ketua-ketua Negara bukan Islam mengajak mereka menerima Islam, agaknya Rasulullah pun bersandiwara kalau nak ikutkan pandangan Zulkiflee.

PAS menunjukkan kematangan politik dan keterbukaannya walaupun DAP berkali-kali menolak tawaran bekerjasama namun PAS tidak pernah berputus asa kerana mengambil iktibar dari Rasulullah saw yang tidak pernah berputusa asa dalam menjalankan kerja dakwah Baginda walaupun dipandang rendah, diperlekeh dan diserang oleh puak-puak yang berniat jahat seumpama Zulkiflee dan akhbarnya.

Ahli-ahli PAS tidak pernah berburuk sangka terhadap pimpinannya dalam soal menyusun strategi dan mengambil pendekatan politik yang dirasakan sesuai selaras dengan kehendak Islam. Tidak cukup ulasan dari Zulkiflee dan akhbarnya untuk memathkan semangat kami dalam kerja-kerja ini.

Satu nasihat kepada Zul dan akhbarnya, kalau pun dah makan upah untuk membenci dan menjatuhkan PAS dan perjuangannya, terbitkanlah berita dan analisa yang berfakta dan berwibawa jangan digadaikan maruah dan harga diri anda semata-mata kerana cari makan.


Friday, December 24, 2004

PEMUDA MCA CAMPURTANGAN TUGAS PENGUATKUASA
DI KOTA BHARU

Esok rakyat Malaysia beragama Kristian akan merayakan Hari Krismas. Seperti biasa sebagaimana adat mereka pada malam ini akan ada majlis-majlis perayaan sebagaimana yang dibenarkan oleh agama dan kepercayaan mereka.

Di Malaysia pada malam Krismas biasanya dianjurkan majlis perhimpunan, hiburan dan seumpamanya. Samada ianya bertepatan dengan kepercayaan Kristian yang asal ataupun tidak itu bukanlah hak yang bukan Kristian untuk mempertikaikan.

Hari in BERNAMA melaporkan Pengarah Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kota Bharu MPKB mengeluarkan kenyataan akan bertindak terhadap mana-mana majlis seumpama ini yang diadakan di Kota Bharu oleh kerana pihaknya tidak menerima sebarang permohonan permit dari mana-mana pihak.

No Christmas Eve Bash Without Permit, Warns Town Council

Perlu difahami bahawa bukannya MPKB melarang rakyat bukan Islam berkumpul bagi maksud perayaan masing-masing, tetapi sekadar mengenakan syarat iaitu perlu memohon permit dari MPKB terlebih dahulu.

Applications to host Christmas or New Year celebrations have to be made two weeks in advance of the events, but the MPKB had not received any, he said.

We also don't allow entertainment activities involving Muslims even in closed areas, but if the activities don't involve Muslims and are in closed areas, we can allow if the permit has been approved, he said.

Bermakna MPKB sekadar memaklumkan darihal syarat dan peraturan yang ada yang wajarlah dipatuhi oleh mana-mana rakyat Malaysia yang menghormati Konsep Kedaulatan Undang-undang. Malah dimana-mana majlis tempatan dan daerah sekalipun terdapat peraturan yang melibatkan majlis hiburan di tempat-tempat awam yang perlu dipatuhi oleh para penduduk, bukan hanya di Kota Bharu.

Tiba-tiba Pemuda MCA Pusat sebagaimana yang dilaporkan dalam THE STAR merakamkan kebimbangannya kononnya pihak penguatkuasa MPKB ini jenis yang gemar menganggu majlis-majlis keraian bangsa Cina dan India:

The MCA youth expressed its concern at the OVERLY HARSH TONE of the council saying the state had a record of disrupting functions organised by the Chinese and Indian communities.

MPKB berhak mengenakan peraturan dan menguatkuasakannya sebagaimana majlis tempatan yang lain. Apa maksud Pemuda MCA mahu mengembar-gembur isu perkauman dalam hal ini? Ianya tidak ada kena mengena dengan isu perkauman. Jangan membakar sesuatu tanpa usul periksa dan semata-mata kerana mahu menjadi juara politik, menangguk di air keruh.

Kerajaan PAS Kelantan tidak pernah mendiskriminasi bangsa-bangsa lain di negeri tersebut. Malah kerajaan negeri diwakili oleh seorang berbangsa Cina yang juga merupakan seorang anggota EXCO dan ADUN Kelantan iaitu Dato’ Hj Annuar Tan serta MPKB sendiri mempunyai ahli-ahli majlis dari kalangan masyarakat berbangsa Cina. Perkauman tidak pernah menjadi agenda kerajaan negeri di bawah PAS, jangan MCA menjadi pengacau dan mewujudkan pecah-belah!

SATU LAGI KEMALANGAN MAUT
PENYELESAIANNYA TAK KUNJUNG TIBA

Rakyat Malaysia sekali lagi berdepan dengan peristiwa kemalangan ngeri yang melibatkan bas ekspres. Kali ini di kaki Cameron Highlands iaitu di KM12 Jalan Simpang Pulai – Kg. Raja. Seramai 5 penumpang terbunuh manakala 17 lagi cedera. Berbeza dengan kemalangan yang lain, saya percaya kali ini kerajaan akan beria-ia mencari langkah penyelesaian. Kenapa? Kerana kemalangan kali ini melibatkan ramai orang asing khusunya dari Barat. Ada yang dari Britain, Belanda dan Austria selain warga asing dari Asia.

Sedang kerajaan sibuk menjual Negara kepada warga asing, tiba-tiba khidmat sokongan dalam Negara, dalam kes ini sistem pengangkutannya walaupun canggih namun sering dipandu dalam keadaan yang membahayakan para penumpangnya. Sudah pasti peristiwa seumpama ini akan memberi imej yang buruk terhadap Negara. Pemandu Malaysia tidak boleh diharapkan, tiada disiplin. Jalanraya Malaysia dibina tanpa mengambil kira ciri keselamatan dan berbagai lagi.

Bagi saya memang sehingga kini kerajaan gagal memperolehi kaedah yang terbaik untuk mengatasi kemalangan seumpama ini. LPKP, JPJ dan Polis termasuklah Kementerian Pengangkutan pihak yang berkewajipan dalam isu ini perlu dipertanggungjawabkan. Berapa banyak lagi bas ekspres yang terhumban ke gaung atau melanggar kenderaan lain atau terbalik yang mahu kita tontoni?

Jelas kemalangan seumpama ini lazimnya berpunca dari pemnadu yang cuai dan tidak bertanggungjawab. Memandu dengan laju tanpa menghiraukan keselamatan semua pihak. Dalam kes di Cameron Highlands ini sebagaimana dilaporkan para penumpang mendakwa pemandu terbabit memang memandu laju sebelum berlaku kemalangan.

Oleh itu jika pemandu yang lazim merupakan puncanya maka apakah langkah kita? Kalau sekadar nak hantar mereka berkursus, saya rasa tidak akan menyelesaikan masalah kerana yang penting apabila mereka berada di depan steering. LPKP ada menampal sticker di badan-badan bas untuk para pengguna kenderaan lain menalifon ataupun SMS mereka kiranya mendapati ada bas ekspress yang memandu lebih had namun keberkesanannya masih dicurigakan.

Ada seorang sahabat mencadangkan bahawa SIGNAL kepada LPKP ataupun JPJ ataupun Polis perlu datang dari para penumpang sendiri. Mengapa tidak diletakkan STICKER di dalam bas, sertakan nombor HOTLINE Polis ataupun JPJ yang boleh para penumpang hubungi atau SMS apabila pemandu bas berkenaan memandu laju. Bila dihubungi Polis dan JPJ perlu bertindak pantas, kenal pasti lokasi dan terus sahaja menahan pemandunya. Kerana kalau nak harapkan penumpang menegur pemandu pasti akan menimbulkan mudarat kepada penumpang berkenaan kerana memang telah banyak pengalaman dimana pemandu bertindak kasar terhadap penumpang.

Timbangkanlah cadangan-cadangan seumpama ini secara serius. Jangan jadikan bas-bas ekspress ini sebagai PUSARA EKSPRES yang menelan nyawa penumpang dan pengguna jalanraya yang lain

Thursday, December 23, 2004

BAYAR CUKAI PINTU:
HADIAH KRISMAS IDRIS JUSOH UNTUK RAKYAT TERENGGANU


Dalam sibuk masyarakat khususnya di Pantai Barat memperkatakan darihal kenaikan 10 peratus kadar tol Lebuhraya PLUS Utara Selatan yang akan bermula tahun 2005 ini, masyarakat di pantai timur rasa selesa lantaran tidak terjejas secara langsung. Rakyat di Terengganu contohnya yang baru merasa gelombang perubahan setelah mengundi kerajaan baru BN masih dibuai dengan alunan lunak Islam Hadhari Terengganu Bistari.

Kerajaan Terengganu baru ini separti dan sefahaman dengan Kerajaan Pusat, oleh itu pasti tidak sesusah lagi sebagaiaman ketika berada di bawah kerajaan PAS dahulu. Malah Pak Lah sendiri berjanji mahu memberikan sesuatu yang tidak pernah dijangka sebelum ini kepada rakyat negeri Terengganu terutama dalam bentuk pembangunan fizikal dan kemewahan.

Dalam akhbar hari ini MB Terengganu Idris Jusoh mengumumkan kerajaan negeri BN akan mengenakan kembali cukai pintu yang telah dihapuskan oleh PAS dahulu. Katanya biar rakyat turut merasa bertanggungjawab menyumbang ke arah pembangunan bandar dan desa. NST melaporkan:

The State Government will resume the collection of assessment on residential properties in 2005.

Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh said the annual assessment must be collected, as the money was needed for development in towns and villages.

Tapi bukankah kerajaan BN ini telah menjanjikan kemewahan dan pembelaan nasib rakyat? Bukankah Terengganu kaya dengan royalti Petronas yang dirampas oleh suku-sakat kerajaan negeri yang berkuasa hari ini? Kalau dah mewah dan kaya mengapa perlu mendera dan membeban rakyat lagi? Kalau PAS dahulu sekadar menghapuskan cukai pintu, sepatutnya BN kini yang dikatakan lebih mewah, lebih bijak, lebih bistari bertindak mengikis dan menghapuskan bebanan lain yang dipikul oleh rakyat, barulah betul!

Takkanlah wang rakyat mahu diperah untuk menampung kerja sekecil mengangkat dan melupuskan sampah sahaja. Atau barangkali kerana dah banyak sangat membazir tanam pokok bonsai sana-sini maka tiada cara lain melainkan perlu dibayar melalui poket rakyat?

Sementara itu ADUN Batu Burok Wan Mutallib Embong yangh merupakan bekas EXCO kerajaan PAS menegaskan bahawa PAS akan bertindak menghapuskan kembali cukai pintu ini kalau kembali berkuasa pada pilihanraya yang akan datang.

Wednesday, December 22, 2004

BERBOHONG DEMI MENJUAL ISLAM HADHARI

Dalam siri lawatan Pak Lah selaku PM ke India, dipaparkan dalam akhbar tempatan hari ini penganugerahan doktor falsafah kehormat dari Universiti Jamia Millia Islamia di New Delhi. Apabila membaca laporan berkenaannya saya percaya siapa sahaja yang memiliki hati yang cinta dan kasih pada Islam pasti akan terasa terguris dan barangkali juga terhina dengan kenyataan Pak Lah di majlis tersebut.

Menurut THE STAR Pak Lah berkata:

Rights of women were protected (in Islam Hadhari Malaysia) and they could fulfill their potential without having to face artificial barriers constructed in the name of Islam.

Abdullah said the multi-religious ruling party had demonstrated during the March general elections that we can roll back the Islamists not by engaging in holier than thou contests but by addressing the root causes of anger and frustration.


Berdasarkan laporan akhbar ini, pertama, Pak Lah seolah-olah membayangkan kepada dunia luar bahawa terdapat pihak-pihak yang menghalang hak dan kebebasan wanita kononnya atas nama Islam. Apakah ARTIFICIAL BARRIERS yang beliau maksudkan itu? Adakah mewajibkan wanita Islam yang baligh menutup aurat itu sesuatu yang diada-adakan, sesuatu yang membebankan dan menghalang hak dan kebebasan wanita? Mungkin bukan ini yang Pak Lah maksudkan, kalau tidak ini maka apa? Benarkah ada ARTIFICIAL BARRIERS itu?

Apakah yang Pak Lah maksudkan apabila beliau menyebut WE CAN ROLL BACK THE ISLAMISTS? ISLAMISTS itu siapa? Siapakah puak Islamists yang Pak Lah berjaya kekang itu? Kalau PAS yang dimaksudkan sebut sahaja PAS mengapa istilah islamists digunakan?

Menurut kamus istilah ini merujuk kepada:

The religious faith, principles, or cause of Islam.

Kalau benci PAS sekalipun jangan Islam yang diserang. Kalau marahkan PAS jangan undang-undang dan hukum Islam yang dihina. Kalau mahu merendah-rendahkan PAS jangan al Quran dan Hadis yang dipermainkan.

Kata Pak Lah Islam Hadhari mahu mengembalikan ummah kepada asas dan prinsip Islam sebagaimana yang terkandung dalam Quran dan Hadis, lalu kembalilah betul-betul kepada Quran dan Hadis. Kalau haram kita katakan haram kalau halal kita katakan demikian. Realitinya di Malaysia kita bukan sedang kembali kepada Quran dan Hadis sebaliknya kita sedang mencari jalan dan peluang untuk membuat pentafsiran baru dan memberikan cop Islam kepadanya.

Sebagaimana kata Kak Endon semasa mempromosi baju kebaya baru-baru ini di TV:

Kalau yang muda-muda tu bolehlah pakai pendek sedikit, manakala yang tua kenalah pakai yang labuh baru bersopan.

Inilah contoh Islam Hadhari yang Pak Lah mahu agaknya?

Tuesday, December 21, 2004

KUMAN DI NEW YORK PAK LAH NAMPAK



Hampir keseluruhan akhbar media perdana hari ini melaporkan darihal kenyataan Perdana Menteri dari New Delhi yang mengajak India bersama-sama Malaysia berkerjasama untuk menuntut reformasi ataupun perubahan di dalam fungsi dan peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN). Akhbar THE SUN membaya tajuk:

PM: Lets join hands in reforming UN

Menurut Pak Lah UN pada hari ini berperanan berdasarkan logik era pasca perang dunia kedua. Ianya kini sudah tidak lagi mewakili hasrat dan kepentingan majority ahli-ahlinya. Oleh itu sudah tiba masanya kita menuntut agar perjalanan UN itu benar-benar berdasarkan demokrasi dan UN sebagai sebuah badan dunia seharusnya memberi tumpuan kepada memain peranan lebih berkesan di dalam hal ehwal dunia.

THE STAR dalam hal ini memetik Pak Lah sebagai berkata:

We must work together to establish greater democracy in the workings of the UN. This is the only way to play a more influential and determining role in world affairs.

Pasti ramai yang bersetuju dengan pandangan Pak Lah ini. UN pada hari ini diwarnai oleh pendapat dan pandangan ahli-ahli tetap majlis keselamatannya iaitu Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Republik Rakyat China dan Persekutuan Rusia. Masing-masing memiliki kuasa veto yang boleh menyekat dan menghalang apa-apa sahaja pandangan, cadangan dan ketetapan ke badan dunia tersebut walaupun disokong oleh majoriti Negara-negara dunia.

Kuasa veto ini merupakan penghalang besar demokrasi di dalam UN. Suara Negara-negara dunia lain disekat dan dihalang oleh kuasa mutlak yang boleh dans erring sahaja disalah-gunakan dalam isu-isu antarabangsa. Contohnya dalam persoalan Palestin, Amerika Syarikat akan mengunakan kuasa vetonya kiranya ada usaha untuk menyekat Israel walau dengan niat dan hasrat sebaik mana pun.

Tetapi Pak Lah bukanlah tokoh ataupun ketua Negara yang sesuai mengepalai perjuangan reformasi UN ini. Pak Lah tidak sesuai kerana dalam negaranya sendiri demokrasi masih dipertikaikan!

Negara merdeka Malaysia telah 11 kali mengadakan pilihanraya umum bagi memperolehi mandat rakyat untuk membentuk kepimpinan Negara. Namun proses demokrasi melalui pilihanraya yang diamalkan di Malaysia dilihat longgar dan sering disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa iaitu Pak Lah dan partinya sendiri.

Proses pilihanraya sepatutnya memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih pemimpinnya tanpa sebarang bentuk paksaan, ancaman ataupun sogokan kewangan maupun kebendaan. Malangnya di Malaysia ciri-ciri memperolehi sokongan dan undi melalui cara yang tidak demokratik diamalkan secara terang-terangan oleh pihak pemerintah.

Dalam proses pilihanraya di Malaysia pihak Suruhnaja Pilihanraya Malaysia diberi kuasa menyemak dan meminda sempadan pilihanraya setiap 8 tahun sekali bagi mengambil-kira faktor pertambahan pengundi dan seumpamanya. Ianya satu proses yang seharusnya tidak berbau atau mempunyai muslihat politik mana-mana pihak sekalipun. Namun proses ini di Malaysia digunakan seluas-luasnya oleh parti pemerintah diperingkat persekutuan untuk memastikan proses persempadanan itu dibuat untuk kepentingannya. Contohnya pada pilihanraya umum lalu hampir semua negeri melihat pertambahan kerusi samada Parlimen ataupun Dun kecuali Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu (yang kuat PAS). Lebih lucu lagi dah lah kerusi tidak ditambah tetapi sempadan tiba-tiba dipinda-pinda mengikut kepentingan orang-orang Pak Lah.

Banyak lagi pra syarat demokrasi yang dinodai dan dinafikan di Malaysia yang kononnya menganuti prinsip ini. Termasuklah penyalahgunaan media oleh parti pemerintah, sekatan peraturan dalam bentuk prosedur pilihanraya yang mebebankan parti-parti lain, pendaftaran pengundi yang menimbulkan syak wasangka dan lain-lain.

Kesimpulannya kepada Pak Lah sebelum meneropong kelemahan UN yang jauh diseberang sana lebih baik diperbetulkan diri sendiri terlebih dahulu. Jangan kuman yang bersarang di New York sahaja boleh nampak tetapi makhluk sebesar gajah yang bermaharajalela di Kuala Lumpur pura-pura tidak nampak. Kerana itu walaupun saranan Pak Lah itu benar namun hakikatnya Negara-negara dunia berhak mempertikaikannya kerana kampong halaman Pak Lah sendiri pada hakikatnya huru-hara dan tidak teratur.


SALAH FAKTA: LAGI-LAGI UTUSAN MALAYSIA

Di bawah tajuk utama:

DAP tidak akan bekerjasama dengan Pas sampai bila-bila

Pemberita Utusan Malaysia Zulkifli Jalil melaporkan reaksi Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung pelawaan PAS untuk bekerjasama kembali dengan mereka dalam pakatan pembangkang. Karpal seperti biasa mengambil peluang yang ada untuk menyerang dan memukul PAS dengan pelbagai tuduhan antara lain Presiden PAS tidak ikhlas dan mempunyai agenda tersendiri dalam pelawaan tersebut.

Malah Karpal turut menuduh Tuan Guru Hj. Abd Hadi sebagai MENJILAT LUDAH SENDIRI kerana sebelum hari penamaan calon pilihnaraya umum yang lalu telah menuduh pimpinan DAP sebagai dinosaur dan ubat luput tasrikh tiba-tiba kini mahu berbaik-baik kembalui.

Reaksi Karpal ini tidak menghairankan kerana demikianlah sikap Karpal sejak dari dahulu lagi apabila sahaja terbit isu untuk bekerjasama dengan PAS. Itu barangkali sikap dan pendirian peribadi beliau namun kita yakin kalangan pimpinan dan ahli-ahli khususnya yang muda dan berfikiran terbuka bersedia untuk bekerjasama dengan PAS atas matlamat menghadapi BN melalui pakatan pilihnaraya. ADUN DAP Pahang Leong Ngah Ngah umpamanya telah bekerjasama sekian lama dengan PAS tanpa menghiraukan pandangan individu seperti Karpal.

Walaubagaimanapun yang menarik di dalam artikel UTUSAN ini adalah apabila pemberitanya sekali lagi tersalah fakta. Memang UTUSAN sinonim dengan tersilap, tersasar dan kadangkala membohongi fakta. Laporan tersebut melaporkan:

Kenyataan Presiden Pas itu bagaimanapun akhirnya MEMAKAN DIRI apabila beliau tewas dalam perebutan kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Terengganu pada pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac lalu sedangkan Karpal dan Kit Siang masing-masing menang selesa di Parlimen Bukit Gelugor dan Ipoh Timur.

Presiden PAS tidak kalah kedua-dua kerusi, beliau tewas di Parlimen Marang namun mengekalkan kerusi DUN nya di Rhu Rendang. Ini akhbar media perdana kelas apa, laporan sedemikian pun tak betul, di muka depan pula tu!

Kalau bersungguh-sungguh sangat pun mahu menyerang PAS dan pimpinannya terbitkanlah maklumat dan fakta yang betul. Jangan kerana terlalu ghairah mahu melihat orang lain jahanam kita terlupa kita turut menjahanamkan etika kewartawanan yang sepatutnya kita pikul dan junjung.

Monday, December 20, 2004

DEBAT PERDANA PENGHARAPAN TINGGI RAKYAT TERHADAP PAS

Saya telah mengambil masa mengundi dalam Poll SMS Harakah yang mahu mengukur, patutkah wakil PAS terus menyertai Debat Perdana RTM. Setelah mengundi saya menerima SMS menyatakan bahawa keputusan terkini menunjukkan:

83.28 peratus menyokong patut serta
16.11 peratus mengatakan tidak patut serta
0.61 peratus tidak tahu

Isu ini telah dibangkitkan dalam program Munaqasyah Ucapan dasar Presiden ke 50 yang telah diadakan di Taman Melewar pada hujung minggu lalu. Benarkah PAS mahu tarik diri dari menyertai siri-siri debat seterusnya ataupun mahu terus kekal menyertainya?

Bagi saya pertimbangan yang harus dibuat adalah samada menyertai debat ini menguntungkan PAS ataupun tidak dari segi politik dan matlamat perjuangan. Berdasarkan keputusan poll di atas jelas rakyat jelata yang mengambil bahagian (yang sebahagian besarnya sudah pasti adalah ahli-ahli PAS) mahu PAS terus menghantar wakil dan mengambil bahagian. Sebagai parti yang menghurmati dan menghargai pandangan ramai saya kira pimpinan PAS perlu akur dengan kehendak ini yang saya yakin tidak sekali-kali bertentangan dengan syarak.

Secara peribadi saya merasakan setelah Ustaz Nasharuddin, Husam Musa, Sallehudin Ayub, Mahfuz Omar dan Dr Siti Mariah Mahmud muncul mewakili PAS di dalam siri-siri debat berkenaan PAS sudah mula dianjakkan kembali ke dalam arus perdana politik negara setelah setback pilihanraya ke 11 lalu. Kelima-lima wakil PAS berkenaan sesungguhnya telah berjaya dalam misi mereka mewakili PAS dan sekaligus memaparkan kepada ramai akhlak, hati-budi dan keterampilan pimpinan PAS yang selama ini dimomok dan diserang oleh musuh.

Malah dari feedback yang BLOG ini terima rata-rata kelima-lima pemimpin berkenaan telah jauh mendahului wakil Umno dan BN dari segi hujah dan personaliti ketika berhadapan dengan persoalan yang bertubi-tubi dari setiap penjuru. Saya dan saya yakin ramai kalangan ahli dan penyokong begitu berbangga dengan persembahan mereka masing-masing sekaligus mencerminkan kepada ramai kematangan dan kewibawaan PAS sebagai parti politik Islam yang terunggul dalam Negara.

Debat ini merupakan peluang percuma bagi PAS untuk menonjolkan dirinya kepada masyarakat ramai. Kita sering dipinggirkan dari media perdana, suara kita disekat, pandangan kita dinafikan, melalui debat ini walaupun kita diserang dari pelbagai penjuru namun rakyat yang menyaksikan insyallah dapat membuat kesimpulan dan yang lebih penting lagi terdapat ruang untuk kita bersuara secara terbuka.

PAS sewajarnya menghargai peluang terbuka ini dan bersikap proaktif menyusun pasukan kerja bagi merampas peluang yang ada. Dulu kita pernah mencabar Umno dan BN agar memberi kita walau sedikit ruang untuk muncul di kaca TV dan radio, kini peluang diberikan, maka demi Allah gunakanlah peluang ini dengan sebaik-baiknya jangan hampakan harapan tinggi rakyat terhadap kita!

Sunday, December 19, 2004

BACKBENCHERS BN BERTARING TAPI TUMPUL

Akhbar THE SUNDAY STAR hari ini dalam ruangan LAST WEEK AT THE DEWAN RAKYAT melaporkan darihal perdebatan berhubung ura-ura kerajaan mahu menghentikan pemberian ubat-ubatan percuma di hospital dan klinik-klinik kerajaan. Isu ini timbul semasa sesi soal jawab apabila wakil Sri Gading Mohamad Aziz mempertikaikan kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan bahawa suatu cadangan sedang dibuat untuk menghentikan pemberian ubat ini memandang kos ataupun bebanan yang terlalu tinggi yang dipikul kerajaan.

Bersungguh-sungguh wakil-wakil BN menyerang cadangan ini dengan Mohamad menyatakan bahawa kementerian berkenaan jangan MENGADA-NGADA oleh kerana impaknya kelak ke atas rakyat yang telah memberikan sokongan besar kepada BN. Beliau menambah:

The rakyat will protest. The ministry should not try to act smart. Please listen to the peoples wishes. Do not change what they have accepted. Look for other means to get money or the rakyat would get angry.

Begitu marah dan kesalnya wakil BN terhadap cadangan kementerian berkenaan. Ucapan Mohamad menerima sokongan dan tepukan meja yang gemuruh dari wakil-wakil yang hadir.

Soalnya apakah kerajaan akan ambil peduli rintihan dan keluhan wakil-wakil mereka sendiri. Berdasarkan pengalaman isu kenaikan 10 peratus kadar tol di lebuhraya utara selatan baru-baru ini nampak-nampaknya keluhan dan bantahan mereka juga akan sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Dalam isu tol juga Mohamad dan rakan-rakannya telah menjerit dan melolong di dewan membantah hasrat kerajaan, namun kesudahannya jerit pekik mereka sekadar dijentik ke tepi sahaja, dan kalau trend ini berterusan nampaknya isu menghentikan pembekalan ubat percuma kepada rakyat ini juga akan menerima nasib yang sama.

Apa nak kata, segala-galanya pilihan dan kehendak rakyat jua maka terimal dan tanggunglah padah dan bahananya sehingga pilihanraya umum yang akan datang.

MENCIPTA GELOMBANG BARU BA

Disaat pimpinan PAS dipelbagai peringkat sedang bermunaqasyah di Dewan Dato Fadzil Nor di Taman Melewar pada waktu yang sama para pimpinan dan perwakilan Parti Keadilan Rakyat PKR sedang berkongres di Ipoh. Menurut beritanya Kongres PKR telah memilih saf kepimpinan baru antaranya Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presidennya manakala Naib-naib Presiden terdiri dari Azmin Ali, Dr Lee Boon Chye dan Sivarasa Rasiah. Sebelum itu Dr Wan Azizah telah diisytihar menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden.

Kedua-dua PAS dan PKR merupakan anggota pakatan Barisan Alternatif.

Saya tidak pasti apa yang dibincang dan dibahaskan di Ipoh namun di Taman Melewar yang pastinya rata-rata para perwakilan PAS menuntut agar kerjasama ataupun tahaluf yang diadakan dengan PKR melalui BA bukan hanya diteruskan malah diperkukuhkan lagi dengan mengelakkan apa sahaja perselisihan dan perbezaan yang hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak.

Matlamat utama adalah menghadapi Umno dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum ke 12 kira-kira 4 tahun lagi.

Saya percaya rakyat Malaysia yang prihatin mahu melihat kedua-dua parti ini meneruskan agenda perjuangan melalui BA dan sedapat mungkin menarik lebih banyak parti lain khususnya DAP untuk duduk bersama dan bekerja bagi mengempur BN demi menyelamatkan rakyat dan Negara.

Inilah masanya bagi kedua-dua parti duduk dan menyusun strategi bagi menghadapi musuh yang sama. Dengan kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim adalah diharapkan agar gelombang baru akan dapat dicipta oleh BA bagi memukul dan menghanyutkan BN yang menjadi semakin angkuh dan sombong dengan kemenangannya pada pilihnaraya umum yang lalu.

Saya yakin kiranya pimpinan kedua-dua parti komponan ini dapat duduk secara serius dan saling hurmat-menghurmati pasti satu gagasan yang lebih teguh dan mantap dapat dibina dan dipacu demi kebaikan bersama.

Tambahan dengan terpilihnya 3 orang Naib Presiden dari pelbagai bangsa menerajui PKR sudah pasti parti tersebut akan mampu menarik minat pelbagai lapisan kaum untuk kembali bertaut dan memberikan keyakinan dan sokongan kepada PKR dan BA pada pilihnaraya ke 12 nanti.

Tahniah kepada kedua-dua pihak teruskan perjuangan dan jangan menghampakan harapan rakyat Malaysia yang rindukan pembaharuan!

Saturday, December 18, 2004

PROGRAM MUNAQASYAH: PAS BERSEDIA BELAJAR DARI KELEMAHAN

PAS hari ini mengadakan program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden kali ke 50 yang diadakan di Taman Melewar selama dua hari mulai hari ini. Di dalam ucapan peresmiannya Presiden PAS Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang telah menyeru ahli dan pimpinan PAS agar berterusan berpegang kepada sumber kekuatan yang telah dikurniakan oleh Allah swt kepada para pejuang Islam iaitu al Quran.

Beliau menegaskan dalam hal ini Allah swt telah berpesan di dalam Surah Yunus ayat ke 88-89 yang bermaksud:

Musa berkata: Ya Tuhan kami sesungguhnya Engkautelah memberi kepada Firaun dan pemuka-pemukanya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia. Ya Tuhan kami mereka telah menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami binasakanlah harta benda mereka dan tutuplah hati mereka sesungguhnya mereka tidak akan beriman melainkan diperlihatkan azab yang pedih.

Allah berfirman: Sesungguhnya telah diperkenankan permohonan kamu berdua MAKA TETAPLAH kamu berdua pada JALAN YANG LURUS dan JANGAN SEKALI-KALI kamu mengikuti jalan ORANG-ORANG YANG TIDAK MENGETAHUI.

Bermakna ahli dan pimpinan PAS dalam menghadapi arus perjuangan ini hendaklah istiqomah dan terus berada di jalan yang lurus yang diredhai oleh Allah swt dan jangan sekali-kali terpedaya dengan muslihat musuh-musuh politik yang sesungguhnya tidak mengetahui akan kebenaran.

Program munaqasyah ini pada hari yang pertama telah melihat Kertas Postmortem Pilihanraya Umum ke 11 telah dibentangkan oleh Dato’ Mustafa Ali selaku pengerusi jawatankuasa post mortem PAS Pusat. Para perwakilan dari setiap negeri dan dewan-dewan telah secara terbuka dan berani membahaskan kandungan laporan tersebut termasuklah mengeluarkan teguran dan pandangan yang bernas.

Program hari pertama ini telah berjaya menunjukkan betapa PAS bersedia bermuhasabah meneropong dan mencermin kelemahan masing-masing dari semua peringkat dengan matlamat menyusun dan membina kembali kekauatn bagi menghadapi pilihnaraya umum ke 12 setelah mengalami setback pada pilihanraya umum lalu.

Kematangan ahli dan pimpinan PAS dalam bertukar-tukar hujah dan pandangan ini dikira merupakan petanda baik kearah pemerkasaan parti tersebut untuk terus menjadi relevan dan diterima pada pilihanraya-pilihanraya yang seterusnya.

Sekiranya pandangan-pandangan yang telah dilontarkan diterima pakai oleh para perwakilan bermakna tahun 2005 nanti dan tahun-tahun berikutnya akan menyaksikan sebuah PAS yang telah berjaya membina imej baru serta melangkah dengan teratur bagi menawan dan menambat hati rakyat demi memikul sokongan bagi merealisasikan cita-cita perjuangannya.

Sikap kematangan pimpinan dan ahli-ahli PAS yang berani menegur dan ditegur ini pasti membimbangkan banyak pihak yang sekaligus membuktikan keutuhan perpaduan dan kesepaduan idea dan fikrah sesama jemaah yang pasti merunsingkan mush-musuh politiknya.

Selurh saf pimpinan termasuklah Mursyidul Am sendir dilihat berada sehari suntuk bagi mengikuti program ini membuktikan betapa seriusnya PAS dalam menangani isu ini, tahniah mudah-mudahan berjaya insyallah.

Friday, December 17, 2004

TOL NAIK 10 PERATUS HADIAH KRISMAS KERANA MENGUNDI BN

Seperti dijangkakan walaupun seluruh ahli parlimen Malaysia yang sepatutnya mewakili seluruh rakyat dalam negara ini menentang kenaikannya namun sebagaimana diumumkan oleh Menteri Kerjaraya cabinet tetap bersetuju dengan kenaikan tol lebuhraya utara selatan NSE pada kadar 10 peratus mulai Januari ini.

Menurut akhbar THE STAR:

Samy Vellu said MPs should understand the burden that the government had been bearing. If the government keeps on trying to make other people happy because of their own popularity the government will eventually pay RM38 billion in compensation.

Samy Vellu turut berkata bahawa PLUS tidak mengalami keuntungan dan sebaliknya dijangka mula memungut keuntungan selepas 15 tahun beroperasi.

Pasti ramai yang akan merungut dengan kenyataan ini. Kenaikan kadar 10 peratus ini agak besar dan pasti akan melimpah dan mengakibatkan kenaikan barangan lain yang terjejas akibatnya khususnya industri pengangkutan yang telah pun sedia dibebankan dengan kenaikan harga petrol baru-baru ini.

Mengapa apabila kita mengumumkan kenaikan harga satu-satu barangan ataupun perkhidmatan kita sering mengaitkannya dengan beban yang dipikul kerajaan. Dalam hal ini tol dan sebelum ini petrol merupakan barangan dan perkhidmatan yang secara langsung impak kenaikannya terkena terus kepada rakyat.

Mengapa kita tidak membicarakan darihal beban lain yang dipikul kerajaan yang tidak mengena langsung kepada rakyat. Contohnya beban menanggung Putrajaya dari kadar sewanya sehingga infrastruktur mewah dan membazir. Pembinaannya menjangkau RM5.2 billion, mahligai PM RM200juta dan seumpamanya.

Kerugian yang diakibatkan pelaburan dari badan dan agensi kerajaan yang kini ditanggung secara percuma oleh kerajaan contohnya kerugian yang menimpa SUKOM, PEWAJA dan pelaburan Tabung Haji yang lesap serta pelbagai lagi projek mega dan mewah yang beban akhirnya dihumbankan kepada rakyat.

Tiba-tiba dalam hal yang menyangkut langsung kepada kepentingan rakyat, alasan mengelakkan bebanan kepada kerajaan digunakan. Dahulu kenaikan harga petrol juga demi mengurangkan bebanan subsidi kerajaan dan tidak lama lagi kos ubat-ubatan di hospital kerajaan dan entah apa-apa lagi nanti.

Demikianlah lantaran mengejar KECERMERLANGAN, KEGEMILANGAN dan KETERBILANGAN rakyat yang menjadi mangsa. Harga barang terus naik dan akan naik, harga hasil pertanian tidak lumayan, kenaikan elaun dan gaji kakitangan kerajaan dan swasta tidak menjadi, apa nak kata selain MALAYSIA BOLEH!

Thursday, December 16, 2004

BARANG NAIK TERUS NAIK

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Menteri Kerjaraya bahawa kadar tol untuk Lebuhraya PLUS Utara Selatan akan dinaikkan sebanyak 10% bermula tahun 2005. Parlimen yang sedang bersidang diberitakan sebulat suara menolak cadangan kenaikan tersebut namun yang pastinya ia kemungkinan besar akan naik juga cuma tempoh masa sahaja yang akan menentukan.

Sebelum itu kita turut dikejutkan dengan kenaikan harga petrol yang menimpa tanpa dapat dielak lagi.

Hari ini menurut Bernama harga bekalan air pula yang akan naik di Lembah Kelang:

Klang Valley's six million water consumers must be prepared for a 15 percent tariff hike in a year's time, said Energy, Water and Communications Minister Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik

Bemakna harga air di Lembah Kelang akan naik pula sekitar 15 peratus.

Nampaknya keselesaan hidup pada hari ini terpaksa dibayar dengan harga yang mahal oleh rakyat. Petrol naik, tol naik, air naik dan lepas ini entah apa-apa lagi yang akan naik kecuali yang susah nak naik adalah GAJI PEKERJA.

Kita juga mendengar ada ura-ura mahu mula mengenakan caj bayaran khidmat kesihatan yang diberikan di hospital-hospital kerajaan, satu laga bahana untuk rakyat kebanyakan.

Demikianlah harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat apabila matlamat kerajaan semata-mata mahu menghambat pembangunan ekonomi dalam bentuk fizikal. Walaupun kebajikan rakyat tercicir yang pentingnya kita mahu menjadi negara maju, kita mahu setanding dengan negara-negara dunia pertama yang lain, harga yang mahal masing-masing akan pikul demi mengejar cita-cita negara CEMERLANG GEMILANG DAN TERBILANG.

PINTU PAGAR UMNO MASIH DITUTUP RAPAT

Tiga lagi ahli Umno digantung keahliannya oleh Jawatankuasa Disiplin parti tersebut. Bermakna sehingga kini 40 orang telah digantung keahliannya selama 3 tahun manakala seramai 12 didapati bersalah dan dilepaskan dengan amaran. Kebanyakkan mereka ini terlibat dengan politik wang ataupun jenayah rasuah menurut isitlah yang diberikan oleh Badan Pencegah Rasuah. Aktiviti membeli kuasa dan kedudukan ini berlaku dengan hebatnya ketika Umno melalui proses pemilihan diperingkat bahagian dan pusat baru-baru ini.

Yang menghairankan BPR telah pun membuat kenyataan bahawa sebarang aktiviti membeli sokongan termasuklah dalam pemilihan parti adalah merupakan jenayah rasuah. Banyak pihak termasuk dari Suhakam telah meminta agar tindakan segera diambil terhadap mana-mana pihak yang mengamalkan budaya tercemar ini. Namun sehingga kini BPR tidak pun bergerak malah mencuit pun tidak.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno Tengku Ahmad Ritahuddeen bila ditanya adakah pihak BPR telah menghubungi beliau (THE SUN):

Tengku Ahmad said they HAVE NOT.

Sedangkan dalam akhbar THE STAR yang memetik majlis yang sama dilaporkan:

On the response to the offer of immunity to informers who received money during the recent party election Tengku Ahmad Ritahuddeen said it was ENCOURAGING but declined to elaborate

Bermakna jawatankuasa ini telah menerima maklumat dan bukti bahawa terdapat amalan jenayah rasuah yang berlaku semasa pewmilihan Umno namun tidak melaporkannya kepada BPR malah lebih memualkan lagi pihak BPR yang diharapkan menjadi agensi juara untuk memerangi rasuah di negara kita mengambil sikap membisu mendiamkan diri.

Malah Tengku Ahmad pula dilaporkan berkata dalam THE SUN

What is considered an offence under this code (KOD ETIKA UMNO) may not be so under the agencys Prevention of Corruption Act.

Soal samada berlaku ataupun tidak jenayah rasuah bukan hak Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Presiden, Timbalan Presiden ataupun mana-mana pihak untuk membuat kenyataan tambahan pula yang dari Umno kerana mereka memiliki elemen kepentingan. Takkanlah Tengku Ahmad selaku bekas majistret tidak tahu akan hal ini. Serahkan kepada agensi yang diberi kuasa untuk menyiasat. Kalau benar Presiden Umno dan pimpinan baru Umno ini telus dan bersih serta bersungguh mahu membenteras rasuah maka rongkaikanlah ikatan yang berada ditangan, kaki dan mulut BPR itu. Bebaskan mereka untuk benar-benar bebas membuat penyiasatan dan mengambil tindakan. Kerana berdasarkan perkembangan terbaru ini jelas di sana terdapat tangan ghaib yang menghalang BPR dari berani untuk bertindak.

Jika pintu pagar Umno berterusan ditutup rapat dan pimpinan Umno cuma menjerit-melolong dari dalam sahaja kononnya mahu membentras rasuah, maka sampai bila-bila pun imej rasuah, kronisma dan nepotisma yang hodoh dan busuk itu akan kekal melekat di wajah Umno yang sudah tercemar itu.




Wednesday, December 15, 2004

BANJIR PUN MAHU DIPOLITIKKAN

Semalam Buletin Utama TV3 menyiarkan sebagai headline nya kejadian banjir di Kelantan. Antara yang ditonjolkan adalah kononnya kelewatan bantuan kebajikan kepada kira-kira 300 orang mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah sekolah di Kota Bharu. Menurut mangsa-mangsa yang sengaja ditemuramah, kononnya mereka semalaman tidak makan oleh kerana lewatnya tiba bekalan makanan. Apabila tiba beras dan sebagainya peralatan masak pula tiada.

TV3 kemudiannya menemuramah ahli Parlimen Kota Bharu Zaid Ibrahim yang menyatakan kekesalannya di atas kelewatan bantuan tersebut. Malah beliau mendakwa terpaksa menyalurkan bantuan parti (umno) untuk mangsa berkenaan memandangkan kelewatan tersebut. Walaupun tidak disebut, jelas rungutan dan aduan tersebut dituju ke arah kerajaan negeri Kelantan.

Segemen seterusnya Buletin Utama menyiarkan majlis taklimat banjir yang diberikan oleh SUK Kelantan kepada TPM Najib Tun Razak yang turut dihadiri oleh Tuan Guru MB, barisan EXCO dan wakil rakyat Umno.

Mengapa TV3 mahu highlight kejadian di Kota Bharu itu saya kurang pasti yang jelasnya di sana ada niat jahat untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri PAS tidak cekap mengendalikan malapetaka yang tidak diundang ini.

Malapetaka ini tidak kenal orang, orang PAS, orang Umno, orang tak berparti semua kena. Mengapa harus kita mahu menangguk di air keroh? Mengapa Zaid perlu mendabik dada menghulur bantuan partinya sedangkan beliau adalah ahli Parlimen Kota Bharu yang mempunyai peruntukkan yang disediakan oleh kerajaan pusat?

Saya yakin dalam kecelaruan banjir yang terburuk sejak 20 tahun ini sudah tentu akan ada kelewatan dan kekurangan di sini-sana. Mangsa perlulah bersabar dalam kesusahan ini. Agensi yang terlibat dalam menghulurkan bantuan kecemasan ini bukan hanya melibatkan agensi negeri malah dari pusat turut terlibat.

Kalau nak dipolitikkan banjir ini macam-macam isu boleh dieksploitasi, ada orang kata sejak PAS memerintah secara aman tak pernah banjir seburuk ini tiba-tiba bila BN hampir rampas kuasa diturunkan bala sedemikian rupa, bayangkan kalau BN menang. Namun tidak moleklah dieksploitasi sehingga demikian rupa.

Begitu juga semalam Najib Tun Razak dikatakan bersungguh turun ke Kelantan nak bantu itu dan ini tetapi bila hulur bantuan kecemasan cuma RM50,000 sahaja diserah sedangkan banjir menimpa begitu dahsyat sekali. Namun kita yakin itu adalah bantuan serta-merta dan sebagaimana jaminan TPM kerajaan Pusat akan membantu dalam bentuk kewangan berupa pampasan kepada mangsa-mangsa banjir berdasarkan penilaian yang akan nanti dilakukan oleh kerajaan negeri.

Dalam mengharungi masalah yang menimpa umat Melayu Islam ini seharusnya kita berlapang dada dan bersikap terbuka. Tolaklah politik ke tepi dulu, demi agama dan bangsa kita bekerjasama untuk menyelesaikannya.

Tahniah TV3 kerana meletakkan diri anda sebagai saluran media yang tidak bermaruah berhibur sewaktu rakyat ditimpa malapetaka!

Tuesday, December 14, 2004

SYABAS SEKALI LAGI DATUK HAMDAN

Semalam saya menulis darihal kenyataan Pesuruhjaya SUHAKAM Hamdan Adnan berkenaan isu ISA dan tahanan di Kem Kemunting. Hamdan telah mendesak kerajaan samada membicarakan tahanan-tahanan ini ataupun membebaskan mereka. Hari ini dalam akhbar tempatan Hamdan mengeluarkan satu lagi kenyataan berani, kali ini berkenaan Badan Pencegah Rasuah.

Kata Hamdan BPR perlu memainkan peranan yang proaktif terutama yang melibatkan individu dan kumpulan berprofil tinggi. Hamdan memberi contoh darihal gejala rasuah yang berlaku dalam pilihnaraya umum dan pemilihan pucuk pimpinan sebuah parti politik baru-baru ini.

Sekali lagi Pesuruhjaya SUAHAKAM yang benar-benar bekerja ini telah mengeluarkan kenyataan yang tidak berani disebut oleh mana-mana pihak atasan walaupun umum mengetahui darihal kewujudannya. Suara Hamdan ini dikira suara keramat yang terbit dari ketulusan hati seorang Pesuruhjaya SUHAKAM yang tidak memiliki apa-apa kepentingan melainkan mahu melihat hak asasi manusia terjamin dan terbela dalam Negara yang tercinta ini.

Kegagalan pihak BPR bertindak secara telus dan terbuka pasti mencetuskan syak wasangka dikalangan rakyat dan seterusnya akan membakar krisis keyakinan rakyat terhadap mereka selaku agensi yang diamanahkan untuk membenteras dan memerangi rasuah.

Kata Hamdan sebagaimana di petik oleh THE STAR:

By failing to do so the ACA would be seen as merely following orders or waiting for complaints to fall into its lap.

Jangan sampai BPR dituduh menjadi ejen kerajaan semata-mata, melindungi mereka yang berkepentingan dan menyerang serta mengheret mereka yang sudah hilang kepentingan atas telunjuk pihak atasan.

Seorang bekas orang kuat ABIM dituduh rasuah kerana membuat pelaburan semasa mempengerusikan sebuah badan kerajaan. Pelaburan tersebut dikatakan tidak mengikut prosedur dan kemudiannya mengalami paper loss pula lalu hamba Allah yang tidak meraih sebarang keuntungan peribadi itu diseret ke mahkamah dan dituduh rasuah sebaik sahaja Anwar Ibrahim ditendang keluar dari Umno. Akan tetapi seorang Menteri dan rakan-rakannya yang didapati menyelewengkan RM36.5juta wang milik Rakyat Termiskin PPRT sekarang tetap menjadi wakil rakyat (Ketua Perhubungan Umno Negeri pula) dan seorang rakannya yang pernah ditahan kerana bersubahat kini dilantik menjadi Pengarah Eksekutif sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia (bendahari Umno Bahagian pula).

Kesimpulannya jalankanlah tugas kerana Allah berani kerana benar sebagaimana firman Allah swt dalam Surah al Maidah ayat 8:

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang menegakan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap satu kaum, mendorong untuk kamu berbuat tidak adil. Berlaku adillah karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan

Syabas sekali lagi Prof Dato Hj Mohd Hamdan Adnan!

Monday, December 13, 2004

BICARA ATAU BEBASKAN MEREKA

Akhbar tempatan hari ini melaporkan betapa Pesuruhjaya SUHAKAM Hamdan Adnan memohon pihak berwajib samada membicarakan tahanan-tahanan ISA yang berada di Kem Kemunting ataupun bebaskan sahaja mereka. Hamdan membuat kenyataan ini setelah melihat sendiri keadaan mereka yang ditahan di Kamunting ekoran kejadian rusuhan di sana baru-baru ini.

Pastinya rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan bencikan kezaliman akan berbangga dengan kenyataan berani Hamdan ini. Tidak ramai yang memiliki kedudukan sanggup bersuara sedemikian walaupun menyedari bahawa tindakan melalui ISA itu sesungguhnya tidak berperi kemanusiaan.

Menahan seseorang tanpa bicara merupakan suatu pencabulan hak asasi manusia, zalim dan sudah pasti bertentangan dengan agama. Menurut laporan terdapat hampir 80 individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan di Kamunting atas tuduhan kononnya terlibat dengan kumpulan pengganas Jemaah Islam. Namun sehingga kini tidak seorang pun dari mereka yang telah diheret ke mahkamah untuk dibicarakan terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan.

Bagaimanakah kita mungkin menghukum seseorang semata-mata kerana fahaman ataupun kepercayaannnya, lebih jijik lagi dihukum pula tanpa dibicarakan dan diberi peluang untuk membela diri. Kita pisahkan anak dengan ibu-bapanya, kita pisahkan suami dan isteri, ayah dan anak-anaknya semata-mata kerana kita berpuas-hati bahawa kehadiran mereka di luar akan mengancam keselamatan negara, apakah benar demikian?

Semua rakyat Malaysia tidak dapat menerima malah bencikan keganasan, sekiranya 80 hamba Allah ini benar-benar terlibat dengan keganasan, samada memiliki bahan letupan ataupun senjatapi ataupun telah melakukan apa sahaja jenayah yang termaktub dalam perundangan negara, mengapa mereka ini tidak dibicarakan?

Diperingkat antarabangsa kita mahu dilihat sebagai jaguh hak asasi manusia, kita kutuk penahanan Su Kyi di Myanmar, kita kritik penahanan tanpa bicara warga Afghanistan dan pendukungnya di Guantanamo Bay di Cuba tetapi dalam waktu yang sama kita tidak segan dan malu menahan dan menzalimi rakyat kita sendiri melalui undang-undang rimba ISA!

Wajarlah sangat mereka ini dibebaskan agar dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Memetik kata-kata Mursyidul Am PAS pada bulan September 2003 lalu:

Saya tak boleh terima ISA. Bawalah ke mahkamah. Tuduh orang sebagai jahat, tuduh orang tanpa bawa ke mahkamah, menjatuhkan maruah orang. Air muka manusia satu daripada benda yang wajib dipertahankan oleh syariat Islam. Jadi selagi tidak guna mahkamah maka kerajaan BN zalim. Insya Allah saya berdoa, semakin ramai rakyat Malaysia benci kepada kerajaan BN. Dia akan tanggung laknat atas dunia dan dosa di akhirat kelak

Syabas Hamdan mudaha-mudahan terbukalah pintu hati si zalim berkenaan.





Sunday, December 12, 2004

SELANGOR SUDAH MAJU KATA KHIR TOYO

Ketika berucap menjunjung kasih sempena ulangtahun keputeraan DYMM Sultan Selangor semalam MB Selangor berkata Selangor tidak perlu menunggu tanggal 31 Ogos 2005 untuk diisytiharkan sebagai negeri maju oleh kerana menurut petunjuk yang ada Selangor telah pun mencapai taraf negeri maju yang dicita-citakan.

Kejayaan ini berdasarkan 75 petunjuk yang mengukur kemampuan negeri tersebut. Antaranya menurut Khir kuasa membeli per kapita menurut perbandingan bagi Selangor pada tahun 2003 adalah RM44 800 ataupun USD 11 782 berbanding dengan hitung panjang per kapita Negara maju iaitu USD 10 000.

Saya tidak pasti apakah ukuran yang dimaksudkan oleh Khir yang dipantau oleh Pusat Produktiviti Negara, UIA dan UITM itu benar-benar mencerminkan keadaan sebenar di peringkat akar-umbi di negeri Selangor atau sekadar angka bagi menyedapkan halwa telinga dan bagi bahan politik untuk berbangga dan mendabik dada sedangkan di bawah tidak demikian.

Kemungkinan kita perlu bertanya juga umpamanya pada setinggan di Kampung Medan, Kg. Penaga dan Kg. Desa Hurmat. Ukur keadaan hidup mereka yang tinggal di rumah-rumah kos murah dan rumah pangsa kos murah yang tinggi mélangit macam sarang merpati itu.

Jangan lupa mereka yang tinggal bergantung pada hasil kelapa yang sentiasa merungut biarlah buahnya di pokok sahaja.

Bulan Disember ini bulan yang paling sesuai untuk membuat kajian kerana ketika inilah ibu-bapa sedang bergelut mengumpulkan dana untuk membiayai persekolahan anak masing-masing. Rungutan yang biasa didengar, harga pakaian seragam sekolah mahal, buku dan peralatan mahal, tambang bas, tuisyen dan lain-lain yang berkaitan, cuba tanya mereka ini setujukah Selangor ini dah menjadi Negara Maju!

Pernahkah kita buat perbandingan secara menyeluruh antara pendapatan rakyat Selangor dengan pendapat rakyat di Negara maju yang lain? Maaf Dato Seri saya kurang percaya dan saya yakin saya bukan berseorangan dalam hal ini.

Kalau sekadar ada Pusat Latihan ICT di kampung-kampung, yang dikunjungi oleh anggota JKK dan anak-beranak mereka pada waktu dan ketika tertentu maka Selangor dah jadi negeri maju, susahlah sedikit nak terima. Cuba kita buat kajian juga berapa ramai anak Selangor yang terlibat dengan AH LONG berhutang kerana tak mampu nak membiayai persekolahan anak, nak melangsungkan kenduri-kendara, hendak membesarkan perniagaan kerana institusi yang sepatutnya membantu cuma memberi perhatian pada kroni dan yang ada saluran sahaja.

Saya bukannya tidak bersetuju semata-mata kerana tidak menyokong Dato Seri akan tetapi saya merasakan pengisytiharan ini sesungguhnya tidak mencerminkan nadi dan denyutan jantung rakyat negeri ini yang sebenarnya.

BUNGAPI DAN MERCUN: HARAM TETAPI MASIH BERDENTUM

Satu ketika dahulu berlaku suatu malapetaka di Sungai Buloh Selangor yang telah mengorbankan nyawa dan hartabenda apabila kilang bungapi milik syarikat BRIGHT SPARKLERS telah meletup akibat masalah teknikal di stor bahan letupannya.Ekoran dari peristiwa malang tersebut kerajaan telah mengharamkan pengeluaran dan pengilangan bungapi dan mercun.

Kemudiannya hasil dari rungutan orang-ramai ekoran kecederaan yang menimpa kanak-kanak dan orang dewasa hasil dari bermain bungapi dan mercun yang telah di olah sendiri kerajaan telah bertindak mengharamkan sama sekali pengimportan semua jenis bunga api dan mercun. Kedua-dua larangan mengilang dan mengimpot ini telah berlarutan hampir 10 tahun.

Hari ini dalam akhbar THE SUNDAY STAR dalam ruangan surat dari pembacanya terdapat seorang pengirim bernama LAI PANG POW yang telah menyentuh isu ini dalam komennya bertajuk:

BAN ON FIRECRACKERS IS A MOCKERY

Sesungguhnya umum mengetahui bahawa walaupun larangan ini telah berkuatkuasa sekian lama namun hakikatnya bungapi dan mercun masih boleh didapati dipasaran terbuka dan pasaran gelap setiap kali musim perayaan tiba.

Bermakna larangan kerajaan ini hanyalah sekadar permainan mulut semata-mata, realitinya kerajaan seolah-olah samada tidak mampu menguatkuasakan larangan ini ataupun agensi penguatkuasaan yang terlibat bermain kayu tiga dengan larangan ini dalam erti kata lain wujudnya elemen rasuah sehingga mengakibatkan larangan ini seolah-olah menjadi satu persendaan sahaja.

Bungapi dangkali kerana lumayannya mercun ini sudah pasti berjaya diseludup ke dalam Negara dengan ikhsan dan bantuan agensi penguatkuasaan barangkali kerana lumayannya sogokan yang diberi.

Saya berani mengatakan demikian oleh kerana bungapi dan mercun ini merupakan CONSIGNMENT yang besar dan berat, ia biasanya di impot dari Negara Cina ataupun Thailand. Bermakna jika larangan pengimportannya berkuatkuasa bagaimana barangan ini masih terdapat dalam pasaran jika tidak ianya diseludup secara terang-terangan dengan kerjasama pihak tertentu melalui laut jika dari Negara Cina ataupun melalui darat jika dari Thailand.

Benar kita sering melihat pihak kastam khususnya berjaya merampas beberapa CONSIGNEMENT bungapi dan mercun dari jalan darat dan laut namun setiap kali musim perayaan barangan yang sama boleh didapati di pasaran secara besar-besaran, jadi bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Menurut seorang rakan semasa bungapi dan mercun dibenarkan pengimportannya dahulu duti ke atasnya dianggarkan lebih kurang 50 ke 55 peratus. Bermakna hasil yang diperolehi dari pengimportan bungapi dan mercun ini sungguh lumayan. Kini ianya diharamkan, namun masih boleh didapati di pasaran bermakna kerajaan bukan sekadar mempersendakan larangannya sendiri malah membenarkan hasil yang lumayan hangus begitu sahaja oleh kerana ianya tidak lagi diikrarkan tetapi diseledup begitu sahaja.

Kalau bungapi dan mercun menimpa nasib sebegini bayangkan bagaimana pula yang berlaku ke atas najis dadah dan senjatapi haram?

LAI mencadangkan dari larangan ini menjadi persendaan dari tahun ke tahun lebih baik pengimportan bungapi dan mercun ini ditarik balik sahaja. Sekurang-kurangnya kerajaan dapat mengutip hasil dan petualang yang terlibat dalam penyeludupan ini samada agensi penguatkuasa sendiri ataupun individu dan kumpulan penyeledup akan hilang hasil mereka. Kalau tidak teruskan sahajalah mengharamkannya maka akan terus bermaharajalelalah penyeludup dan mereka yang menerima sogokan ehsan dari kerajaan Malaysia.

Friday, December 10, 2004

MEMANFAATKAN SIRI DEBAT PERDANA

Siri Debat Perdana pada setiap hari Ahad di RTM semakin menarik minat ramai dan saya percaya dari segi populariti ia telah pun jauh meninggalkan FORUM EHWAL SEMASA pra 1999 dahulu. Rakyat berbilang kaum dapat memerhati dan menilai sendiri keupayaan dan kemampuan wakil parti-parti politik dan NGO dalam menangani satu-satu isu yang diketengahkan. Sudah pastilah yang paling menarik apabila melihat wakil-wakil pembangkang khususnya dari PAS dan DAP diberi peluang untuk berhujah secara langsung walaupun dalam keadaan diserang dan ditekan kiri-kanan oleh anggota panel lain termasuklah moderatornya sendiri.

Ramai yang sebelum ini tidak pernah mendengar ataupun melihat secara langsung wakil-wakil PAS contohnya, dapat melihatnya sekaligus mendapat maklumat secara langsung dan tidak lagi dari pihak ketiga dan keempat yang selalunya berat sebelah dan tidak jujur.
Dari kaki-kaki gunung dan tanah tinggi Sabah, sehinggalah hutan belantara dan pedalaman Sarawak, penempatan orang asli, kampung-kampung Melayu tradisional tertentu yang tidak ada langsung cawangan PAS khasnya di Johor, kuarters buruh di estet-estet getah dan kelapa sawit, kawasan perumahan masyarakat Cina, rumah-rumah pangsa dan setinggan, taman-taman masyarakat elit semuanya mula terdedah kepada hujah-hujah wakil PAS yang sebelum ini adalah asing bagi mereka.

Lantaran itu PAS perlu memastikan wakil-wakilnya agar benar-benar bersedia dan lengkap dengan hujah-hujah yang bernas dan jitu. Rata-rata dari beberapa siri yang lepas kesemua wakil PAS dilihat COOL sentiasa tenang dan tidak melenting sebagaimana wakil-wakli BN khususnya dari Umno. Ini sahaja saya yakin telah memprojekkan satu imej yang baik bagi PAS, tidak emosional dan bengis seperti yang selalu cuba digambarkan.

Walaubagaimanapun saya perhatikan dalam siri Debat Perdana yang berligar sekitar isu perpaduan Negara itu terdapat beberapa perkara berhubung pencapaian PAS tidak berapa ditonjolkan oleh wakil-wakil PAS. Dari siri-siri yang lepas kita melihat betapa moderatornya bersungguh mahu mengambarkan PAS sebagai sebuah parti ekstrim agama, juara pecah-belah masyarakat, anti perpaduan dan tidak peka terhadap konsep berbilang kaum yang wujud dalam Negara. Maka wakil PAS perlu focus dalam hal-hal ini dan melontarkan pencapaian PAS yang sekaligus dapat mematikan persepsi jahat yang cuba ditonjolakan itu.

Dalam siri-siri yang lepas saya lihat beberapa hujah berhubung isu ini yang dilontarkan oleh wakil-wakil PAS dapat diterima dengan senang hati oleh masyarakat umum. Contohnya apabila HUSAM menceritakan pengalamannya dikampus dengan ROOMMATE berbangsa Cina dan betapa beliau telah mempelawa seorang miskin dari masyarakat Cina duduk makan semeja bersama-sama beliau, ini merupakan STATEMENT yang bagi masyarakat umum Malaysia sesuatu yang bukan PAS. Begitu juga apabila SALAHUDDIN dengan bangga menyatakan ada darah Cina mengalir dalam tubuhnya, ini juga sesuatu yang bukan PAS walaupun ianya sebenarnya suatu yang NATURAL. Dan demikianlah juga apabila DR SITI MARIAH menyatakan ada meraikan sahabat-sahabat bukan Islam di rumahnya sempena Hari Raya baru-baru ini, ianya suatu yang COMMON bagi yang tahu namun bagi ramai yang tidak tahu akan tersentak rupa-rupannya PAS ini boleh duduk dan makan-makan dengan orang bukan Islam.

Percayalah walaupun perkara ini bagi beberapa kalangan mungkin nampak remeh namun bagi menghadapi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum yang selama hampir 50 tahun telah dicuci mindanya dengan pelbagai tohmahan terhadap PAS, STATEMENT sebegini penting dan memberikan gambaran baru terhadap PAS.

Beberapa pencapaian PAS yang perlu turut ditonjolkan antara lain adalah:

PERTAMA wakil PAS duduk dalam jawatankuasa perpaduan kaum yang dibentuk oleh MAGERAN selepas tercetusnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969, salah seorangnya Timbalan Presiden PAS hari ini Senator Hassan Shukri membuktikan betapa PAS prihatin dan iktiraf kepentingan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

KEDUA dalam soal hubungan kaum tidak seperti Umno PAS bersedia meletakkan masyarakat bukan Melayu menjadi ketua dan calon-calonnya asalkan ia seorang ahli parti. Contohnya Dato’ Hj. Annuar Tan merupakan seorang ADUN PAS di Kelantan, seorang anggota EXCO kerajaan negeri dan AJK PAS Pusat. Jadi bagaimana mungkin PAS dikatakan meminggirkan masyarakat bukan Melayu.

KETIGA pencapaian di Kelantan dan 4 tahun di Terengganu perlu ditonjolkan khususnya dalam soal bantuan kerajaan PAS kepada SRJKC dan SRJKT. Pembinaan rumah ibadat bukan Islam serta tanah perkuburan di Kelantan dan Terengganu. Wakil PAS perlu dibekalkan untuk berhujah atas isu ini siap dengan angka dan fakta.

KEEMPAT tonjolkan kebebasan masyarakat bukan Melayu di Kelantan. Persekolahan mereka, budaya dan makanan mereka yang dijamin oleh kerajaan negeri.

KELIMA kupas konsep Negara Islam berdasarkan hak masyarakat bukan Islam. PAS menjanjikan bahawa undang-undang Islam adalah elektif ke atas rakyat bukan Islam dan bukannya wajib. Ia kena terpakai oleh umat Islam sahaja dan STATEMENT ini perlu sentiasa ditekankan.

Banyak lagi yang boleh kita fikirkan dan saya yakin kiranya PAS dapat membawa ketengah isu-isu seumpama ini, pasti ramai yang akan makin terbuka matanya terhadap PAS lantas Debat Perdana ini akan menjadi satu media percuma bagi PAS untuk memperkenalkan dirinya dan sekaligus membersihkan dirinya dari pelbagai tohmahan jahat Umno dan BN.

Hendak menang berhujah melawan tiga empat pendebat lain memanglah sukar namun yang penting bagi PAS adalah mengeksploitasi kehadiran rakyat Malaysia di depan kaca TV masing-masing ketika itu. Teruskan berhujah dengan tenang dan tertib tanpa memperdulikan gelagat pendebat lain namun perhebatkan lagi penampilan dengan hujah yang bernas dan angka-angka yang akan lebih meyakinkan.