BATAL KONSERT TAHUN BARU PAK LAH AKUR SERUAN HADI
Edisi terbaru HARAKAH yang akan berada di pasaran esok memuatkan tajuk gesaan PAS agar kerajaan membatalkan upacara sambutan tahun baru 2005 kerana insaf dan menghormati bencana tsunami tempoh hari serta mangsa-mangsa yang telah pulang ke rahmatullah akibatnya.
Manakala Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Menangani Tsunami PAS Kedah, Mahfuz Omar mengesyorkan agar kerajaan mengarahkan seluruh masjid di negara ini mengadakan majlis tahlil, solat hajat dan bacaan yasin untuk kesejahteraan rakyat.
Memang pesta menyambut ambang tahun baru setiap tahun di negara kita dipenuhi dengan upacara dan konsert maksiat sehingga menjelang subuh. Sesuai sangatlah dalam kita menerima isyarat dari Allah swt ini kita insaf dan tidak menambahkan lagi ruang dan punca bagi Allah swt berterusan menurunkan kemurkaannya yang apabila turun tidak akan mengenal insan yang baik ataupun sebaliknya.
Firman Allah Taala dalam surah Al Ankabuut ayat 40 bermaksud,
Masing-masing Kami seksa kerana dosanya; di antara mereka ada yang Kami kirim kepadanya angin taufan (yang mengandungi pasir) dan di antara mereka ada diseksa oleh teriakan yang keras (terus mati) dan di antara mereka ada yang Kami benamkankan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang Kami tenggelamkan (dalam laut). Allah tiada menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
Alhamdulillah belum pun terbit HARAKAH yang dimaksudkan di pasaran Perdana Menteri Pak Lah Badawi telah mengarahkan semua pihak termasuklah swasta agar tidak menganjurkan sambutan meraikan tahun baru 2005 dan sebaliknya memenuhi ruang tersebut dengan majis-majlis doa agar negara selamat dari sebarang bencana alam.
Ekoran gesaan ini kita mendapat tahu bahawa majlis sambutan besar-besaran anjutran TV3, AmBank dan Petronas turut ditangguhkan. Kerajaan Selangor turut membatalkan majlisnya dan dengar khabar majlis besar-besaran yang disusun di Kulim High Tech Park di Kedah turut dibatalkan.
Alhamdulilah lah kiranya bencana dan malapetaka seumpama ini dapat menginsafkan kita. Cumanya ada seorang sahabat pengunjung BLOG ini mengesyorkan agar segala wang perbelanjaan yang sepatutnya dibelanjakan untuk majlis-majlis sambutan ini khususnya dari pihak swasta sebaliknya diserahkan untuk membantu mangsa-mangsa tragedi. Jangan ditangguhlah upacara tidak bermanfaat dan maksiat ini, batalkan terus dan salurkan sahaja wang peruntukkannya bagi membantu warga kita yang ditimpa kedukaan.
Bagi Pak Lah terima kasihlah namun jangan berhenti setakat itu, kaji juga kesilapan dan kelemahan kita sehingga mengundang bala Allah swt. Kembalilah kepada Islam yang sejati yang tidak sekadar hadhari dan tempel-tempelan tetapi yang relevant dan sesuai bagi setiap masa dan ketika. Mudah-mudahan Allah swt meringankan bebanan seluruh rakyat Malaysia yang terlibat langsung dengan tragedi yang menyayat hati ini.
Sementara itu rombongan PAS diketuai oleh Dr Hatta dikhabarkan akan bertolak esok ke Bandar Aceh untuk meninjau dan menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara se Islam kita yang teruk dilanda bencana di sana. Kepada yang berkemampuan hulur-hulurkanlah bantuan demi meringankan bebanan mereka.
No comments:
Post a Comment