MANGSA TSUNAMI KUALA MUDA
DIPERLAKU MACAM HAIWAN SARKAS
Tidak ada siapa pun yang tidak sedih apabila melihat keadaan masyarakat di Kuala Muda yang dilanda bencana tsunami. Habis harta benda yang musnah termasuklah nyawa yang tersayang.
Dalam keadaan berduka masih ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh, memaparkan mangsa-mangsa yang malang ini bagai haiwan sarkas untuk dipertontonkan oleh orang ramai.
Apa yang saya maksudkan adalah siaran Berita TV3 jam 8 malam tadi. Dalam keghairahan TV3 mahu mencari publisiti maka diperturunkanlah pimpinannya untuk mengagih-agihkan bantuan yang tak seberapa kepada mangsa-mangsa ini dengan disiar secara langsung.
Yang keterlaluannya apabila wakil TV3 sengaja menyusun mangsa yang dalam berdukacita itu untuk ditemuduga secara langsung. Mereka yang telah kehilangan segala-galanya termasuklah seorang wanita yang kehilangan ibunya ditanya tentang perasaannya menghadapi tahun baru 2005. Masuk akalkah soalan seumpama ini?
Kalau sesiapa yang berkesempatan melihat siaran berita tersebut akan dapat melihat betapa daif dan tidak tersusunnya penghidupan mangsa-mangsa berkenaan di tempat-tempat perlindungan sementara. Menurut seorang sahabat ada yang sekadar tidur baring di kaki-kaki lima. Bayangkan setelah ditimpa malang kini mereka terus sengsara hidup dalam keadaan yang sangat tidak selesa, panas dan tidak menentu.
Rata-rata mangsa di kawasan ini adalah orang-orang Melayu Islam. Tidakkah boleh kita ikhtiarkan sesuatu yang boleh menenangkan sedikit hidup mereka yang tidak bernasib baik ini. Jelas kerajaan tidak bersedia bagi menghadapi bencana seumpama ini.
Kedah mendabik dada nak jadi negeri maju pada tahun 2010 tetapi lihatlah anak-anak negeri yang dalam kesusahan, layanan yang diberi sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita hebuh nak membantu negeri lain, tapi anak bangsa yang dilanda kesusahan yang sama nampak macam tidak terbela.
Malah dalam akhbar THE STAR hari ini TPM Najib Tun Razak berkata kerajaan sekadar akan beri bantuan ehsan sebagaimana yang diumumkan oleh PM dan bukannya pampasan kerana tiada kemampuan! Di merata-rata kita melolong-lolong kata Negara ini Negara maju, ekonomi kukuh, pertumbuhan positif tetapi anak-anak bangsa yang beberapa kerat dilanda musibah takkanlah kita tak mampu nak bantu sepenuhnya.
Sebagai kerajaan yang gemilang, cemerlang, terbilang kita sepatutnya berikhtiar agar penghidupan anak-anak bangsa yang terjejas dapat dikemabalikan sebaik mungkin kepada keadaan asal mereka. Rumah diperbaiki, bot diganti, kenderaan yang rosak dilupuskan hutangnya dan diberi ganti. Memang nampak berat namun bencana ini berlaku bukan atas kehendak mereka dan siapa lagi yang seharusnya membantu mereka jika tidak pihak yang berkuasa.
Sakit hati melihat rakyat sebangsa dan seagama diperlakukan begitu sahaja. VIP turun dikumpulkan beramai-ramai untuk bergambar keluar akhbar TV, namun masa depan mereka sekadar kita serahkan pada takdir sahaja. Hina sungguh bangsa ku di tanah airnya sendiri!
No comments:
Post a Comment