SHAMSIAH FAKEH RATU RIMBA MALAYA
DARI AWAS KE REJIMEN KE 10 (SAMBUNGAN)
Shamsiah seorang yang tidak biasa dengan keadaan hidup di hutan. Dalam memoirnya dicatakan kesukaran beliau ketika berada di sana dan pernah 3 kali sesat dalam hutan berseorangan. Pernah setelah diserang hendap beliau bertempiaran lari pada awalnya berseorangan tetapi setelah menyedari telah kemudian terpaksa mengendong bayinya yang baru lahir, lari merentasi hutan dengan cuma pakaian tidur tanpa senjata. Hutan inilah akhirnya mendewasakan Shamsiah dan memantapkan lagi pegangan beliau terhadap perjuangannya.
Bayi inilah kemudiannya telah dibunuh oleh anggota PKM sendiri tanpa pengetahuan Shamsiah kerana bimbangkan kehadirannya akan menyusahkan pergerakan mereka. Dalam Memoirnya Shamsiah mencatatkan betapa sedihnya beliau apabila mengetahui keadaan yang sebenarnya namun menerima keputusannya sebagai takdir Allah swt. Cuma yang beliau kesalkan adalah apabila bekas Pengerusi PKM Musa Ahmad pernah semasa wawancara di RTM pada tahun 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke sungai untuk mati. Dan dalam Utusan Malaysia pada tahun 1987 seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya telah menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis. Kedua-dua kenyataan tersebut adalah bohong dan dusta menurut Shamsiah.
Ketika berhadapan dengan British dan tentera tempatan yang ditaja mereka Shamsiah telah berjuang habis-habisan dari hutan. Mengapa PKM menentang askar Melayu ketika itu, menurut Shamsiah:
Dalam perang adil dan tak adil memang sukar dielakkan pertumpahan darah. Barangsiapa yang berdiri dipihak penjajah dengan bersenjata sudah tentu akan dibalas, itu salah mereka kerana berdiri di pihak penjajah.
Kata Shamsiah ketika itu mereka sebenarnya bukan pengganas, mereka berjuang untuk membebaskan Negara untuk memeredekakan Negara. Pengganas yang sebenarnya adalah British kerana mereka menentang usaha ini dan bertindak membakar rumah rakyat dan tenteranya telah memperkosa ramai wanita Melayu di kampong-kampung.
Namun setelah kemerdekaan Negara pada tahun 1957 PKM terus mengangkat senjata menentang kerajaan Malaya merdeka. Ini dilakukan menurut Shamsiah kerana:
Perang rakyat Malaya yang pada mulanya melawan penjajah British telah berubah menjadi perang dalam negeri sesudah merdeka. Ini adalah perang saudara iaitu perang rakyat Malaya melawan rakyat Malaya. Disinilah letak persoalannya. Tentera Pembebasan Nasional Malaya diubah menjadi Tentera Rakyat Malaya.
Seterusnya dari hutan pada tahun 1956 Shamsiah berhijrah dengan suaminya Ibrahim Mohamad ke China, dihantar oleh PKM untuk belajar. Pasangan ini terus berada di sana dan memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa. Pada tahun 1965 mereka ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shmasiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia.
Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan. Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China.
Shamsiah kemudiannya menghadapi situasi pergolakan dalam PKM sehinggalah beliau dan suaminya dipecat dari parti yang mereka anggotai itu lalu menjadi rakyat biasa di China sehinggalah berjaya pulang ke tanahair pada tahun 1994 atas keizinan kerajaan Malaysia. Kepulangannya menjadi mungkin ekoran perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dan PKM pada tahun 1989 yang bagi beliau menandakan tamatnya permusuhan 41 tahun kedua-dua pihak.
Namun sebagai seorang pejuang tulin bagi Shamsiah perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang. Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan yang sebelum ini tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan sejak perjumpaan di Baling gagal.
Bagi Shamsiah beliau adalah pejuang kemerdekaan Negara walaupun tidak diiktiraf demikian oleh kerajaan. Sumbangan beliau dan rakan-rakannya akan tetap berada di lipatan sejarah walaupun cuba dinafikan oleh pihak-pihak tertentu. Secara kesimpulannya untuk memahami perjuangan Shamsiah ini saya petik sebaris perenggan pada prakata Memoirnya:
Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Kominis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita.
Sesungguhnya Memoir ini telah Shamsiah gunakan sebaik mungkin untuk membersihkan segala persepsi jahat terhadap beliau. Malah beliau merakamkan:
Sebenarnya anggota Polis dan tentera memang tak perlu berdendan dengan aku kerana sepucuk pistol dan sebutir bom tangan yang aku pakai dalam hutan dahulu itu tidak pernah meletup dan tak sebutir peluru pun yang membunuh polis atau tentera kerajaan. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka.
Sejauh manakah ianya dapat diterima terpulanglah kepada para pembaca sekalian. Tak kenal maka tak cinta kata pepatah kita, apakah ianya benar dalam kes Shamsiah?
No comments:
Post a Comment