Friday, December 10, 2004

MEMANFAATKAN SIRI DEBAT PERDANA

Siri Debat Perdana pada setiap hari Ahad di RTM semakin menarik minat ramai dan saya percaya dari segi populariti ia telah pun jauh meninggalkan FORUM EHWAL SEMASA pra 1999 dahulu. Rakyat berbilang kaum dapat memerhati dan menilai sendiri keupayaan dan kemampuan wakil parti-parti politik dan NGO dalam menangani satu-satu isu yang diketengahkan. Sudah pastilah yang paling menarik apabila melihat wakil-wakil pembangkang khususnya dari PAS dan DAP diberi peluang untuk berhujah secara langsung walaupun dalam keadaan diserang dan ditekan kiri-kanan oleh anggota panel lain termasuklah moderatornya sendiri.

Ramai yang sebelum ini tidak pernah mendengar ataupun melihat secara langsung wakil-wakil PAS contohnya, dapat melihatnya sekaligus mendapat maklumat secara langsung dan tidak lagi dari pihak ketiga dan keempat yang selalunya berat sebelah dan tidak jujur.
Dari kaki-kaki gunung dan tanah tinggi Sabah, sehinggalah hutan belantara dan pedalaman Sarawak, penempatan orang asli, kampung-kampung Melayu tradisional tertentu yang tidak ada langsung cawangan PAS khasnya di Johor, kuarters buruh di estet-estet getah dan kelapa sawit, kawasan perumahan masyarakat Cina, rumah-rumah pangsa dan setinggan, taman-taman masyarakat elit semuanya mula terdedah kepada hujah-hujah wakil PAS yang sebelum ini adalah asing bagi mereka.

Lantaran itu PAS perlu memastikan wakil-wakilnya agar benar-benar bersedia dan lengkap dengan hujah-hujah yang bernas dan jitu. Rata-rata dari beberapa siri yang lepas kesemua wakil PAS dilihat COOL sentiasa tenang dan tidak melenting sebagaimana wakil-wakli BN khususnya dari Umno. Ini sahaja saya yakin telah memprojekkan satu imej yang baik bagi PAS, tidak emosional dan bengis seperti yang selalu cuba digambarkan.

Walaubagaimanapun saya perhatikan dalam siri Debat Perdana yang berligar sekitar isu perpaduan Negara itu terdapat beberapa perkara berhubung pencapaian PAS tidak berapa ditonjolkan oleh wakil-wakil PAS. Dari siri-siri yang lepas kita melihat betapa moderatornya bersungguh mahu mengambarkan PAS sebagai sebuah parti ekstrim agama, juara pecah-belah masyarakat, anti perpaduan dan tidak peka terhadap konsep berbilang kaum yang wujud dalam Negara. Maka wakil PAS perlu focus dalam hal-hal ini dan melontarkan pencapaian PAS yang sekaligus dapat mematikan persepsi jahat yang cuba ditonjolakan itu.

Dalam siri-siri yang lepas saya lihat beberapa hujah berhubung isu ini yang dilontarkan oleh wakil-wakil PAS dapat diterima dengan senang hati oleh masyarakat umum. Contohnya apabila HUSAM menceritakan pengalamannya dikampus dengan ROOMMATE berbangsa Cina dan betapa beliau telah mempelawa seorang miskin dari masyarakat Cina duduk makan semeja bersama-sama beliau, ini merupakan STATEMENT yang bagi masyarakat umum Malaysia sesuatu yang bukan PAS. Begitu juga apabila SALAHUDDIN dengan bangga menyatakan ada darah Cina mengalir dalam tubuhnya, ini juga sesuatu yang bukan PAS walaupun ianya sebenarnya suatu yang NATURAL. Dan demikianlah juga apabila DR SITI MARIAH menyatakan ada meraikan sahabat-sahabat bukan Islam di rumahnya sempena Hari Raya baru-baru ini, ianya suatu yang COMMON bagi yang tahu namun bagi ramai yang tidak tahu akan tersentak rupa-rupannya PAS ini boleh duduk dan makan-makan dengan orang bukan Islam.

Percayalah walaupun perkara ini bagi beberapa kalangan mungkin nampak remeh namun bagi menghadapi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum yang selama hampir 50 tahun telah dicuci mindanya dengan pelbagai tohmahan terhadap PAS, STATEMENT sebegini penting dan memberikan gambaran baru terhadap PAS.

Beberapa pencapaian PAS yang perlu turut ditonjolkan antara lain adalah:

PERTAMA wakil PAS duduk dalam jawatankuasa perpaduan kaum yang dibentuk oleh MAGERAN selepas tercetusnya Peristiwa Hitam 13 Mei 1969, salah seorangnya Timbalan Presiden PAS hari ini Senator Hassan Shukri membuktikan betapa PAS prihatin dan iktiraf kepentingan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

KEDUA dalam soal hubungan kaum tidak seperti Umno PAS bersedia meletakkan masyarakat bukan Melayu menjadi ketua dan calon-calonnya asalkan ia seorang ahli parti. Contohnya Dato’ Hj. Annuar Tan merupakan seorang ADUN PAS di Kelantan, seorang anggota EXCO kerajaan negeri dan AJK PAS Pusat. Jadi bagaimana mungkin PAS dikatakan meminggirkan masyarakat bukan Melayu.

KETIGA pencapaian di Kelantan dan 4 tahun di Terengganu perlu ditonjolkan khususnya dalam soal bantuan kerajaan PAS kepada SRJKC dan SRJKT. Pembinaan rumah ibadat bukan Islam serta tanah perkuburan di Kelantan dan Terengganu. Wakil PAS perlu dibekalkan untuk berhujah atas isu ini siap dengan angka dan fakta.

KEEMPAT tonjolkan kebebasan masyarakat bukan Melayu di Kelantan. Persekolahan mereka, budaya dan makanan mereka yang dijamin oleh kerajaan negeri.

KELIMA kupas konsep Negara Islam berdasarkan hak masyarakat bukan Islam. PAS menjanjikan bahawa undang-undang Islam adalah elektif ke atas rakyat bukan Islam dan bukannya wajib. Ia kena terpakai oleh umat Islam sahaja dan STATEMENT ini perlu sentiasa ditekankan.

Banyak lagi yang boleh kita fikirkan dan saya yakin kiranya PAS dapat membawa ketengah isu-isu seumpama ini, pasti ramai yang akan makin terbuka matanya terhadap PAS lantas Debat Perdana ini akan menjadi satu media percuma bagi PAS untuk memperkenalkan dirinya dan sekaligus membersihkan dirinya dari pelbagai tohmahan jahat Umno dan BN.

Hendak menang berhujah melawan tiga empat pendebat lain memanglah sukar namun yang penting bagi PAS adalah mengeksploitasi kehadiran rakyat Malaysia di depan kaca TV masing-masing ketika itu. Teruskan berhujah dengan tenang dan tertib tanpa memperdulikan gelagat pendebat lain namun perhebatkan lagi penampilan dengan hujah yang bernas dan angka-angka yang akan lebih meyakinkan.

No comments: