Friday, December 10, 2004

RESPONS ISU RASHID SPR KURANG AJAR

Saya terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih kepada para sahabat yang telah memberikan respon terhadap isu ini khususnya yang telah memberikan pandangan dan pendapat yang membina. Berikut saya siarkan antara yang menarik untuk dikongsi bersama. Pertama adalah artikel SDR. HANIPA MAIDIN dan keduanya adalah Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Pusat.

Terima kasih sekali lagi.

Khairy- Serigala dan Anggur Masam
:Mohamed Hanipa bin Maidin

Naib Ketua Pemuda Umno yang cuba bersifat agressif dengan mencabar Menteri Besar Kelantan supaya menarik balik tuduhan UMNO terlibat dengan politik wang tiba-tiba menyalahkan proses Mahkamah yang memakan masa panjang untuk menyelesaikan kes yang menyebabkan UMNO tidak berhasrat meneruskan tindakan undang-undang ke atas Tuan Guru Nik Aziz.

Apabila melihat gelagat Khairy ini teringat saya tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam. Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial –kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut. Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut. Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh “ saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.”

Demikianlah nasib Khairy setelah beliau mungkin menyedari usaha pertamanya untuk menjadi jagoan kampong dengan menggertak Tuan Guru Nik Aziz tidak kesampaian disebabkan undang-undang memihak kepada pemimpin Pas tersebut , beliau kini menyalahkan pihak mahkamah pula. Alasan beliau kini ialah proses mahkamah memakan masa panjang. Good try Khairy but bad luck Khairy !!!

Di dalam kenyataannya ketika menggertak Tuan Guru , Khairy menyatakan bahawa tuduhan Tuan Guru tersebut adalah satu fitnah yang tidak berasas dan boleh menjejaskan atau menghilangkan krebidiliti UMNO. Betulkah Khairy ? Bagaimanakah UMNO boleh kehilangan atau terjejas kredibiliti jika UMNO sendiri tidak memiliki kredibiliti. Perpatah arab menyatakan “ Pakidu al-syai la yu’tii” –orang yang tiada sesuatu tidak boleh memberi ( atau hilang ). UMNO mesti mempunyai kredebiliti terlebih dahulu sebelum ia boleh mendakwa kehilangan kredibiliti.

Sesuatu yang amat malang jika kita menggertak seseorang tetapi orang yang digertak tersebut tidak menunjukkan sebarang rasa ketakutan. Khairy menggertak untuk membuat laporan polis dan membawa kes ke Mahkamah ke atas Tuan Guru tetapi Tuan Guru dan PAS bukan sahaja tidak takut malahan menyokong supaya Khairy meneruskan tindakan Mahkamah ke atas Tuan Guru.

“Berani kerana benar” . Itulah sikap Tuan Guru dan PAS. PAS tidak takut dengan gertakan UMNO kerana ia terlalu arif bahawa undang-undang memihak kepadanya. PAS tidak memfitnah UMNO bukan kerana ada undang-undang yang melarang PAS berbuat demikian sebaliknya kerana ada Allah yang mengancam dengan azab yang berat jika PAS memfitnah. Secara kebetulan undang-undang negara ini khususnya Akta Fitnah juga melindungi PAS dalam hal ini. Berdasarkan undang-undang fitnah sesuatu kata-kata yang dikatakan fitnah tidak akan dikira fitnah sekiranya penutur kata-kata tersebut dapat menjustifikasikan apa yang beliau katakan tersebut. Justifikasi adalah salah satu pembelaan ( defence ) di dalam kes fitnah.

Bagaimanakah PAS tidak seronok jika Khairy atau UMNO ingin menyaman PAS atau Tuan Guru di atas dakwaan bahawa PAS memfitnah UMNO menggunakan wang dalam pilihanraya sedangkan dalam Mahkamah tersebutlah PAS dapat membawa “berlori-lori “ bukti salahlaku UMNO dalam pilihanraya termasuk penggunaan wang . Kes DUN Pasir Raja di Johor sudah lebih daripada mencukupi untuk membuktikan bahawa PAS tidak memfitnah UMNO.

Rasuah adalah sinonim dengan UMNO. Jika perpatah melayu menyatakan bahawa di mana ada semut di situ ada gula saya ingin mencadangkan perpatah tersebut ditukar kepada “di mana ada rasuah di situ ada UMNO.” Kolumnis akhbar The Edge Gunesegaram dalam salah satu tulisannya di akhbar itu menyatakan bahawa sekiranya kita menaip perkataan “money politics” ( politik wang ) dalam mana-mana search engine seperti yahoo , altavista dan sebagainya maka akan hasil yang kita terima adalah UMNO- menunjukkan betapa intimnya UMNO dan rasuah. Bukankah Prof Ungku Aziz menyatakan politik wang adalah rasuah dan kenyataan Ungku Aziz itu disokong oleh Prof Hussein AlAttas di dalam satu tulisannya di akhbar the Edge.

Hanipa adalah seorang peguam dan beliau juga merupakan Setiausaha Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS


KENYATAAN MEDIA (9 DISEMBER 2004)
POLITIK WANG: SPR TAK PERLU CAMPUR TANGAN


Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kenyataan dangkal Pengerusi Suruhnjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid A Rahman yang mempersoalkan mengapa tidak memfailkan petisyen jika benar BN menggunakan politik wang. Kenyataan Pengerusi SPR ini bukan sahaja dangkal, tetapi juga ‘nyanyuk’ kerana telah lupa bahawa PAS telah memfailkan 23 petisyen dalam pilihan raya yang lepas akibat ketidaktelusan SPR dalam menguruskan pilihan raya tersebut. DPP Pusat berpandangan bahawa isu yang berbangkit sekarang ialah tentang rasuah yang dilakukan oleh BN semasa pilihan raya, dan tidak ada kaitan lagi dengan SPR. SPR tidak sepatutnya ‘banyak mulut’ dalam hal ini.

DPP Pusat secara terbuka menyokong kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa kejayaan BN dalam pilihan raya yang lepas banyak dibantu oleh politik wang. PAS mempunyai bukti yang kukuh tentang kegiatan politik wang BN ini. DPP Pusat berharap Pemuda Umno supaya meneruskan samannya kepada Mursyidul Am PAS bagi membuktikan hal ini. Tetapi ternyata Pemuda Umno begitu pengecut dan tidak berani berbuat demikian kerana takut kegiatan rasuah mereka terbongkar. Dalam keadaan Pemuda Umno begitu takut untuk membawa perkara ini ke mahkamah, tetiba SPR cuba campur tangan dan mempersalahkan PAS dalam soal ini.

DPP Pusat ingin mengingatkan semula kepada SPR bahawa PAS telah memfailkan 23 petisyen dalam pilihan raya yang lepas, iaitu yang terbanyak dalam sejarah negara ini. Semua petisyen telah diselesaikan oleh mahkamah. Walaupun PAS tidak memenangi mana-mana petisyen, tetapi mahkamah telah membuktikan wujudnya unsur-unsur penyelewengan dalam pilihan raya tersebut. Kekalahan PAS bukan kerana ketiadaan bukti, tetapi kerana masalah teknikal. Dalam kes petisyen di Mahkamah Pilihanraya di Parlimen Gombak, mahkamah telah menerima beberapa kesalahan SPR dalam pilihan raya itu.

Antara kesalahan SPR yang dibuktikan di mahkamah ialah pertukaran masa pilihan raya, daftar pemilih bertindih, kewujudan pengundi warga asing dan buku daftar pemilih yang berbeza di dalam dewan dan di luar dewan mengundi. Ini adalah kesalahan SPR dalam mengendalikan pilihan raya yang dibuktikan di mahkamah, tidak termasuk kegiatan ‘belakang tabir’ SPR dalam memenangkan BN seperti persempadanan pilihan raya, penglibatan Puteri Umno sebagai pegawai SPR, pengundi hantu dan lain-lain. Jika SPR sendiri pun tidak telus dalam menguruskan pilihan raya, SPR sepatutnya ‘menutup mulut’ dalam isu ini dan jangan buat ‘muka tak malu’ untuk campur tangan urusan parti-parti politik.

SPR seharusnya sedar bahawa tidak semua masalah yang berbangkit berupaya untuk dipetisyenkan oleh calon-calon yang bertanding. Kerajaan telah menggubal undang-undang yang tidak demokratik dengan menghalang calon-calon membuat petisyen melalui deposit petisyen yang tinggi. Setiap petisyen memerlukan RM10,000 sebagai deposit. Adalah mustahil bagi parti pembangkang, calon bebas atau pengundi untuk membuat petisyen dengan kos yang begitu besar. Di Kelantan sendiri, isu politik wang, ugutan melalui bantuan kepada pelajar di bawah program ‘one-off’, membeli undid an sebagainya menjadi buah mulut rakyat. Tetapi rakyat sebagai pengundi tidak berupaya untuk membuat petisyen dengan kos yang begitu tinggi. Cara petisyen yang tidak demokratik ini menghalang rakyat membuktikan wujudnya politik wang dalam pilihan raya.

DPP Pusat melihat kenyataan Abdul Rashid ini lebih bersifat menyalamatkan maruah Umno setelah tercalar kerana sikap pengecut Pemuda Umno yang tidak mahu meneruskan saman terhadap pemimpin PAS. Abdul Rashid cuba menjadi juara dalam soal ini sehingga mendedahkan kedangkalan dirinya sendiri. Abdul Rashid sepatutnya sedar bahawa PAS telah melakukan apa yang sepatutnya bagi membuktikan perbuatan politik wang BN, tetapi kerana peraturan yang ada tidak demokratik, banyak perkara tidak dapat dibuktikan. Beliau sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha-usaha memulihkan semula imej SPR yang terjejas kerana sikap memihak beliau kepada BN, bukannya sekali lagi menjadi ‘nasi tambah’ kepada BN.

DPP Pusat mencabar Abdul Rashid supaya m,eletakkan jawatan dalam SPR jika tidak boleh berkecuali lagi, bukannya menjadi juru cakap Umno atas nama SPR. Beliau sepatutnya menjadi ahli politik jika mahu bersaing pandangan dengan tokoh-tokoh politik, bukannya terus duduk dalam SPR. SPR sepatutnya berkecuali dan tidak campur dalam urusan parti-parti politik ini. DPP Pusat juga mencabar Pemuda Umno supaya mengotakan kata dua Khairy Jamaluddin untuk menyaman Menteri Besar Kelantan itu dalam soal politik wang ini. Jika dalam pemilihan parti sendiri pun penuh dengan rasuah dan politik wang, inikan pula untuk melawan parti lain dalam pilihan raya, sudah tentu lebih-lebih lagi! SPR kalau tidak boleh jadi garam untuk menyegarkan ikan, jangan jadi lalat yang memburukkan ikan!

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

No comments: