SELAMAT TINGGAL 2004
Kau tutup tirai mu dengan nestapa dan duka
nyawa terbang dan harta hilang
ombak menggunung yang tak pernah ku kenal
kau asakkan ke bumi kami
mengapa
isyarat apakah yang mahu kau gambarkan
sementara yang susah terus meratap
yang berkuasa macam hilang arah
insaf kah mereka
Kau turut membawa padah
meruntuhkan kerajaan negeri Islam
yang baru mahu belajar merangkak
kau gantikan dengan buaya dan biawak
yang masuk melalui pintu belakang
menjerat mangsa berumpankan wang
berebut bangkai yang tak seberapa
Setelah kau duga dengan kekalahan besar
kau duga lagi dengan menyerang
satu-satu Tok Guru kami
berkat doa seluruh kampung
Allah menangguhkan hasrat mu itu
bendera hijau berkibar terus
dikubu terakhir yang masih digagahi
Kau pertontokan kepada ramai
perebutan kuasa sekandang penyanggak
yang bersepak tendang untuk merampas
tampuk kuasa yang bertatah emas
politik wang bukan rasuah
sekadar kesilapan kecil
yang maksum dari disentuh
BPR yang telah pun runtuh
Islam Hadhari kau perkenalkan
agama baru ciptaan tersohor
melentur akidah menurut cuaca
kalau panas dipayungi
kalau sejuk diselimuti
kalau susah digugurkan
rakyat yang mahu rakyat yang pilih
maka dijajalah semahu mungkin
tok imam tok lebai menjadi sasau
Malam ini tamatlah engkau
esok giliran yang lain pula
tidurlah engkau dalam lipatan sejarah
2005 sudah mahu menerjah
dibuka gelanggang dengan megah
rakyat jelata termengah-mengah
umur bertambah wang berkurang
tepat jam 12 tol naik belang
selamat jalan 2004
masa depan rakyat kan terus merempat
No comments:
Post a Comment