Sunday, December 19, 2004

MENCIPTA GELOMBANG BARU BA

Disaat pimpinan PAS dipelbagai peringkat sedang bermunaqasyah di Dewan Dato Fadzil Nor di Taman Melewar pada waktu yang sama para pimpinan dan perwakilan Parti Keadilan Rakyat PKR sedang berkongres di Ipoh. Menurut beritanya Kongres PKR telah memilih saf kepimpinan baru antaranya Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Presidennya manakala Naib-naib Presiden terdiri dari Azmin Ali, Dr Lee Boon Chye dan Sivarasa Rasiah. Sebelum itu Dr Wan Azizah telah diisytihar menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden.

Kedua-dua PAS dan PKR merupakan anggota pakatan Barisan Alternatif.

Saya tidak pasti apa yang dibincang dan dibahaskan di Ipoh namun di Taman Melewar yang pastinya rata-rata para perwakilan PAS menuntut agar kerjasama ataupun tahaluf yang diadakan dengan PKR melalui BA bukan hanya diteruskan malah diperkukuhkan lagi dengan mengelakkan apa sahaja perselisihan dan perbezaan yang hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak.

Matlamat utama adalah menghadapi Umno dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya umum ke 12 kira-kira 4 tahun lagi.

Saya percaya rakyat Malaysia yang prihatin mahu melihat kedua-dua parti ini meneruskan agenda perjuangan melalui BA dan sedapat mungkin menarik lebih banyak parti lain khususnya DAP untuk duduk bersama dan bekerja bagi mengempur BN demi menyelamatkan rakyat dan Negara.

Inilah masanya bagi kedua-dua parti duduk dan menyusun strategi bagi menghadapi musuh yang sama. Dengan kehadiran Dato Seri Anwar Ibrahim adalah diharapkan agar gelombang baru akan dapat dicipta oleh BA bagi memukul dan menghanyutkan BN yang menjadi semakin angkuh dan sombong dengan kemenangannya pada pilihnaraya umum yang lalu.

Saya yakin kiranya pimpinan kedua-dua parti komponan ini dapat duduk secara serius dan saling hurmat-menghurmati pasti satu gagasan yang lebih teguh dan mantap dapat dibina dan dipacu demi kebaikan bersama.

Tambahan dengan terpilihnya 3 orang Naib Presiden dari pelbagai bangsa menerajui PKR sudah pasti parti tersebut akan mampu menarik minat pelbagai lapisan kaum untuk kembali bertaut dan memberikan keyakinan dan sokongan kepada PKR dan BA pada pilihnaraya ke 12 nanti.

Tahniah kepada kedua-dua pihak teruskan perjuangan dan jangan menghampakan harapan rakyat Malaysia yang rindukan pembaharuan!

No comments: