Wednesday, December 29, 2004

PEMUDA UMNO PERNAH RANCANG PEMBERONTAKAN BERSENJATA!

Pemuda Umno pernah menyusun untuk menubuhkan Barisan 33. Ianya dicadangkan ditubuh ditiap-tiap cawangan Umno seluruh tanahair. Barisan 33 ini nanti akan melaksanakan perjuangan bersenjata dengan merampas senjatapi yang ada di balai-balai polis.

Kalau dibaca perenggan di atas pasti ianya akan menggemparkan ramai pihak. Ianya bukan berita palsu ataupun reka-rekaan. Peristiwa ini sebenarnya bukan berlaku di tahun 2004 ini tetapi ianya berlaku dizaman sebelum Merdeka. Peristiwa yang bersejarah yang telah membuktikan bahawa Umno pernah merancang untuk menubuhkan pasukan militan bagi mewujudkan huru-hara semata-mata untuk merampas kuasa.

Kadangkala ada pihak cuba menutup dan menyembunyikan bab-bab tertentu dalam lipatan sejarah kerana dirasakan tidak akan menguntungkannya. Namun sejarah tidak mudah dipendamkan begitu sahaja pasti lambat-laun ianya samada manis maupun pahit akan timbul dan diketahui jua. Jika tidak kerana MEMOIR SHAMSIAH FAKEH DARI AWAS KE REJIMEN KE 10 pasti banyak peristiwa yang pernah berlaku seumpama ini akan berlalu begitu sahaja lantaran cuba dipadamkan dari ingatan oleh pihak-pihak yang memilki kepentingan.

Menurut Shamsiah komplot ini telah dirancang oleh tidak lain dan tidak bukan Tuan Hj. Ahmad Badawi iaitu bapa kepada PM dan Presiden Umno hari ini. Ahmad Badawi ketika itu adalah Naib Yang Dipertua Pemuda Umno jawatan itu kini dikenali sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang hari ini kebetulan disandang oleh cucu menantu beliau. Beliau dibantu oleh Samad Idris dan Hamzah Alang.

Persetujuan telah diambil bahawa apabila tiba waktunya Barisan 33 itu nanti akan merampas senjatapi dari balai-balai polis di kampong-kampung serta mendapat khidmat anggota polis dan askar Melayu yang bersimpati dengan perjuangan Umno. Samad Idris juga dikatakan telah mendapat kerjasama dan persetujuan Hj. Othman Saat untuk memperolehi bahan letupan bagi meletupkan pusat bekalan air di Gunung Pulai yang membekalkan air ke Singapura.

Pemuda Umno dikatakan rela dan bersedia untuk berjuang dengan kekerasan hatta sehingga menitiskan darah dan gugur sebagai bunga bangsa yang bermekaran. Malah Samad Idris dan rakannya turut bercadang untuk menangkap dan membunuh terus orang-orang yang menyokong penjajah dan sesiapa sahaja yang membelot dalam perjuangan. Maklumat ini sebenarnya telah dirakamkan oleh Samad Idris sendiri di dalam bukunya 25 TAHUN MERDEKA terbitan 1982 yang Dr. Mahahtir sendiri telah memberikan kata-kata aluan.

Mengapa Shamsiah selaku seorang wanita Melayu yang pernah dicap sebagai pengganas, dan kominis satu ketika dahulu mendedahkan perkara ini pada hari ini? Menurut Shamsiah:

Aku memetik panjang lebar bahagian Pemuda Umno hendak mengangkat senjata ini untuk tatapan dan perhatian masyarakat umum hari ini supaya membandingkan niat atau rancangan Pemuda Umno ini dengan perjuangan bersenjata orang Melayu yang masuk hutan di bawah pimpinan Parti Kominis Malaya yang dicap sebagai pengganas kominis.

Bermakna kalau PKM dan orang seumpama Shamsiah Fakeh ini boleh dicap sebagai pengganas ataupun istilah popular hari ini militant ataupun terrorist maka Pemuda Umno juga seharusnya tidak sunyi dari gelaran yang sama. Dan yang turut mencetuskan idea keganasan itu pula tidak lain dan tidak bukan bapa kepada Pak Lah, PM kita pada hari ini. Kalau demikianlah sejarahnya maka Pemuda Umno serta Presidennya juga perlu diawasi dari masa kesemasa takut-takut idea keturunan mereka itu satu hari nanti akan menghantui pula mereka untuk bertindak terhadap orang-ramai khususnya yang menentang mereka. Wallahualam.


No comments: